Tuesday, May 24, 2011

Rakyat Australia kecam Julia Gillard buat perjanjian 'bodoh' dengan Najib

http://d.yimg.com/a/p/ap/20110303/capt.0ee4963bfa9c4783bc646e9cc4ad98fd-0ee4963bfa9c4783bc646e9cc4ad98fd-0.jpg?x=400&y=253&q=85&sig=q3wSBZ.t5HHbUjN8Rv6geg--
Media Australia setiap hari melaporkan Julia dikecam oleh Pembangkang dan rakyat Australia kerana membuat perjanjian yang bukan sahaja merugikan Australia tetapi juga bakal menyebabkan 800 pelarian yang akan dihantar berada dalam bahaya kerana Malaysia tidak menyediakan perlindungan , malah Malaysia tidak mengiktiraf konvensyen berkaitan penyeksaan, konvensyen berkaitan pelarian.

SYDNEY, 24 Mei — Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi pelarian (UNHCR) mengecam perjanjian berkaitan dengan pelarian yang kerajaan Australia meterai dengan Malaysia sambil menyifatkannya sebagai tidak sah, demikian lapor Associated Press Australia (AAP) hari ini.

Navi Pillay, yang dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Australia Julia Gillard di Canberra hari ini memberitahu satu forum di sini bahawa pencari suaka tidak diberi perlindungan sewajarnya di Malaysia.

“Jika Australia serius ... berkenaan soal menghantar 800 orang (pelarian) ke Malaysia, maka saya merasakan ia melanggar undang-undang pelarian,” katanya dipetik agensi hari itu.

“Ia tidak boleh menghantar individu-individu ke negara yang tidak mengiktiraf konvensyen berkaitan penyeksaan, konvensyen berkaitan pelarian,” katanya lagi.

Canberra bercadang untuk menghantar 800 pencari perlindungan, yang datang ke Australia menggunakan bot, ke Malaysia untuk tujuan pemprosesan.

Sebagai pertukaran, Australia akan menyelesaikan seramai 4,000 pelarian tulen yang berada di Malaysia sekarang.

Minggu lalu, Menteri Imigresen dan Kewarganegaraan Australia Clive Bowen berkata perjanjian pertukaran pelarian Malaysia-Australia berpotensi untuk menamatkan model bisnes yang dikaitkan dengan aktiviti menyeludup manusia.

Di bawah perjanjian itu, Australia akan memperluaskan pengambilan kemanusiaan dan menempatkan semula 4,000 pelarian dari Malaysia dalam empat tahun akan datang pada kos A$292 juta (RM935.39 juta).

Wakil PBB itu menimbulkan kebimbangannya mengenai aspek kemanusiaan ekoran perjanjian Gillard dengan Malaysia, yang didakwa merotan dan menghantar balik pencari perlindungan.
Pillay berkata dasar pemprosesan pelarian Australia sewajarnya sah dari segi perundangan dan lebih efisien.

“Opsyen pertama seharusnya bukan bagaimana boleh menghantar balik mereka (pelarian), opsyen pertama seharusnya bagaimana boleh menerima mereka,” katanya.

Pengarah Eksekutif Pusat Undang-undang Hak Asasi Manusia Phil Lynch menggesa parti Buruh supaya menjauhkan diri daripada perjanjian itu, yang ditandatangani secara rasmi oleh kedua-dua parti, kata AAP.

“Obligasi Australia adalah untuk menyediakan perlindungan kepada mereka yang secara sah mencari perlindungan di bawah konvensyen pelarian,” katanya kepada ABC Radio.

“Ini adalah obligasi antarabangsa Australia. Ia obligasi moral kita, ia obligasi kemanusiaan kita,” katanya.

Dalam usaha memerangi jenayah pemerdagangan manusia dan migrasi secara haram di rantau Asia Pasifik, Malaysia dan Australia pada awal bulan ini mengumumkan satu tatacara tindakan dua hala, yang antara lain menampilkan perjanjian untuk bekerjasama dalam memindahkan kumpulan pemohon suaka.

Di bawah tatacara itu, pemohon suaka yang tiba menerusi laut di Australia akan dipindahkan ke Malaysia.

Sebagai balasan Australia akan meningkatkan program kemanusiaan di samping mengambil tanggungjawab lebih besar dalam berkongsi beban untuk usaha penempatan semula pelarian yang ketika ini berada di Malaysia.

Perdana Menteri kedua-dua negara bersetuju supaya unsur penting tatacara itu akan merangkumi pemindahan 800 pendatang yang tiba secara tidak sah, yang sampai di Australia selepas tarikh berkuat kuasa tatacara itu, ke Malaysia, untuk menentukan status pelarian.

No comments: