Friday, December 31, 2010

KSN pun ikut arahan

MB Selangor Kesal, KSN Belakangkan Etika Profesional


SHAH ALAM 1 Jan. : Kerajaan Selangor kesal dengan sikap Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang dengan sengaja membelakangkan proses pemilihan yang telah ditetapkan bagi memilih Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baharu.

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dalam kenyataannya berkata pemilihan Datuk Mohamad Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, KSN telah mengabaikan proses pemilihan mengikut Nota Amalan Perkhidmatan Awam yang menyatakan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri perlu mendapatkan nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam peringkat Pusat dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri.

"Proses pemilihan itu memerlukan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri mengemukakan calon yang sesuai bagi mengisi jawatan berkenaan dan mendapatkan kelulusan Menteri Besar sebelum diserahkan kepada DYMM Sultan Selangor untuk diperkenan.

"Selepas mendapat perkenan DYMM Sultan Selangor, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri memanjangkan nama calon berkenaan ke Suruhanjaya Perkhidmatan Awam peringkat Pusat untuk proses dokumentasi pelantikan," kata beliau.

Kerajaan Negeri Selangor kata Khalid telah mengambil langkah sewajarnya dengan membentuk sebuah jawatankuasa khas diketuai Speaker Dewan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim untuk menemuduga semua lapan calon yang dicadangkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri.

"Jawatankuasa itu telah memilih tiga calon terbaik berdasarkan jasa-jasa mereka selain kriteria yang diperlukan bagi mengisi jawatan strategik dan paling kanan dalam pentadbiran awam Kerajaan Negeri Selangor.

"Ketika mengumumkan pelantikan Khusrin, KSN bukan saja membelakangkan Menteri Besar malah mengabaikan proses pemilihan calon berdasarkan kredibiliti, kemampuan dan pengalaman.

"Perlu dinyatakan di sini, tindakan Sidek bukan sahaja melanggar Perlembagaan, tidak bertanggungjawab serta tidak profesional malah boleh dianggap bermotifkan politik; sebagai salah satu usaha untuk mencabar kredibiliti Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor," ujar beliau.

Apa yang lebih merunsingkan beliau adalah Sidek telah menghantar mesej yang tidak sihat iaitu kemampuan dan pengalaman bukan keutamaan dalam mempromosikan kenaikan pangkat pegawai kerajaan.

"Mesej ini sangat bahaya apatah lagi sememangnya perkhidmatan kerajaan acap kali dikritik sebagai tidak efisyen," tegas Khalid.

No comments: