Tuesday, September 7, 2010

Jangan henti menyoal



KUALA LUMPUR, 7 Sept. :
Rakyat Malaysia sepatutnya mengambil insiatif bagi mula menyoal isu-isu yang 'tidak boleh disoal' jika mereka mahu merentasi had wacana umum, kata pembikin filem bebas Amir Muhammad.


Katanya, negara ini mempunyai sejarah wacana intelektual yang cuba dilupakan oleh kerajaan persekutuan hari ini dalam usaha mengekang pendapat yang berbeza dan pembentukan idea bebas oleh orang ramai.

Mengambil contoh, filem klasik Melayu yang diterbitkan pada sekitar 1950 dan 1960, Amir berkata perbincangan intelektual berhubung peranan pemimpin negara ketika itu telahpun bermula. Justeru, generasi sekarang perlu meneruskannya daripada apa yang ditinggalkan itu.

Beliau berkata di sebalik gambaran pemimpin ketika itu seperti sultan yang mempunyai perwatakan yang sempurna seperti tertera dalam filem 1940an, revolusi selluloid yang berlaku dua dekad selepas itu yang membenarkan moral watak-watak itu dicabar.

"Apa yang boleh kita lakukan ialah menilai semula kedudukan...perkara yang tidak boleh disoal pernah disoal pada masa lalu tanpa sebarang akibat...maka generasi sekarang mempunyai tanggung-jawab untuk mendalami persoalan itu dengan lebih lanjut,” kata Amir semasa sesi soal jawab forum 'Malays are muted too!' di Kuala Lumpur, malam semalam.

Panel lain termasuk aktivis Hishamuddin Rais, kartunis Zulkiflee Anwar Haque (atau lebih dikenali sebagai Zunar) dan DJ Jamaluddin Ibrahim.

Amir berkata budaya feudal di kalangan orang Melayu masih tebal, sehingga menyukarkan mereka mengaju soalan yang 'sukar' kepada mereka yang dianggap pemimpin itu.

Katanya, sokongan tanapa berbelah-bahagi kepada sultan sebelum kemerdekaan kini berpindah kepada ahli politik selepas negara mencapai kemerdekaan.

"Malah selepas Merdeka, adalah malang, amalan itu berterusan. Lihat sahaja kepada retorik BN...mengajar rakyat untuk berterima kasih,” katanya.

Amir bagaimanapun optimistik bahawa rakyat kini mula membabitkan diri dengan analisis kritikal seperti yang ditunjukkan pada pergerakan reformasi 1998 sehingga tsunami politik 2008 yang menyaksikan kerajaan BN hilang majoriti dua pertiganya di Parlimen pada pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac 2008.

No comments: