Monday, September 27, 2010

Umno tabur fitnah untuk gangu gugat
























KUALA LUMPUR, 27 Sept. :
Kerajaan negeri Pulau Pinang tidak akan tunduk kepada usaha terbaru Umno yang cuba mahu mengganggu-gugat program penghargaan warga emas dan menjaga kebajikan rakyat menerusi fitnah berterusan, kata Ketua Menterinya Lim Guan Eng.


Lim menegaskan Umno sekali lagi meneruskan tohmahan terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang dengan mendakwa program penghargaan warga emas dibiayai oleh sumber judi haram dan bila ini dibuktikan palsu, mereka mengalih kepada program Rakan Anti Miskin (RAM) untuk membasmi miskin tegar.

“Taktik jahat seribu jahat bertujuan menggagalkan program ini daripada kerajaan berjiwa rakyat PR yang bermanfaat rakyat,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

“Kerajaan negeri Pulau Pinang tidak akan tunduk kepada usaha Umno mengganggu-gugat program penghargaan warga emas yang membayarkan RM100 setiap tahun kepada semua yang melebihi 60 tahun.

“Sehingga sekarang hampir 110,000 warga emas di Pulua Pinang telah mendaftarkan diri dan akan mendapat bayaran RM100 setiap tahun demi mengenang budi atas sumbangan warga emas,” kata Lim yang juga Setiausaha Agung DAP.

Sabtu lalu, Lim menafikan dakwaan Pemuda Umno bahawa dana dari kelab lumba kuda digunakan sebagai sumber wang ihsan RM100 bagi warga emas negeri itu.

Sehubungan itu tegas beliau, kenyataan yang dibuat oleh Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sehari sebelum itu sebagai “satu pembohongan.”

Menurut Reezal, pihaknya mempunyai sepucuk surat, didakwa sebagai bukti bahawa kerajaan negeri memperoleh dana daripada sumber perjudian untuk membiayai program membasmi kemiskinan tegar di Pulau Pinang.

Surat tersebut yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri di Komtar, ditujukan kepada Pengurus Besar Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang, Leow Khin Ming berhubung baki sumbangan cek bernilai RM500,000 untuk program berkenaan.

Kira-kira seminggu itu beliau mendesak kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung dakwaan sebuah blog bahawa dana bagi pemberian wang ihsan RM100 kepada warga emas di negeri ini adalah dari sumber hasil perjudian.

Sehubungan itu dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, menurut Lim lagi, si waris warga emas yang mendaftarkan diri akan menerima RM 1,000 sekali sahaja bila warga emas meninggal dunia.

Sebanyak RM20 juta telah pun diperuntukkan untuk program ini dalam Belanjawan 2010.
“Wang yang dibayar oleh kerajaan negeri untuk program ini tidak datang daripada mana-mana derma atau sumber kerajaan persekutuan.

“Ia adalah penjimatan hasil urus tadbir CAT dan telus serta langkah antirasuah yang bukan sahaja dipuji oleh Laporan Ketua Audit Negara tetapi juga disanjungi oleh badan antarabangsa antirasuah terunggul, Transparency International,” katanya lagi.

Urus tadbir CAT dan langkah antirasuah telah membolehkan Pulau Pinang mencatatkan lebihan belanjawan yang paling besar dalam sejarah sebanyak RM88 juta pada 2008 dan RM77 juta tahun lalu.

“Oleh itu, tidak wujud langsung program ini dibiayai oleh sumber luar.

“Keseluruhan kos program ini dibiayai sepenuhnya oleh hasil lebihan belanjawan,” kata Lim sambil menambah, dengan kata lain program penghargaan warga emas adalah dividen antirasuah yang dapat dinikmati oleh rakyat kerana mempunyai sebuah kerajaan negeri yang bersih dan tidak makan duit.

“Ini bukan kali pertama program ini diserang kerana sebelum ini BN pernah mendakwa bahawa pemberian RM100 kepada warga emas adalah serupa bagi rasuah.

“Untuk BN, bagi wang sama rakyat adalah rasuah tetapi lain pula bagi wang ke dalam kocek sendiri.

“Sekiranya kerajaan negeri tak makan duit maka rakyat boleh dapat duit,” katanya lagi.
Lim menambah, Umno jangan harap boleh mengganggu-gugat program dividen antirasuah RM100 setiap tahun kepada warga emas dengan fitnah dan tohmahan.

“Program Rakan Anti Miskin membasmi miskin tegar di Pulau Pinang tetap diteruskan,” katanya lagi.

Selepas gagal membuktikan program penghargaan warga emas terbabit dengan hasil judi haram, dakwa Lim, Umno pula cuba mengalikhan perhatian daripada fitnah mereka dengan menyatakan program RAM membasmi miskin tegar datangnya daripada sumber judi haram.
“Bukti Umno adalah derma RM2 juta daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang.

“Program RAM adalah inisiatif murni kerajaan negeri PR untuk membasmi miskin tegar di kalangan keluarga yang berpendapatan kurang daripada RM400 sebulan di Pulau Pinang dan memastikan setiap keluarga mendapat sekurang-kurangnya RM500 sebulan.

‘Menerusi RAM, kerajaan negeri Pakatan telah berjaya membasmi miskin tegar dalam tempoh masa setahun sahaja, apa yang tidak dapat dilakukan oleh BN dalam 51 tahun,” kata beliau lagi.

Menyedari tentang sensitiviti wang derma daripada Kelab Lumba Kuda untuk orang Islam, Lim juga menjelaskan bahawa ia diasingkan dan tidak diberikan kepada orang Islam tetapi hanya kepada orang bukan Islam.

“Malah Pegawai Kewangan Negeri Dato Farizan Darus telah mengesahkan kepada saya semalam bahawa wang derma RM2 juta ini daripada Kelab Lumba Kuda diasingkan dan dikhususkan kepada orang bukan Islam dan tidaknya kepada orang Islam.

“Perlu diingati bahawa ada juga orang bukan Islam yang miskin tegar, bukan semua bukan Islam kaya macam pemimpin BN,” katanya.

Oleh itu soal Lim, adakah salah untuk menyalurkan wang derma ini kepada orang bukan Islam?
“Bukankah lebih salah dan haram untuk Umno luluskan lesen judi bola?

“Atau adakah Umno dendam sama Kerajaan negeri Pulau Pinang yang merupakan negeri pertama mengharamkan judi bola dan sekali gus merosakkan rancangan baik Umno untuk membenarkan lesen judi bola di Malaysia?

“Yang jahat pula tuduh orang lain,” kata beliau lagi.

Lim menambah, memang BN dan Umno iri hati atas kejayaan kerajaan negeri membasmi miskin tegar dan program penghargaan warga emas.

“Walaupun terus difitnah, kerajaan negeri tidak akan berganjak atau tunduk langsung ke atas anasir jahat ini yang mahukan dua program ini dihentikan,” kata beliau lagi.

No comments: