Tuesday, March 29, 2011

Video Seks : UMNO memang terbabit , tidak boleh nafi

Johari : UMNO Terbabit Dalam Penayangan Video Seks Anwar



SHAH ALAM, 29 MAC: Ahli Parlimen Sungei Petani Johari Abdul berkata kepimpinan Umno tidak boleh menafikan pembabitan mereka dalam fitnah video seks terhadap Anwar Ibrahim kerana beliau dijemput untuk menonton rakaman itu seminggu sebelum ia ditayangkan kepada media.

Johari berkata pembabitan langsung Pengerusi Risda Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik yang juga bekas Ketua Menteri Melaka dalam video itu adalah satu lagi petanda jelas pembabitan langsung Umno pada peringkat tertinggi.

“Bagaimana nak kata orang Umno tidak terlibat. Tan Sri Rahim yang sambut saya dan bukan sahaja Tan Sri Rahim bercerita tentang betapa buruknya akhlak Anwar ini kerana berlakon dalam filem hitam putih ini. Dia tawar saya untuk lompat. Kemudian dia kata akan membawa saya berjumpa dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak),” katanya.

“Walaupun saya mendiamkan diri dan tidak berkata apa-apa tetapi apa yang saya ingin sebut ialah tidak mungkin semua ini tidak dirancang kerana saya telah dihubungi oleh agen yang ingin membawa saya seawal 15 haribulan (Mac) dan saya tonton filem ini pada 21 hb Mac,” tambah beliau.

Najib, selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno menafikan pembabitan Umno dalam fitnah video lucah itu selepas ramai pihak sangsi bahawa Rahim dan dua rakannya sanggup mendalangi video itu tanpa pengetahuan Presiden Umno dan Timbalannya.

Johari menjadi Ahli Parlimen Pakatan pertama yang diundang Rahim menonton video itu. Namun beliau menegaskan pelaku dalam video itu bukan Anwar berasaskan susuk tubuh dan bahasa badan walaupum mempunyai iras wajah Ketua Pembangkang itu.

Pejabat Parti Keadilan Rakyat pula mengemukakan bukti catatan Twitter dan Facebook Anwar untuk membuktikan Ketua Pembangkang itu dirumah dan berinteraksi di alam siber ketika rakamkan itu dikatakan dibuat.

Johari berkata taktik menfitnah musuh politik sudah sebati dalam Umno, justeru tidak ada pihak terkejut dengan isu video seks yang kini dihadapi oleh Anwar.

Beliau berkata Umno menggunakan taktik menfitnah bukan sahaja terhadap musuh di luar parti tetapi juga di dalam parti menerusi surat layang, buku, video, mengupah penulis blog dan lain-lain.

“Fitnah adalah mainan politik dalam Umno itu sendiri. Setiap kali ada mesyuarat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi, fitnah juga akan digunakan. Bagi mereka yang biasa dengan perjalanan Umno, buku yang macam-macam cerita diletakkan dalam beg perwakilan di dewan adalah perkara biasa,” kata beliau.

“Ini bukan sesuatu yang ganjil tetapi adalah asam garam Umno,” katanya dalam forum khas Menyanggah Politik Fitnah anjuran TVSelangor di Shah Alam semalam.

Johari berkata fitnah video seks yang dihadapi oleh Anwar hanyalah kesinambungan taktik kotor yang diguna oleh pemimpin Umno untuk menjatuhkan musuh politik.

“Cuba kita lihat pada tahun 1998, siapa Perdana Menteri? Mantan Perdana menteri Tun Dr. Mahathir. Tahun 2008, Perdana Menterinya adalah Tun Abdullah Badawi. Tahun 2011, Perdana menterinya adalah Najib Tun Razak. Jadi, apa bezanya? Tiada beza. Maknanya Perdana menteri yang datang daripada Umno akan mengiyakan taktik begini kerana sememangnya inilah permainan yang dimainkan oleh Umno di peringkat yang berbeza- beza,” tambah beliau.

Pada tahun 1998, Anwar dipecat dari kerajaan dan Umno serta difitnah dengan tuduhan liwat dan rasuah sebelum dihumban enam tahun dalam penjara.

Pada tahun 2008, selepas memimpin Pakatan Rakyat menawan empat negeri dan mengekalkan Kelantan serta menamatkan majoriti dua pertiga Umno- BN di Parlimen, tiba-tiba Anwar sekali lagi menghadapi pertuduhan fitnah liwat.

Johari berkata pusingan terbaru fitnah yang dihadapi oleh Anwar jelas didalangi oleh Umno, namun berkata apa yang membimbangkan sekarang ialah taktik itu turut dipergunakan oleh parti komponen Barisan Nasional seperti MCA.

“Tetapi dalam kes-kes terdahulu termasuklah fitnah ketiga ini nampaknya Umno sendiri mengheret komponen dia. Bukan sahaja mereka telah graduate, malah menurunkan ilmu ini kepada komponen parti pula ,” ujar beliau lagi.

Musuh politik Presiden MCA Datuk Chua Soi Lek sebelum ini menyebarkan sebuah video beliau mengadakan hubungan seks dengan kenalannya untuk memaksa pemimpin itu meletakkan jawatannya sebagai orang nombor dua parti pada 2007.

Soi Lek kembali bertanding untuk jawatan utama dalam parti itu tahun lalu dan menang selesa.

Johari mengingatkan Umno supaya mendokong tanggungjawab memerintah negara seperti yang diamanahkan oleh rakyat dan bukannya menggunakan untuk mengaib dan menjatuhkan musuh.

No comments: