Thursday, February 10, 2011

Rakyat Serawak perlu bijak , tidak mudah diperbodohkan

Tanah Adat : Rakyat Sarawak Perlu Buat Pilihan Bijak


SHAH ALAM 10 Feb.: Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sarawak, Baru Bian menyeru masyarakat Orang Asal di negeri itu untuk membuat pilihan yang bijak dalam menangani masalah Tanah Adat Bumiputera (NCR).

Katanya, dasar kerajaan Barisan Nasional(BN) yang mengenepikan hak rakyat harus dihentikan segera dan kini sudah sampai masanya, perubahan benar-benar diperlukan di bumi Sarawak.

Jelasnya semua masalah ini berpunca dari dasar yang tidak baik.

"Kalau kita hendak satu pemerintahan yang boleh menolong kita dan mengutamakan dasar yang baik, yang memperjuangkan hak kita, harus kita tukar pemerintahan," kata Baru, seraya meluahkan harapannya supaya rakyat Sarawak bangkit dari terus dizalimi kerajaan pimpinan Tan Sri Taib Mahmud.

Ramai berpendapat kes tanah adat ini umpama 'duri dalam daging' bagi kerajaan negeri dan jika ia gagal diselesaikan, maka BN Sarawak bakal berhadapan musibah pada pilihan raya negeri akan datang.

"Kita boleh bawa kes ini ke mahkamah, kita boleh menang tetapi ia mengambil masa. Dan yang keduanya, kalau kita menang, mereka akan membuat rayuan pula. Mereka boleh merayu dari sudut undang-undang dan ini mengambil masa yang panjang," ujar Baru.

Justeru, rakyat punyai pilihan yang mudah dan tidak perlu menunggu dalam jangka masa yang lama.

Dengan bertukarnya pemerintahan, beberapa perkara boleh dilakukan oleh Pakatan Rakyat untuk membantu menyelesaikan masalah status tanah yang membelenggu masyarakatnya termasuk menubuhkan Suruhanjaya Tanah Adat seperti yang dijanjikan gagasan itu sebelum ini.

Menurut Baru, pada 16 Februari ini turut berlangsung perbicaraan kes tanah adat yang diceroboh oleh sebuah syarikat pembalakan yang mempunyai kaitan dengan adik Taib, Raziah Mahmud.

Dalam kejadian 16 Oktober tahun lalu, satu kebakaran berlaku di kem pembalak terletak di kawasan Sebangan, Kuching yang dimiliki oleh Quality Concrete Holding Berhad.

Ekoran dari kejadian itu, seorang aktivis, Nicholas Mujah dan beberapa orang tua di rumah Iban telah ditangkap oleh pihak polis walaupun langsung tidak ada bukti yang menunjukkan pembabitan mereka dengan kebakaran kem tersebut.

Beberapa hari sebelum itu, Nicholas dan beberapa orang yang lain telah mendirikan 'blockade' bagi menghalang syarikat tersebut menjalankan pembalakan di tanah NCR, lebih kurang seluas 3,000 hektar di kawasan tersebut.

Namun 'blockade' tersebut didirikan untuk mempertahankan tanah NCR apabila Jabatan Hutan Sarawak telah memberikan lesen pembalakan kepada syarikat itu tanpa menghiraukan tuntutan orang Iban yang menduduki kawasan berkenaan.

No comments: