Saturday, December 25, 2010

Kalut nak bagi projek kepada kroni

MRT: Kabinet Kalut, Laporan SPAD Belum Siap


SHAH ALAM 25 Dis. : Kabinet disifatkan sebagai 'kalut' dan tergesa-gesa bagi melaksanakan Projek Transit Aliran Massa(MRT) kerana kajian yang dilakukan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang masih tidak siap, dakwa Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad.

Sebagai rekod kajian keseluruhan setiap pelan itu patutnya siap bulan September 2011 oleh SPAD.

Terbaru, Projek Transit Aliran Massa (MRT) yang bernilai lebih RM 36 bilion yang diagung-agungkan sebagai 'masterpiece' dan penyelesaian masalah pengangkutan di kawasan Lembah Klang dan sekitarnya oleh Kabinet Najib sejak pengumuman rasminya beberapa minggu lalu.

"Najib ni, yang dia huru-hara sangat nak cepat sangat seolah-olah nak kiamat esok kenapa? Mengikut sebuah badan transitmy.org, banyak lagi perkara mesti diteliit. Maksudnya MRT ini belum dibuat keputusan oleh SPAD sebagai penyelesaian paling bijak dan paling tuntas untuk Lembang Klang dan Greater KL ini," katanya kepada Tv Selangor.

Ketika mengumumkan pelaksanaan projek ini awal Disember lalu, Najib berkata perlaksanaan projek aliran transit massa (MRT) di Lembah Klang dijangka menjana Pendapatan Negara Kasar (GNI) antara RM3 bilion dan RM4 bilion setiap tahun dari tahun hadapan hingga 2020, hasil daripada pembinaan dan operasi.

Bagamanapun menurut Dzulkefly, kerajaan yang baik memberi komitmen melaksanakan kemudahan kepada rakyat tanpa mengira keuntungan jangka pendek.

Beliau memberitahu, jika kerajaan melaksanakan prasarana asas dengan baik, kesan berganda atau mutiplier effect akan datang sendiri melalui rakyat.

"Apa yang sepatutnya kita lihat dalam perkara ini ialah satu komitmen dari pihak kerajaan bekal infrastruktur yang baik kepada rakyatnya, bukan dengan kepentingan mendapat pulangan untuk pelaburan tersebut. Oleh itu ia tak patut dilihat sebagai pelaburan untuk mendapat pulangan segera," katanya lagi.

Sementara itu, dalam perkembangan sama MMC-GAMUDA tidak patut membida atau diberi kontrak dalam projek pembinaan terowong bernilai RM 13 bilion pembinaan Sistem Transit Aliran Massa (MRT) kerajaan.

Dr Dzulkefly menjelaskan ia akan mengakibatkan konflik kepentingan kerana pada masa yang sama menjadi 'pengurus projek' atau Rakan Pelaksana Projek (PDP) projek MRT ini.

"Pada saya, kalaulah dia berperanan sebagai PDP, biarlah berperanan sebagai PDP sahaja. Ini dia juga nak bida. Dari segi pentadbiran baik, itu sudah ada conflict of interest di situ," katanya.

18 Disember lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pelantikan syarikat MMC-Gamuda JV Sdn. Bhd. (MMC-Gamuda) untuk melaksanakan projek pengangkutan darat terbesar negara iaitu Transit Aliran Massa (MRT) yang dianggarkan bernilai RM36 bilion.

Bagaimanapun kos itu tidak termasuk jumlah untuk kos pembinaan dan tidak termasuk kos pembelian tanah serta pemilikan teknologi paling terkini bagi pembangunan sistem MRT yang boleh menambah kos projek ini sehingga RM50 bilion.

Bagaimanapun sehari selepas itu, Najib mengumumkan pula syarikat tersebut diberi pengecualian untuk membida tender pakej terowong bernilai RM 13 bilion atas alasan satu-satunya syarikat tempatan yang berpengalaman.

Selain itu timbul ura-ura sememangnya MMC GAMUDA sudah diberikan kontrak itu tetapi diselindungkan atas alasan bidaan tender belum tamat.

Justeru, Dzulkefly mahu Najib melaksanakan janji bagi satu bidaan tender terbuka yang telus berdasarkan keupayaan dan bukannya untuk kroni.

"Janji PM, Janji Najib untuk pemberian tender kontrak sebagai tender terbuka mestilah dilakukan dan ditunaikan. Sebab tunnel itu paling besar, dan memakan RM13 bilion daripada nilai RM36 bilion dan keseluruhan RM50 bilion," jelasnya.

No comments: