Thursday, June 30, 2011

PAS Perak kesal tindakan polis

IPOH - Badan Perhubungan Pas Negeri kesal terhadap tangkapan 14 orang termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Jalong, Leong Mee Meng dan Teja, Chang Lih Kang berikutan memakai baju kuning dan mengedarkan bendera Malaysia, di Sungai Siput. Terbaru Ahli Parlimen Gopeng, Dr. Lee Boon Chye dan Adun Simpang Pulai, Chan Ming Kai.

Ketua Penerangannya, Ahmad Nuri Al-Amin berkata, pihaknya kesal kerana polis menggunakan pendekatan tangkapan dalam usaha menggagalkan Himpunan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) pada 9 Julai depan yang dilihat berjaya menggerunkan pimpinan Barisan Nasional (BN).

“Bagi kami penjelasan yang telah diberikan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) terhadap hak asasi manusia untuk berhimpun adalah jelas dan nyata sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Beliau berkata, jika kenyataan Suhakam tidak diambil kira, ini bermakna pihak berwajib telah menidakkan dan mengetepikan fungsi Suhakam yang dibentuk atas perintah Seri Paduka Yang Dipertuan Agong bagi menjaga hak rakyat di dalam negara kita.

“Kami amat berharap agar prinsip demokrasi yang sering disalahfahamkan kepada rakyat sepanjang tempoh 50 tahun lebih kita merdeka dapat diperbetulkan dengan jelas bagi membentuk rakyat yang faham akan hak dan taksiran sebenar Perlembagaan Persekutuan,” katanya.SH

No comments: