Sunday, July 10, 2011

KELAKAR HUJUNG MINGGU : UMNO jauh lebih mampu untuk mengatur tunjuk perasaan yang jauh lebih besar daripada Bersih - Najib



KUALA LUMPUR 10 Julai : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menghimpunkan pemimpin Umno,badan bukan kerajaan pro-kerajaan dan pertubuhan silat bagi meraih sokongan untuk diri dan memperlekeh Himpunan Bersih 2.0.

Berucap kepada 6,000 hadirin di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Najib membayangkan beliau secara peribadi mahu menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap mereka di sebalik Bersih tetapi akan mengelak daripada berbuat demikian.

" Cara terbaik kita nak ajar puak-puak ini. Apa dia? Bukan kita nak tangkap dalam ISA, walaupun rasa-rasanya….(tapi) sebab kita tahan perasaan juga. (Itu) bukan caranya. Caranya ialah kita berpadu, sebagai orang Melayu, bersama kaum-kaum lain,” kata Najib.

“ Kalau Melayu berpadu, kita kuat. Bila kita kuat, kita akan menang dalam PRU 13. Bersatupadulah. Insya Allah bila dapat isyarat kita berpadu, bersatupadu, Saya akan minta Yang Dipertuan Agong bubarkan Parlimen. Kita tunjukkan kepada puak-puak itu, bumi ini milik siapa,” tambah Najib.

Dalam cubaan untuk menaikkan semangat jemputan itu, Najib sekali lagi mengulangi dakwaan bahawa Umno jauh lebih mampu untuk mengatur tunjuk perasaan yang jauh lebih besar daripada Bersih.

“Jangan ragui kekuatan kami. Umno ada tiga juta ahli. Jika kami dapat himpunkan sejuta ahli, ia lebih daripada cukup, kami boleh menawan Kuala Lumpur,” kata beliau yang juga Presiden Umno di Majlis Penerangan Perdana.

Meskipun ribuan anggota polis dikerah untuk “menutup” Kuala Lumpur kepada peserta Bersih semalam, puluhan ribu orang menongkah arus pancutan air kimia dan tembakan gas pemedih mata serta belantan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) untuk menyertai perhimpunan aman itu.

Mereka berjalan secara aman menuju ke Stadium Merdeka untuk menuntut pilihan raya adil dan telus namun menghadapi kekangan dan kekerasan polis di sepanjang perjalanan.

Lebih 1,667 orang ditangkap termasuk Pengerusi Bersih, Ambiga Sreenevasan dan pemimpin-pemimpin kanan Pakatan Rakyat.

Seorang ahli PAS meninggal dunia akibat sakit jantung ketika cuba melarikan diri daripada kekejaman polis. Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim antara puluhan yang mengalami kecederaan. Beliau terpaksa menerima rawatan di Pusat Perubatan Pantai.

Pada perhimpunan tajaan Umno hari ini, Najib terus mengulangi tuduhan bahawa Bersih 2.0 adalah kerja pihak-pihak yang mahu mencetuskan huru-hara di negara ini.

Najib mendakwa pembangkang dan penganjur Bersih merupakan "kaki pusing" kerana terlalu banyak helah yang dibuat untuk menggambarkan bahawa Malaysia merupakan kerajaan yang tidak demokratik di mata dunia.

"Mula-mula terima titah nasihat Agong, kata akan batalkan perhimpunan haram lepas itu pusing balik sebab mereka ini kaki pusing, kata nak buat perarakan aman, kalau polis tak kawal, tak jadi aman,” kata beliau.

Hakikat adalah penganjur Bersih akur dengan nasihat Seri Paduka Baginda Tuanku Mizan Zainal Abidin supaya ia membatalkan perarakan ke Istana Negara di atas faktor keselamatan walaupun niatnya baik.

Bersih kemudian bersetuju kepada tawaran Najib untuk mengadakan perhimpunan itu di stadium. Bagaimanapun Perdana Menteri kemudian mendakwa Bersih tidak layak memohon permit kerana sudah pun diisythiarkan haram oleh kerajaan.

Beliau juga menetapkan syarat bahawa sebarang perhimpunan tidak boleh diadakan di Kuala Lumpur, segala perlakuannya itu dilihat sebagai usaha menambah tekanan terhadap Bersih untuk membatalkan perhimpunan aman itu.

Najib cuba memaksa penganjur Bersih mengadakan perhimpunan itu di negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat, yang dilihat sebagai taktik untuk menguatkan dakwaan kononnya Bersih adalah alat pembangkang untuk menggulingkan kerajaan.

Dalam ucapannya pagi tadi, Najib sekali lagi membidas Anwar dan meremehkan kecederaan yang dialami oleh Ketua Umum PKR akibat tembakan gas pemedih mata.

Beliau juga turut memperlekehkan tuntutan Bersih dengan mendakwa proses pilihanraya negara ini sudah pun bersih dan telus di bawah Suruhanjaya Pilihanraya.

Bagaimanapun Perdana Menteri mengelak daripada menangani isu-isu pendaftaran rakyat asing sebagai warganegara dan pengundi, daftar pemilih yang dicemari dengan pengundi hantu, ketelusan undi pos dan pemindahan pengundi daripada satu kawasan ke kawasan lain.

Najib juga tidak menjurus kepada tuntutan Bersih supaya taktik-taktik kotor seperti sogokan wang dan projek “mi segera’ semasa pilihanraya diberhentikan. Begitu juga dengan penguasaan mutlak Barisan Nasional terhadap media yang menutup ruang kepada pembangkang.

Perhimpunan aman Bersih 2.0 didokong oleh 62 pertubuhan bukan kerajaan bagi menuntut pilihanraya yang adil dan bebas.

Penganjur menjemput semua parti politik untuk menyertai perhimpunan itu namun hanya mendapat sokongan Pakatan Rakyat manakala Umno dan parti-parti komponen Barisan Nasional yang lain memulaunya.

No comments: