Friday, May 20, 2011

Bob Lokman lancar dana ‘Kami Prihatin’

PARIT BUNTAR, 20 Mei : Lajnah Kebajikan Pas Parit Buntar melancarkan dana ‘Kami Prihatin’ sebagai salah satu cara mendidik masyarakat melakukan kerja kebajikan bersama Pas.

Pengerusinya, Abdul Bahrain Desa berkata, sekiranya Pas mampu melaksanakan keperluan masyarakat dengan menjaga kebajikan, pasti masyarakat akan turut sama menyokong usaha membantu golongan yang memerlukan.

“Kami menyediakan pakej sumbangan barangan keperluan berupa beras, gula, susu, teh dan kopi yang akan diberikan kepada keluarga yang memerlukan di sekitar kawasan Parit Buntar.

“Orang ramai boleh memberi sumbangan melalui dana ‘Kami Prihatin’ ini dengan setiap pakej berharga RM30,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Majlis Pelancaran, di sini.

Hadir merasmikan dana ‘Kami Prihatin’, selebriti terkenal tanah air, Bob Lokman.

Bahrain berkata, Pas Parit Buntar kerap mengadakan aktiviti ‘Kami Prihatin’ dengan mendekati keluarga miskin melalui konsep ziarah.

Menurutnya, ziarah yang digerakkan bukan sahaja dapat mendekatkan hubungan dengan penduduk, malah dapat mengurangkan sedikit beban yang ditanggung keluarga miskin.

“Ramai orang miskin, anak yatim, ibu tunggal memerlukan bantuan kebajikan dan menjadi tugas Pas untuk terus menziarahi mereka,” katanya.

Agenda kebajikan, kata beliau, dapat terus digerakkan dengan wujudnya masyarakat prihatin yang bersama menyertai sumbangan dana berkenaan.

Bob Lokman yang mengumumkan kemasukannya dalam Pas turut berpeluang menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan kepada dua keluarga miskin di kawasan Titi Serong.

Sumbangan boleh disalurkan ke dalam akaun Bank Islam bernombor 08022010048488 atas nama ‘Dana Kebajikan Parit Buntar’ atau hubungi jawatankuasa pelaksana program, Hairul Nizam Ishak di talian 013–581 3634.SH

No comments: