Tuesday, March 22, 2011

Akad nikah di masjid bukan amalan Kristian - Dr Abdul Aziz Hanafi

http://www.oneahlulbait.com/wp-content/uploads/2011/02/aziz-hanafi1.jpgALOR SETAR - Dakwaan Ahli Majlis Fatwa Perlis, Datuk Ahmad Jusof menjadikan masjid sebagai lokasi akad nikah adalah menyimpang daripada amalan Rasullah dan dikatakan meniru penganut Kristian dianggap bersifat pandangan peribadi semata-mata.

Ahli Majlis Fatwa Kedah, Profesor Madya Dr Abdul Aziz Hanafi berkata, beliau amat menghormati pandangan itu walaupun tidak melambangkan kenyataan rasmi sebuah jabatan atau kerajaan.

Beliau berkata, sebelum pendapat itu disuarakan secara peribadi terdapat kenyataan dan perkara lain yang perlu diperhalusi terlebih dahulu, terutama merujuk kepada beberapa ayat Al-Quran menjelaskan kesemua masjid adalah untuk Allah.

“Pelaksanaan akad nikah dalam masjid atau sebarang perkara seumpamanya tidak boleh disamakan dengan acara lain yang diadakan di rumah ibadat mereka berdasarkan kepada Al-Qias Ma’alfariq.

“Sewaktu zaman Rasulullah terdapat pelbagai aktiviti kemasyarakatan, perundangan, latihan ketenteraan yang dilaksanakan dalam masjid itu sendiri bagi menggalakkan orang ramai lebih mendekati masjid,” katanya ketika ditemui semalam.

Bagi memperjelaskan isu itu, Dr Abdul Aziz, berkata, perkara berkenaan tidak sepatutnya dipersoalkan kerana dapat menggalakkan pasangan pengantin berusaha menyucikan diri daripada hadas kecil dan besar sebelum melangkah ke masjid.

“Selain itu, selepas upacara wajib dilakukan, pasangan pengantin digalakkan menunaikan solat sunat selepas majlis sebagai tanda kesyukuran dan tetamu yang meraikan pengantin turut berpeluang sembahyang sunat ketika melangkah ke masjid.

“Jika diikutkan pada hari ini, perlaksanaan ijab dan kabul dalam masjid bukan sahaja dilakukan di Malaysia tetapi dilaksanakan di negara yang mempunyai ramai ulama seperti Tunisia, dan Maghribi,” katanya.

Menurutnya, bagi mengukuhkan lagi penjelasan, dalam Al-Quran Allah menjelaskan sekiranya orang Kafir Harbi meminta perlindungan dalam masjid mereka dibenarkan masuk supaya dapat mendengar sendiri bacaan al-Quran dan melihat orang bersolat.

“Jelas kepada kita bahawa usaha untuk memasyarakatkan masjid seharusnya diteruskan kerana ia tidak hanya sekadar tempat menunaikan solat sebaliknya meliputi pelbagai urusan lain.

“Oleh kerana itu, acara akad nikah dilangsungkan dalam masjid termasuk antara urusan yang menjurus ke arah membina sebuah masyarakat Islam bahagia, bermula dari suami isteri melangkah masuk ke masjid selagi mengikut peraturan ditetapkan,” katanya.

Tambahan pula, majlis akad nikah selalunya diadakan bukan dalam waktu solat dan tidak mengganggu urusan lain.SH

No comments: