Monday, November 15, 2010

Pergolakan dalaman PKR , resam politik biasa



































SHAH ALAM, 15 Nov. : Ahli Parlimen Kuala Selangor , Dr Dzulkefly Ahmad memberitahu pergolakan dalaman parti adalah perkara biasa dan menjadi resam dalam politik.

Beliau mengingatkan Pakatan Rakyat bahawa adalah menjadi lumrah tahap perpaduan di antara ahli dalam sesebuah parti berada di paras rendah, namun ia bukanlah halangan paling besar yang boleh menganggu-gugat kestabilan keseluruhan parti itu.

Justeru ujar Dr Dzul, Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sedang berhadapan dengan situasi getir apabila wujudnya cabaran dan dugaan dalam mengaplikasikan proses demokrasi dalam pemilihan langsung yang sedang diadakan, harus akur dan sentiasa optimis.

"Semua parti-parti politik ketika mengalami pemilihan dalam parti, akan juga sekaligus berdepan dengan keadaan dan situasi kedudukan dari segi perpaduan parti dalam keadaan yang paling lemah.

"Ini berlaku kepada semua parti. Sehinggakan pernah kita saksikan Umno berpecah menjadi Semangat 46 dan Umno baru. Begitu juga kepada semua parti-parti yang lain," kata Dr Dzul kepada TV Selangor.

PKR dalam menjalankan Pemilihan 2010, berhadapan dengan pelbagai dugaan apabila berlakunya beberapa siri kekecohan di peringkat cabang, kemudian diikuti dengan pengunduran calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Zaid Ibrahim pada pemilihan peringkat pusat, yang kemudiannya disusuli dengan pelbagai kontroversi di sebalik proses pemilihan.

Namun tidak kurang juga yang bertindak proaktif apabila mencadangkan beberapa resolusi penambahbaikan parti dilakukan apabila pelbagai isu dan kelemahan terus dibangkitkan oleh pihak tertentu yang kurang senang dengan pimpinan PKR.

Lantaran itu kata Dr Dzul, mana-mana parti juga tidak terkecuali dari berhadapan dengan situasi kritikal ini apatah lagi kepada PKR yang memperkenalkan sistem serba baru.

"Dalam hal ini DAP tidak kecuali begitu juga PAS. PKR pula sebagai sebuah parti yang muda dari sudut usia dan berkebetulan menggunakan kaedah baru dalam proses demokrasi dan pemilihan secara langsung untuk memilih pimpinan.

"Sementara usaha memperkenalkan sistem baru pemilihan secara langsung memang baik, tetapi mungkin kaedahnya itu belum pernah dilalui oleh mana-mana parti politik. Justeru mereka sedang mengalami apa yang dikatakan sebagai kaji uji yang pertama," tambah Dr Dzul lagi.

Menurut Dr Dzul, sistem pemilihan langsung yang sedang dijalankan PKR menuntut kepada kesabaran yang tinggi kerana ia kali pertama dilaksanakan.

Maka katanya tidak perlu mengharapkan semuanya berjalan lancar dan sempurna kerana setiap kritikan dan dakwaan adalah lumrah biasa dalam proses mematangkan parti.

"Seperti timbulnya dakwaan-dakwaan tentang salah laku dan sebagainya, saya lihat sebagai sesuatu yang berlaku kepada mana-mana parti politik.

"Jadi ia bukan suatu yang luar biasa," tambah Dr Dzul.

Mengulas tentang tindakan bekas Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim yang mencadangkan supaya pimpinan PAS termasuk dirinya menerajui tampuk pimpinan Pakatan Rakyat, ia tidak pernah terlintas di fikiran PAS katanya.

"Tidak ada pandangan PAS untuk mendominasi atau mengambil alih kepimpinan Pakatan sebab yang pentingnya dalam Pakatan kita hendak memperkasakan polisi-polisi bersama kami, memperkukuh dan memperutuhkan lagi kerjasama dan jentera Pakatan bagi mendepani cabaran PRU ke 13 nanti.

"Malah tidak ada yang merasa keluar dari bayangan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim. Tidak perlu," katanya lagi.

No comments: