Sunday, August 28, 2011

Mujahid rayu orang ramai bantu adik Beh Kuan Kyn

PARIT BUNTAR, 28 Ogos : Kepintaran dan sikap aktif Beh Kuan Kyn, 21, terus hilang setelah dia terlantar di rumahnya, di Taman Kerian Tambahan, di sini, akibat diserang sejenis sindrom yang dikenali sebagai ‘Acute Disseminated Encephalomyelitis’ (ADE) atau kelumpuhan secara tiba-tiba, semenjak tiga tahun lalu.

Ibunya Ching Geek Sim, 48, berkata, dia sebenarnya sudah patah harapan sejak doktor mengesahkan penyakit anaknya itu sudah tidak dapat diubati.


“Kesungguhan kawan-kawan, jiran dan ahli keluarrga yang lain, telah mendorong saya untuk terus berusaha dan berdoa agar anak saya diberi peluang sembuh kembali walaupun harapannya tipis,” katanya ketika menerima lawatan Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusuf Rawa di rumahnya, di sini.

Geek Sim memaklumkan, Kuan Kyn telah menerima bantuan pesakit terlantar daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan, dan bantuan daripada Suzie Buddies Association pada kos sama.

“Jumlah keseluruhan daripada bantuan itu hanya cukup untuk menampung kos keperluan asas Kuan Kyn bagi tempoh sebulan.

“Kuan Kyn bakal menjalani pembedahan pada 11 November nanti, di Beijing Xishan Institute yang menelan belanja lebih RM200,000 dan saya pohon simpati penduduk Kerian serta rakyat Malaysia untuk membantu bagi membolehkan anak saya menjalani pembedahan itu,” katanya.

Sementara itu, Mujahid berjanji melancarkan dana khas melalui laman facebooknya, dengan dibantu Dewan Himpunan Penyokong Pas.

Beliau juga menyampaikan sumbangan peribadi dan sumbangan dari Lujnah Kebajikan Pas Kawasan Parit Buntar.

“Sebelum ini kelab Lions Daerah Kerian mengambil inisiatif bagi mencari dana untuk membantu Kuan Kyn dan saya menyeru kepada penduduk Parit Buntar agar turut sama membantu.

“Bapanya, Beh Hai Chong, 53, adalah pemandu lori dan tidak mampu menampung perbelanjaan pembedahan itu," katanya.



Mereka yang ingin membantu, boleh menyalurkan bantuan ke akaun Maybank, atas nama Lions Club Of Krian Beh Kuan Kyn Med Fnd, yang bernombor 158417106198. SH

No comments: