Friday, October 1, 2010

Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man , Pengarah Pilihanraya Kecil Galas

KUALA LUMPUR, 1 Okt: PAS mesti bersedia menghadapi sesiapa sahaja dalam pilihan raya kecil Galas dengan kekuatan sendiri, kata Naib Presiden PAS yang juga pengarah pilihan raya itu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Atas dasar itu, isu samada Tengku Razaleigh Hamzah dilantik sebagai pengarah BN bagi pilihan raya kecil DUN Galas atau tidak, tidak berbangkit, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim adalah pengarah pilihan raya ini secara automatik bagi PAS kerana parti itu telah membuat pendekatan tetap untuk menghadapi sebarang pilihan raya kecil.

Perkara ini disahkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dalam majlis hari raya Harakahdaily semalam.

Melaui pendekatan itu, seorang naib presiden PAS akan menjadi pengarah pilihan raya kecil untuk kawasan masing-masing. Datuk Mahfuz Omar menjadi pengarah jika berlaku di utara, Salahudin Ayub di selatan dan Tuan Ibrahim di timur.

Sebelum ini, Mahfuz menjadi pengarah pilihan raya kecil Permatang Pasir, Pulau Pinang dan Salahudin menjadi pengarah dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

Bagi Tuan Ibrahim, isu Ku Li menjadi topik utama media kini, hanyalah satu percaturan peribadi beliau, dan berdasarkan beberapa tindakan mutakhir beliau yang dilihat tidak lagi menjadi pengikut setia BN.

Ini ekoran pendirian beliau dalam isu royalti minyak Kelantan, isu rasuah, perancangan ekonomi negara dan keyakinan beliau kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam mentadbir negara.

Walaubagaimanapun bertolak di atas beberapa kenyataan Ku Li bahawa beliau tetap akan bersama UMNO dan akan kekal bersama UMNO, PAS mestilah berusaha untuk menyusun kekuatan parti bersama Pakatan Rakyat (PR) dalam menghadapi PRK kali ini, kata Tuan Ibrahim.

"PAS menyedari pengaruh dan kekuatan Ku Li dalam kawasan Gua Musang, tetapi ini bukan bermakna beliau terlalu kebal untuk ditewaskan. Pengalaman PRU ke 12, dengan kejayaan PAS menawan DUN Galas dari BN adalah petanda bahawa pengaruh beliau semakin berkurangan, dan pengundi bertambah matang dalam membuat pilihan," katanya.

Menurut beliau, dalam PRK kali ini, PAS memerlukan satu pendekatan baru dalam gerak kerja pilihanraya kecil kali ini.

Oleh kerana calon PAS hanya mendapat kemenangan tipis 636 dalam PRU lalu, maka tumpuan semua parti politik ialah bagi menarik pengundi atas pagar yang akan menjadi penentu kepada keputusan yang akan berlaku, katanya.

Dengan status pengundi bercampur, di mana pengundi dari kalangan masyarakat Asli dan Cina dilihat penting, maka tumpuan tentulah diberi kepada golongan ini; dan pengalaman PAS memerintah Kelantan selama 20 tahun mampu dijadikan daya penarik bagi mendapatkan sokongan mereka, tambahnya.

Bagi beliau, faktor calon mengatasi parti yang berlaku di DUN Manik Urai serta kegagalan tokoh luar mencorakkan mood dan sentimen pengundi dilihat masih menjadi fokus gerak kerja parti yang bertanding.

Lantaran itu, katanya, pemilihan calon kali ini teramat penting kerana pengundi di kawasan Galas akan merasai kehadiran wakil rakyat selepas berakhirnya PRK.

Mereka tentulah tidak ingin mendapat seorang wakil rakyat yang hanya menunjukkan muka apabila memerlukan undi, tetapi ghaib selepas diumumkan sebagai pemenang.

"Budaya masyarakat Kelantan yang suka bergelumang dengan pimpinan dilihat antara elemen penting kenapa mereka memilih YB Arwah Che Hashim dalam PRU lalu," katanya.

Apa yang menarik juga ialah kepesatan pembangunan Bandar Gua Musang dilihat antara kejayaan kerajaan negeri membangunkan kawasan tersebut terutamanya dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Keghairahan untuk membangunkan kawasan ini antara kerajaan negeri di bawah PAS dan Kesedar diterajui kerajaan Pusat akan menceriakan lagi PRK kali ini.

Apapun PAS dengan seluruh jentera parti di seluruh negara telah bersedia membantu bagi mengekalkan kemenangan di DUN Galas, bagi mengalaskan kemenangan di sana, katanya.

No comments: