Tuesday, November 16, 2010

Siasat Sime Darby




























SHAH ALAM, 16 Nov. : Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didesak segera menyiasat dan menghantar laporan mengenai kemungkinan salah urusan bahagian tenaga dan utiliti Sime Darby Berhad sehingga mencecah kerugian hampir RM 2 bilion, demikian kata Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurut beliau data yang diberikan daripada laporan forensik audit ke atas syarikat tersebut September lalu sudah cukup bagi siasatan dijalankan.

Menurut Dzulkefly, selain SPRM dan SC bertanggung jawab menyiasat perkara berkenaan, manakala Pejabat Peguam Negara juga perlu mendakwa mereka yang bertanggungjawab.

"Selagi tak ada dakwaan, selagi itulah penyangak-penyangak ini berleluasa mencuri wang-wang rakyat, bukan ratusan ribu lagi kini dah berbilion," tegas beliau ketika dihubungi TV Selangor.

Menurutnya kepentingan kes ini lebih penting kerana melibatkan berbilion wang rakyat.

"Perkara ini telah berlanjutan dengan lamanya dan SPRM dan SC perlu melakukan siasatan dengan segera. Jangan ada lengah-lengah, jangan ada selective prosecution(dakwaan terpilih) atau mahu dibuat lupa-lupa," tegas beliau sebelum menambah kes pembelian Tren Elektrik yang didedahkan beliau juga masih tidak diambil tindakan oleh SPRM.

Laporan audit oleh juruaudit forensik bebas, KPMG dan Deloitte Enterprise Risk Services Sdn Bhd dan perunding undang-undang dilantik untuk mengkaji situasi dalam empat projek yang diketuai bahagian tenaga dan utiliti telah dipertimbangkan oleh lembaga pengarah Sime Darby pada 20 September.

Salinannya telah diberikan kepada SPRM dan Suruhanjaya Sekuriti.

Projek terbabit ialah Qatar Petroleum, Maersk Oil Qatar (MOQ), sebuah projek membabitkan pembinaan kapal serta Projek Empangan Hidroelektrik Bakun.

Semasa mengumumkan kerugian pada Mei lalu itu, Sime Darby turut mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulannya, Datuk Seri Zubir Murshid, supaya bercuti sebelum beliau kemudiannya digantikan.

Dzulkefly menganggap bukan Zubir seorang saja yang perlu bertanggungjawab malah lembaga pengarah Sime Darby juga mempunyai peranan dalam setiap tindakan syarikat.

"Mesyuarat Lembaga dan pemantauan baik dari lembaga boleh mengesan sesuatu yang tidak baik dari terlepas pandang.

"Sepatutnya seluruh lembaga pengarah bertanggungjawab bukan Zubir seorang sahaja yang kena," katanya lagi.

Menurut Dzulkefly kerugian bagi GLC adalah perkara biasa tapi amat membimbangkan kerana lazimnya melibatkan penggunaan dana rakyat.

Justeru, Dzulkefly mahukan agar GLC lain mengambil iktibar tentang hal ini.

"Iktibar dari Sime Darby, janganlah GLC kita terlaku rakus membuat pelaburan dengan tidak mengambil perhitungan kewajaran kerana dikatakan bahawa pelaburan projek Qatar Petroleum ialah tidak bijak," katanya lagi.

No comments: