Saturday, June 18, 2011

Pemuda di barisan hadapan hadapi UMNO/BN




KUALA LUMPUR 18 JUN : Parti Keadilan Rakyat (PKR) bakal merangka strategi yang lebih ampuh dalam usaha mendepani Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13 kelak.

Menurut Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, konvensyen pilihan raya PKR yang diadakan esok adalah untuk memastikan tema 'Demi Rakyat' yang dibawakan parti itu diperincikan secara jelas kepada jentera parti dan menggunakan sepenuhnya peluang tersebut untuk merangka pelbagai strategi.

“Ketika inilah PKR menawarkan tema ‘Demi Rakyat’, yang paling mudah untuk kita faham adalah satu tema yang bakal menaungi semua kempen dan pembinaan dasar parti yang berteraskan rakyat, people centre,” katanya kepada Tv Selangor.

Jelasnya lagi, jentera parti merupakan juzuk penting dalam menghadapi pilihan raya dan konvensyen yang pertama kalinya diperkenalkan ini memberikan mandat sepenuhnya kepada pemimpin muda untuk mengetuai strategi pilihan raya dengan memfokuskan kumpulan sasar kawasan bandar dan pinggiran bandar.

“Keistimewaan konvensyen ini adalah pimpinan parti memberikan mandat sepenuhnya kepada pimpinan muda untuk melaksanakannya. Mereka yang mengolah tema kempen, mengenalpasti isu, merangka strategi, membina jentera dan sebagainya. Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah menyerahkan kepercayaan kepada pasukan muda ini,” katanya.

Beliau menambah, kumpulan anak muda perlu diberikan tumpuan utama di samping dengan penekanan penggunaan media baru seperti Facebook dan Twitter yang dilihat berjaya menyalurkan maklumat alternatif kepada rakyat.

“Adalah sangat jelas kelompok utama PKR adalah kelompok anak muda yang layak mengundi. Mereka mewakili lebih 30 peratus golongan yang layak mengundi. Mereka merupakan golongan yang celik maklumat. Sebab itu strategi kempen akan memberikan penekanan penggunaan media baru. 9.5 juta anak muda yang aktif dengan Facebook sehingga menyebabkan graf pembaca media tradisi semakin menjunam,” katanya.

Menurut Saifuddin lagi, strategi sebegini akan menjadikan gerak kerja jentera pilihan raya lebih tersusun dan dapat memberikan fokus sepenuhnya di kawasan yang ditandingi.

Pada pertama kali Parti Keadilan Rakyat menyertai pilihan raya pada tahun 1999 dan 2004, parti mengetengahkan tema ‘Ke Arah Malaysia Yang Lebih Adil’ dan pada tahun 2008 ‘Harapan Baru Untuk Malaysia’.

No comments: