Sunday, January 9, 2011

' Kita Bersaudara ' eratkan perpaduan hindari sentimen perkauman

Kita Bersaudara tanpa kira kaum, agama

KUALA LUMPUR, 10 Jan: Lajnah Penerangan dan Dakwah khususnya skuad Kita Bersaudara yang baru dilancarkan semalam harus digunakan sebagai medium pendidikan kepada rakyat mengenai semangat persaudaraan tanpa mengira kaum dan agama.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, skuad Kita Bersaudara harus menyediakan satu garis panduan yang sesuai digunakan oleh semua peringkat dalam parti bagi kelangsungan gerak kerja penerangan kepada semua kaum.

(Gambar: Mahfuz menyerahkan sijil keahlian DHPP.)

"Program begini sangat baik yang sepatutnya tidak boleh habis di sini, tapi harus dikembangkan di pelbagai peringkat dengan menyediakan satu garis panduan yang mudah diikuti oleh organisasi dalam parti untuk menghidupkan program melibatkan semua kaum ini," kata beliau ketika ditemui di mjlis pelancaran Sua Kasih Kita Bersaudara di tapak Kompleks Pendidikan Titiwangsa, Jalan Gurney, dekat sini petang semalam.

Menurut beliau, unsur pendidikan mengenai persaudaraan antara kaum harus ditekankan dalam setiap program yang dilaksanakan pihak lajnah.

"Bukan sekadar buat program dengan satu keramaian sahaja tapi yang penting mesti ada unsur bagaimana proses pendidikan kepada rakyat pelbagai kaum untuk buang sifat perkauman yang melampau sehingga tidak melihat rakyat Malaysia ini sebagai satu keluarga," katanya yang juga ahli Parlimen Pokok Sena.

Tambahnya skuad Kita Bersaudara ini juga dapat mewakili suara anak muda yang inginkan pembaharuan dan membenci sifat perkauman.

"Ini satu proses pendidikan iaitu dalam kumpulan ini, terdiri daripada wanita muda yang menggambarkan citarasa golongan muda yang bukan hanya boleh dihayati oleh wanita muda tapi keseluruhan masyarakat.

"Ini juga boleh menggambarkan perasasan anak muda yang tak mahu lagi melihat negara kita dipenuhi dengan sifat perkauman," katanya lagi.

Ujarnya, pemikiran anak muda tidak harus terus dirosakkan dengan menanamkan sifat perkauman yang melampau.

"Generasi yang sudah melangkaui era 50 dan 60-an tidak harus dirosakkan lagi pemiliran mereka.

"Mereka sedang membawa peradaban baru iaitu peradaban kita adalah bersaudara," katanya.

Beliau sebelum itu menyampaikan sijil keahlian seumur hidup PAS kepada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Sementara itu, program sehari bermula jam 8 pagi hingga 5 petang itu diwarnai dengan pelbagai aktiviti melibatkan semua kaum dan peringkat umur.

Program khidmat kesihatan percuma yang disediakan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA), dan persatuan rawatan secara Islam mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada golongan dewasa lelaki dan wanita.

Turut dibuka ialah kaunter derma organ dan perkhidmatan derma darah serta rawatan refleksologi dari orang kelainan upaya (OKU).

Manakala kanak-kanak pula berpeluang menunjukkan bakat masing-masing melalui pertandingan melukis dan mewarna bersama pasukan kartunis Ujang dan Kluang Man manakala golongan remaja pula diuji ketajaman minda mereka dalam pertandingan eksplorasi minda yang dijalankan di kawasan sekitar.

Turut berlangsung lelong amal barangan berharga milik pimpinan PAS antaranya barangan peribadi bekas Mursyidul Am, Almarhum Tuan Guru Yusof Rawa.

Tidak ketinggalan acara cabutan bertuah yang menyediakan pelbagai hadiah menarik termasuk pakej percutian ke Pulau Redang.

Kumpulan dikir barat Salam Pantai Timur dari Kelantan, pasukan gendang tiga budaya serta kumpulan kompang dari Ampang pula diundang khas untuk membuat persembahan mereka.

Dalam pada itu, Pengerusi Lajnah Penerangan dan Dakwah Dewan Muslimat PAS Pusat, (DMPP), Aiman Athirah Al-Jundi menyifatkan program dengan kerjasama pusat khidmat wakil rakyat Titiwangsa itu sebagai berjaya membawa mesej persaudaraan.

Ujarnya, meskipun melalui pelbagai halangan termasuk kekurangan dana, namun pihaknya berjaya melaksanakan program sedemikian dan berjanji akan meneruskannya pada masa akan datang.

"Tugas yang lajnah kami pikul ini bukan tugas mudah. Selain merentasi kaum, bangsa, agama dan budaya, kami juga mengalami masalah kekurangan dana untuk melaksanakan program.

"Tapi berkat kesungguhan pihak kami, kami berjaya sampai ke perkampungan orang asli di Semenanjung, ke kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

"Insya Allah usaha menghapuskan sifat perkauman ini akan kami teruskan sehingga mesej persaudaraan benar-benar sampai kepada rakyat di negara ini," katanya. 

No comments: