Tuesday, November 23, 2010

Jais berhak halang kerana Umno









































IPOH, 23 Nov. : Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berhak untuk tidak membenarkan Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berceramah di Masjid Saujana Utama, Sungai Buloh kerana tidak mendapat tauliah daripada jabatan itu.


Pesuruhjaya PAS Perak Abu Bakar Hussain berkata Jais berhak untuk tidak membenarkan sama ada ahli politik atau guru yang tidak mendapat tauliah daripada jabatan berkenaan untuk memberi ceramah.

“Bagaimanapun daripada sudut demokrasi ia jelas menunjukkan ketidakadilan kepada rakyat kerana mereka memerlukan ilmu dari semasa ke semasa. Rakyat pada masa kini sudah bijak untuk menilai apa yang baik dan buruk. Justeru, mereka (rakyat) boleh menerima atau menolak segala pengisian yang disampaikan penceramah mengikut fahaman masing-masing,” katanya
kepada pemberita di ibu pejabat PAS Perak di sini hari ini.

Semalam Jais meminta pentadbir masjid berkenaan membatalkan program ceramah agama yang melibatkan Mohammad Nizar yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak kerana tidak mendapat tauliah daripada jabatan itu.

Pengarahnya Datuk Mohammed Khusrin Munawi meminta pihak berkenaan mengubah lokasi ke tempat lain yang tidak terikat dengan syarat-syarat tauliah yang tetapkan JAIS jika mahu meneruskan program itu.

Mengenai kemelut kepimpinan yang berlaku dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR), beliau berkata PAS bersedia memberi pandangan dan nasihat kepada PKR supaya masalah itu dapat diselesaikan.

Beliau turut menyifatkan pergolakan PKR itu adalah sementara dan tidak akan berterusan sehingga mengganggu persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

PKR merupakan parti yang masih muda dan baru dalam arena politik tanah air dan sedang mengemaskini hal ehwalnya, katanya.

“Pergolakan dalam PKR itu sebenarnya hal rumah tangga mereka. PAS berharap mereka dapat selesaikan dan PAS sedia membantu PKR untuk selesaikan kemelut itu kerana kita memang ada mesyuarat untuk memberi pandangan...mereka (PKR) masih baru dan sedang memperkemaskan hal pentadbiran dan perkara teknikal,” katanya.

Ditanya sekiranya bekas anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR Datuk Zaid Ibrahim mahu menyertai PAS, Abu Bakar berkata PAS merupakan parti yang terbuka, namun sebarang keputusan kemasukan itu hanya diputuskan oleh pimpinan PAS Pusat. – Bernama

No comments: