Wednesday, June 29, 2011

Michelle Yeoh diusir kerana disyaki sokong demokrasi adil dan bersih


YANGON 28 JUN : Bintang Hollywood dari Malaysia, Datuk Michelle Yeoh diusir oleh junta tentera Myanmar dan disenaraihitamkan daripada memasuki negara itu.

Tiada alasan diberikan mengapa aktres popular itu dikenakan sekatan untuk memasuki Myanmar.

Namun tindakan itu dipercayai berhubung kait dengan tindakan Michelle memainkan watak pejuang prodemokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi dalam filem yang bakal diterbitkan lewat tahun ini.

“Dia tidak berpeluang untuk masuk ke Myanmar lagi dan diusir serta-merta dengan menaiki penerbangan pertama selepas dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Yangon pada 22 Jun lalu,” kata seorang pegawai Myanmar hari ini.

Seorang lagi pegawai mengesahkan Michelle disenaraihitamkan tetapi tidak menyebut alasan di sebalik tindakan itu.

Bekas gadis Bond itu menemui Suu Kyi di kediamannya pada Disember lalu selepas selesai membuat penggambaran bersama-sama pengarah dari Perancis, Luc Besson di Thailand untuk filem The Lady yang butir-butirnya masih dirahsiakan itu.

 Suu Kyi, 66, dibebaskan pada November lalu setelah ditahan di rumah selama tujuh tahun berturut-turut, kurang seminggu selepas pilihan raya umum yang dilabel oleh pengkritik sebagai sandiwara bagi mengekalkan pemerintahan tentera di sebalik kerajaan awam di Myanmar.

Pada pilihan raya 1990, beliau mengetuai partinya, Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) untuk mencapai kemenangan besar yang tidak diiktiraf oleh junta tentera.

Suu Kyi memulaukan pilihan raya tahun lepas dengan alasan peraturannya tidak adil.

Michelle, 48, bekas ratu cantik Malaysia, mencipta nama di pesada antarabangsa apabila beliau membintangi filem James Bond, Tomorrow Never Dies pada 1997 sebagai seorang pengintip China yang lasak tetapi cantik, di sisi Pierce Brosnan.

Beliau kemudian membintangi filem arahan Ang Lee, Crouching Tiger, Hidden Dragon yang mendapat sambutan hangat di peringkat antarabangsa, dan filem yang berasaskan novel terkenal Arthur Golden, Memoirs of a Geisha.

No comments: