Friday, May 6, 2011

Laksana Qazaf, tolak fitnah UMNO

80 NGO Gesa JAWI Laksana Hukum Qazaf, Tolak Fitnah



KUALA LUMPUR 6 MEI: Ratusan umat mewakili 80 badan bukan kerajaan berkumpul secara aman di Masjd Negara bagi membantah budaya fitnah yang semakin ghairah disebarkan dan tindakan pihak berkuasa Islam membelakangkan hukum Qazaf terhadap gandingan Datuk T kerana menayangkan video lucah untuk mengaibkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka kemudian berarak ke pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) untuk menghantar memorandum bantahan terhadap tindakan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay mengambil sumpah laknat kononnya Anwar adalah pelaku dalam rakaman itu Jumaat lalu.

80 NGO itu yang bergabung sebagai SAF Anti Fitnah turut menuntut supaya JAWI mengambil mengenakan pertuduhan qazaf terhadap Eskay, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari Perkasa Shuib Lazim yang mengaku menayangkan video itu pada 21 Mac lalu untuk memaksa Anwar berundur dari politik.

Kira-kira seratus anggota polis mengawal ketat perkarangan Masjid Negara dan merampas segala sepanduk yang dibawa oleh penunjuk perasaan serta melarang mereka daripada menggunakan pembesar suara.

Sepanduk itu antara lain berbunyi "Kami tolak politik fitnah" dan "Mahasiswa tolak politik jijik."

Selain mengecam penyebaran fitnah, penunjuk perasaan juga meluahkan kemarahan terhadap Utusan Malaysia dan TV3 kerana menghebahkan fitnah itu termasuk menyiarkan rakaman video seks berkenaan berulang kali.

Penyokong-penyokong yang hadir mengoyakkan akhbar Utusan Malaysia di hadapan masjid bagi menandakan Himpunan Amarah Rakyat Malaysia. Bagaimanapun, tidak ada sebarang tangkapan dibuat pihak polis.

Gabungan NGO itu kemudian berarak ke JAWI untuk menuntu supaya badan itu menguatkuasakan Jenayah Syariah Qazaf bagi menangani fitnah tuduhan zina dan liwat terhadap Anwar.

Pengerusi Saf Anti Fitnah Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, perbuatan fitnah bukan lagi berkisarkan politik negara semata-mata tetapi melibatkan prinsip agama Islam.

Justeru pihaknya bercadang menyampaikan memorandum kepada Raja-Raja Melayu di setiap negeri untuk menzahirkan keresahan rakyat Islam terhadap penyebaran fitnah seks yang semakin berleluasa tanpa penguatkuasaan undang-undang syariah.

"Kami akan berterusan berjumpa dengan Majlis Raja-raja Melayu bermula di negeri Kedah," kata Mohd Azmi pada Hari Amarah Rakyat hari ini.

Seterusnya SAF memberikan JAWI sebulan untuk mengangkat perundangan Qazaf bagi menangani dakwaan-dakwaan Datuk T. Jika JAWI gagal berbuat demikian, SAF akan meneruskan siri bantahan demi mempertahankan kewibawaan undang-undang syariah di Malaysia.

Memorandum itu diserahkan kepada Timbalan Pengarah Jawi(Pengurusan), Abdul Murat Abdul Wahab oleh liwa wakil NGO berkenaan.

Selain membantah penyebaran fitnah menerusi media kawalan Umno, penunjuk perasaan juga senada dengan beberapa mufti negeri dalam mengutuk tindakan Eskay mengambil sumpah laknat yang bertentangan dengan syariat Islam.

Sehingga hari ini, Pengarah JAWI Datuk Che Mat Che Ali belum menjelaskan kenapa beliau merestui sumpah laknat Eskay itu yang diambil Masjid Amru Al-As Sentul, walaupun ia jelas di luar peruntukan hukum Syariah Islam

1 comment:

Anonymous said...

Ni gambar betul ke atau gambar tipu. Blog pro kerajaan kata tak sampai 30 org je yg berhimpun.