Monday, March 7, 2011

Harussani kena jawab, bilakah Nik Aziz menyatakan bahawa undi PAS masuk syurga

Nik Aziz Tuntut Harunssani Jelas Isu 'Undi PAS Masuk Syurga'


KOTA BHARU 8 MAC : Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menghantar surat rasmi kepada mufti Perak, Tan Sri Harunssani Zakaria bagi menyatakan hasratnya mahu berjumpa tokoh agama itu bagi merungkai perselisihan pendapat antara mereka.

Surat itu juga antara lain menuntut Harunssani menjelaskan tulisannya sebelum ini yang mendakwa Nik Aziz yang juga menteri besar Kelantan, pernah berkata 'undi PAS masuk syurga'.

Tulisan mufti itu disiarkan oleh akhbar Mingguan Malaysia 6 Mac lalu, iaitu hari pengundian bagi pilihan raya kecil dewan undangan negeri Kerdau dan Merlimau.

"Hari ini saya telah menghantar surat rasmi kepada sohibus samahah Tan Sri Harussani, mufti Perak memohon penjelasan di atas tulisan beliau di dalam Mingguan Malaysia 6 Mac 2011.

"Saya memohon supaya beliau menjelaskan bilakah saya menyatakan bahawa undi PAS masuk syurga," katanya melalui Facebook hari ini.

Kedua-dua tokoh itu sering bercanggah pendapat berhubung isu agama dan jika pertemuan yang dicadangkan itu menjadi kenyataan, ini adalah kali pertama berlaku mereka akan duduk semeja.

"Semoga beliau memberikan respon,"kata Nik Aziz lagi.

Semalam, Dewan Pemuda PAS Perak juga telah menghantar surat jemputan kepada Harussani berhubung perkara yang sama.

Mereka menawarkan diri untuk menjadi orang tengah bagi menjayakan pertemuan tersebut.

Menurut Pemuda PAS Perak, sudah tiba masanya untuk kedua-dua tokoh itu bersemuka dengan cara yang lebih terhormat dan beradab bagi menjernihkan keadaan dan menyelesaikan kemelut yang hanya merugikan umat Islam.

Mereka berpendapat, dengan menghormati ilmu Harussani, pihaknya merasakan kaedah itu adalah yang terbaik bagi menidakkan semua pandangan yang telah dikemukakan secara terbuka.

Pemuda PAS Perak juga sebelum ini antara yang tidak senang dengan beberapa pandangan mufti itu khususnya dalam isu ancak membabitkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

No comments: