Tuesday, June 21, 2011

Moses ak Lawrence diserang dengan parang di hadapan rumah

Pegawai SPRM cedera dalam cubaan samun

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengalami kecederaan di bahagian tangan selepas cuba disamun enam lelaki di hadapan rumahnya di Taman Sungai Besi Indah, Seri Kembangan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 6.30 pagi tadi, Moses ak Lawrence, 36, yang bertugas di Bahagian Forensik SPRM di Putrajaya dikatakan baru hendak keluar dari rumahnya dengan menaiki kereta bersama isteri untuk menghantar anaknya ke sekolah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, DSP Lam Chin Fai, berkata kereta suspek berhenti di hadapan rumah mangsa ketika mangsa mahu menutup pintu pagar rumahnya sebelum seorang anggota kumpulan itu turun dan menghunuskan parang.

Katanya, mangsa bergelut dengan penjenayah itu dan mengalami kecederaan di tangan kiri dan calar di tangan kanan sebelum berjaya menyelamatkan diri dengan menaiki keretanya terus ke Hospital Serdang.

Bagaimanapun, katanya, isteri dan anak mangsa tidak diapa-apakan dalam kejadian itu dan tiada barangan milik mangsa disamun oleh kumpulan itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Mohd Shukri Abdull, yang ditemui di Hospital Serdang berkata motif serangan belum dapat dipastikan.

“Kita tak boleh buat andaian sebab kita tak tahu motif kejadian ini sama ada ia adalah kerana samun, rompak atau lain-lain…Pegawai kita pun tak tahu sebab apa,” katanya.

Sementara itu, empat pegawai polis dari cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hadir di hospital berkenaan untuk mengambil keterangan mangsa.

Bernama

No comments: