Thursday, December 30, 2010

Negeri Pakatan catat pelaburan tertinggi, negeri BN catat rasuah tertinggi

Catat Pelaburan Tertinggi: P Pinang, Selangor Disaran Jadi Contoh


SHAH ALAM 30 Dis.: Dua negeri ditadbir Pakatan Rakyat Pulau Pinang dan Selangor disaran dijadikan contoh kerana berjaya mencatat pelaburan tertinggi pada tahun 2009 yang lalu.

Laporan bebas Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU) 2010) itu menyebut jumlah dividen dan keuntungan mencatatkan angka tertinggi sejak tahun 2005.

Dikeluarkan semalam KPRU 2010 mengiktiraf prestasi pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Selangor yang mendapat penilaian dan pengiktirafan yang baik berbanding negeri Johor, Pahang dan Melaka yang ditadbir sekian lama oleh Barisan Nasional.

KPRU yang memetik laporan Ketua Audit Negara 2009 yang menunjukkan betapa kerajaan Pulau Pinang mencatatkan keuntungan pelaburan sejumlah RM 5.09 juta dalam masa kelembapan ekonomi melanda seluruh dunia, mengatasi negeri-negeri lain.

Timbalan Ketua Menteri (2) Pulau Pinang, Prof. P. Ramasamy menjelaskan kejayaan Pulau Pinang bertitik tolak dari polisi mengelak pembaziran dan pelaksanaan pelbagai program khas untuk rakyat.

"Kita juga tahu pelaburan asing juga meningkat walaupun keadaan ekonomi global lembap akibat beberapa faktor. Jadi saya rasa kerajaan Pakatan Rakyat adalah berasaskan rakyat dan beri perkhidmatan baik kepada rakyat.

"Memang pentadbiran Pulau Pinang lebih cekap, lepas tiga tahun kita berjaya jimatkan wang, dulu saya rasa mana ada kerajaan negeri Barisan Nasional(BN) jimatkan wang. Jadi wang yang kita jimatkan kita salurkan kepada rakyat melalui program," katanya.

Kajian KPRU mendapati bahawa kedudukan kewangan Pulau Pinang secara keseluruhannya adalah baik dengan melakukan beberapa pengubahsuaian dalam aktiviti perolehan, bentuk perbelanjaan yang benar-benar berhemat tanpa menjejaskan kebajikan rakyat negeri itu.

Hasilnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengakhiri tahun kewangan 2009 dengan lebihan sejumlah RM77.34 juta menjadikan lebihan dana terkumpul berjumlah RM538.95 juta, lebih baik dari negeri tadbiran kerajaan Barisan Nasional.

Dalam pada itu, laporan KPRU juga menunjukkan pengurusan kewangan Selangor yang jauh lebih kukuh berbanding Pahang dan Johor walaupun mencatat deifisit.

Gabungan hasil kedua-dua buah negeri BN itu adalah sebanyak RM1,243 juta berbanding dengan hasil Negeri Selangor sebanyak RM1,764 juta, tetapi gabungan defisit adalah sebanyak RM120.95 juta, iaitu lebih kurang satu kali ganda lebih tinggi daripada defisit Selangor yang berjumlah RM65.96 juta.

Laporan Ketua Audit Negara sebelum ini mengesyorkan supaya Selangor meneruskan perbelanjaan berhemat dan terus berusaha mengutip baki pinjaman boleh dituntut di samping usaha berterusan terhadap kutipan tunggakan bayaran pinjaman boleh dituntut, manakala Johor dan Pahang disyorkan perlu mempertingkat dan memperkukuhkan lagi prestasi kewangan (Johor), dan perlu mengamalkan perbelanjaan berhemat (Pahang).

Menurut Ramasamy, ini merupakan bonus kepada rakyat di negeri Pakatan Rakyat yang berpeluang membandingkan antara pentadbiran mereka dengan pentadbiran Barisan Nasional dahulu.

Malah beliau yakin rakyat bakal terus memberikan mandat jika kerajaan negeri terus memperbaiki sistem penyampaian dan kecekapan pengurusan.

"Dulu rakyat tak boleh banding, dulu satu kerajaan sahaja, BN. Sekarang rakyat boleh banding, biar tengok kerajaan PR, boleh buat keputusan. Ini adalah satu kebaikan politik yang telah datang kepada rakyat dan saya rasa kalau kerajaan negeri PR boleh tingkatkan kecekapan dan sistem penyampaian, kita boleh dapat mandat sekali lagi," jelasnya.

Menurutnya lagi, hasrat Pakatan Rakyat tetap untuk menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum akan datang bagi meningkatkan lagi keupayaan mereka dalam membela nasib rakyat.

Kita mahu tawan Putrajaya, kita mahu juga berkuasa di Federal. Banyak kuasa terletak di tangan Persekutuan, kita tak boleh laksanakan apa yang kita ingin," katanya.

No comments: