Wednesday, April 27, 2011

PAS Parit Buntar terus tawar khidmat kesihatan percuma kepada penduduk

PARIT BUNTAR, 27 April : Lujnah Kebajikan PAS Parit Buntar meneruskan program kebajikan kepada penduduk di Parit Buntar apabila mengadakan khidmat kesihatan percuma di empat tempat berasingan.

Setiausaha Lujnah Kebajikan PAS Parit Buntar Adnan Abd Rahman berkata, Lujnah Kebajikan telah mendapat khidmat pasukan doktor sukarela yang menawarkan kaunseling kesihatan, pemeriksaan tekanan darah, pemeriksaan kandungan gula dalam darah dan ujian berat badan seimbang

" Pada sebelah pagi khidmat ini telah diadakan di Surau Haji Shaari , Kuala Bagan Tiang dan Surau Asmawiah, Kedai Empat. Manakala pada sebelah petang khidmat ini diadakan di Markas UPU Kampung Kedah dan Pasti An Nur, Taman Kerian Permai.

“ Program hari ini mendapat sambutan hebat dan kami tidak menang tangan dengan kehadiran penduduk terdiri daripada penduduk tempatan dan kawasan sekitar" katanya

Adnan berkata, Lujnah Kebajikan juga dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Parit Buntar telah mengadakan Khidmat Kesihatan Darussyifa' di Surau Sungai Labu Bawah dan Surau Sungai Baru Tengah.

" Khidmat Darussyifa' yang diadakan pada sebelah pagi ini terpaksa disambung hingga lewat petang kerana terlalu ramai yang ingin mendapat khidmat perubatan berasaskan ayat-ayat al-Quran ini.

“ Masing-masing sangat teruja untuk mendapatkan khidmat pemeriksaan kesihatan yang ditawarkan oleh pihak kami “ katanya

Menurutnya, program hari ini adalah aktiviti berterusan yang ditawarkan kepada penduduk di Parit Buntar.

“ Sebelum ini sudah banyak kali khidmat kesihatan percuma kepada masyarakat diadakan oleh PAS Parit Buntar.

“ PAS Parit Buntar bukan sahaja mengadakan program ini kepada orang Melayu malah melibatkan kaum lain di komuniti mereka” katanya

Adnan berkata, kehadiran PAS di hati masyarakat dan keterbukaannya dalam bekerjasama dengan institusi-institusi masyarakat dan perubatan jelas membuktikan keseriusan PAS untuk memberikan yang terbaik dari sudut keperluan dan kebajikan masyarakat.

“ Kami juga mengadakan lawatan ke rumah penduduk yang sakit dan tidak mampu ke tempat program.

“ Rata-rata penduduk sangat berpuas hati dengan program yang dianjurkan dan berharap dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang” katanya

Sementara itu seorang penduduk yang ditemui Zulkifli Asmawi dari Kedai Empat berterima kasih kepada Lujnah Kebajikan PAS Parit Buntar yang banyak mengadakan program berbentuk kebajikan yang banyak memberi manfaat kepada penduduk setempat.

1 comment:

Hairun Azmi said...

Usaha murni yang patut di contohi..

Makanan terlarang