Tuesday, April 26, 2011

MB Kedah sedia dedah nama pemimpin UMNO seleweng

ALOR SETAR - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak bersedia mendedahkan senarai penerima dalam kalangan pemimpin UMNO berhubung dakwaan berlakunya penyelewengan perbelanjaan Seri Temin Development Corporation (M) Sdn Bhd (STDC), sekiranya pemimpin UMNO berterusan memburuk-burukkan Kerajaan Negeri.

Katanya, membelanjakan duit dengan tidak mengikut peraturan adalah salah di sisi undang-undang, terutama wang milik rakyat yang digunakan parti tertentu bagi tujuan aktiviti politik.


“Kita bukannya mempersoal sama ada STDC rugi atau untung bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN), sebaliknya mempertikai perbelanjaan yang secara terang-terangan digunakan untuk tujuan politik,” katanya.

Azizan berkata, Pemuda Pas pada 14 April lalu telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan berlaku penyelewengan berjumlah RM8 juta ekoran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak meluluskan pengecualian cukai korporat terbabit, dan kini pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada badan itu untuk siasatan lanjut.


“Saya akan dedahkan nama-nama pemimpin UMNO terlibat yang menerima peruntukan itu apabila tiba masanya kelak. Saya ada butiran terperinci yang mengesahkan wang disalah guna bagi tujuan mesyuarat UMNO dan sebagainya,” katanya.


Azizan turut menyelar kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah yang mempertahan tindakan UMNO Kedah yang menggunakan ‘sedikit peruntukan syarikat terbabit’ bagi menampung kehadiran pemimpin Kerajaan Persekutuan.


“Saya minta beliau tafsir sendiri bentuk perbelanjaan itu salah atau tidak, atau tunggu sahaja SPRM buat penilaian. Catatan pada laporan jelas menunjukkan perbelanjaan menjurus pada aktiviti politik, bukannya program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR),” katanya.


Menurutnya, sekiranya peruntukan itu benar-benar disalurkan pada program CSR, ia tidak menjadi kesalahan kerana dibelanjakan untuk masyarakat seperti anak yatim atau sumbangan orang miskin.


“Yang saya sangsi ialah kenapa wang itu dibelanjakan pada parti politik? Saya ingin nasihatkan mereka jangan lagi mahu putar belit fakta.


”Selama ini saya diamkan sahaja sebab tidak mahu dedahkan isu ini, namun jika berterusan pentadbiran saya diganggu, saya akan dedahkan,” katanya.


Isu perbelanjaan STDC mula didedahkan oleh Exco Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi, Pembangunan Luar Bandar & Basmi Kemiskinan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah pada Sidang DUN, 4 April lalu, apabila mendakwa pembayaran dan aliran wang keluar STDC sebahagian besar dibuat atas nama politik dan bukannya aktiviti Kerajaan Negeri yang berkaitan dengan portfolio GLC berkenaan.[Sinar Harian]

No comments: