Monday, July 18, 2011

Wakil parti politik dalam SPR : Baca pandangan SPR untuk menjaga kepentingan UMNO

Wakil parti bukan penyelesaian

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgR_yclA__yfd44SeeAZJm28LwmO3wcAsegDr8n_99uQ1kXG6uxUtePXbSIB_IDn6TrSjW7TSozzdHYGVymUWLVeIik7W7QDO-Dpkucg6IM0jQkLIPF-5cBhsRHeWbassevVMN-gzGuyusk/s320/spr+love+umno.jpgKUALA LUMPUR - “Bukan aspek personaliti yang menjadi persoalan utama dalam menentukan ketelusan dan transparensi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).”

Itulah reaksi Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar apabila diminta mengulas mengenai cadangan agar ahli panel badan bebas itu terdiri daripada pelbagai latar belakang terutamanya daripada parti politik termasuk ahli akademik.

Cadangan tersebut diutarakan pelbagai pihak bertujuan menjaga kredibiliti badan bebas tersebut yang sering dipertikai sehingga tercetusnya perhimpunan haram Bersih 2.0, 9 Julai lalu kononnya menuntut pilihan raya bersih dan adil.

Menurut Wan Ahmad, buat masa sekarang undang-undang sedia ada tidak membenarkan cadangan tersebut berlaku melainkan Perlembagaan itu dipinda.

“Cadangan ini boleh dibawa ke Parlimen untuk diusulkan dan Kabinet boleh meletakkan cadangan nama. Tetapi sekarang Undang-undang di mana pada Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan, kerajaan yang memerintah (Kabinet) akan mencalonkan nama-nama kepada Majlis Raja-Raja.

“Cadangan itu mungkin akan terjadi kecuali jika Perkara 114, Perlembagaan Persekutuan dipinda seperti di Australia di mana ahlinya dilantik Parlimen,” katanya.

Beliau berkata, personaliti atau siapa yang berada dalam ahli panel SPR bukan satu isu untuk dikaitkan dengan ketelusan SPR memandangkan SPR hanyalah badan mengurus pilihan raya berdasarkan undang-undang sedia ada.

“Jika ada keperluan dalam penambahbaikan sistem pilihan raya di negara ini, kita akan bincang dan syorkan kepada Peguam Negara. SPR tidak ada kerusi di Parlimen untuk membentangkan undang-undang,” katanya.

SPR ditubuhkan pada 4 September 1957 dengan menjalankan tiga fungsi utamanya iaitu menyediakan bahagian-bahagian pilihan raya bagi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), menyediakan daftar pemilih dan menjalankan Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Kecil.

Wan Ahmad berkata, panel SPR dianggotai tujuh anggota terdiri daripada seorang Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan lima ahli lain di mana kesemua mereka dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-raja.

“Perlembagaan memperuntukkan bahawa pada melantik anggota-anggota SPR, Yang di-Pertuan Agong hendaklah mengambil perhatian tentang peri mustahaknya diadakan Suruhanjaya Pilihan Raya yang mendapat kepercayaan awam.

“Anggota panel SPR akan terus memegang jawatan sehingga umur 66 tahun dan boleh pada bila- bila masa meletakkan jawatannya melalui surat yang ditandatangani sendiri olehnya kepada Yang di-Pertuan Agong, tetapi tidak boleh dipecat daripada jawatan kecuali atas alasan dan mengikut cara seperti seorang Hakim Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Ahli SPR terdiri daripada Pengerusi, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, Timbalan Pengerusi, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, Datuk Dr. P Manogran, Datuk Jamdin Buyong, Datuk Zainal Abidin Mat Said, Datuk Ramji Alli dan Datuk Christopher Wan Soo Kee.

Beliau berkata, SPR turut menubuhkan enam Jawatankuasa Panel dipengerusikan anggota Panel Suruhanjaya dengan dianggotai oleh ahli-ahli SPR dan Urus Setia bertujuan memantau, membincangkan isu dan masalah berkaitan urusan SPR dan pilihan raya secara terperinci.SH

1 comment:

WanAhmad said...

keh kah koh!
SPR ditubuhkan untuk menipu rakyat, supaya rakyat sentiasa berangan-angan supaya kerajaan dipilih benar-benar mewakili pendapat dan suara rakyat.
Badan penipu ini akan meneruskan agendanya dan akan berusaha mengalih perhatian rakyat daripada kecewa bila ditipu pada setiap kali pilihanraya.
Jika akan tidak yakin kepada pilihanraya yang adil, kemana anda luahkan ketidak puasan hati anda.