Friday, November 12, 2010

Waspada Umno sudah aktif di kawasan PAS



SHAH ALAM , 13 Nov. : Kekalahan PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Galas pada 4 November lalu adalah pengajaran untuk menguatkan lagi persediaan PAS dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, parti itu perlu waspada terhadap kemungkinan Barisan Nasional (BN) aktif semula di negeri yang kini di bawah kuasa PAS.


Menurutnya, sejak 20 tahun lalu, daripada lima pilihan raya kecil yang diadakan di Kelantan iaitu Gua Musang, Pulai Condong, Pengkalan Pasir, Manek Urai dan Galas, hanya dua dimenangi PAS iaitu Pulai Condong dan Manek Urai.


Husam, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, berkata, pilihan raya kecil di Kelantan ibarat satu penyeksaan kepada Kerajaan Pusat kerana ia datang dengan segala macam kemungkinan.


“Pada saya, DUN Galas selama-lamanya kerusi Barisan Nasional. Kami kalah dan menang semula. Kami menang pada 2008, itu adalah atas usaha keras (penyandang sebelumnya) Chek Hashim Sulaima.


“Saya kira kekalahan di Galas sebagai iktibar dan pengajaran. Kita memerlukan sedikit kejutan agar tidak selamanya merasa selesa. Kami terima kekalahan sebagai perkara yang boleh memperkukuhkan lagi PAS pada masa akan datang. Ibaratkan sebuah syarikat, kalau sentiasa untung besar maka tidak ada inisiatif baru dilakukan,” katanya dalam temu ramah ketika membuat lawatan ke Kumpulan Media Karangkraf, di sini, semalam.


Husam, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Perancangan Ekonomi dan Kebajikan Negeri, berkata, walaupun kalah dalam pilihan raya kecil itu, jumlah undi dalam kalangan pengundi Orang Asli menunjukkan peningkatan ketara.


Pilihan Raya Kecil DUN Galas, 4 November lalu diadakan berikutan kematian penyandangnya iaitu Chek Hashim, pada 27 September 2010.


Dalam pilihan raya itu, calon BN, Ab Aziz Yusoff mengalahkan calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed dengan majoriti 1,190 undi.
SH

No comments: