Tuesday, September 6, 2011

Cendekiawan ada kepentingan tak layak membuat pengadilan moral peristiwa sejarah

http://jiwokelate.files.wordpress.com/2011/09/bukumatinderayayasanwarisanjohor.jpgKUANTAN, 6 Sept: PAS Pahang menggesa agar cendekiawan Melayu dan ahli-ahli akademik tidak mudah terpengaruh dengan propaganda Umno atau cuba mengampu dengan memutar belitkan sejarah.

Ketua Penerangan PAS Pahang, Suhaimi Saad, berkata golongan tersebut sepatutnya bersifat merdeka dan tidak tenggelam bersama Umno yang hanya menggunakan mereka apabila terdapat kepentingan kepada parti itu.

Beliau mengulas kenyataan editor buku 'Pengukir Nama Johor', Prof Datuk Abu Bakar Hamid dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini yang membidas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu yang menggunakan fakta buku tersebut dalam isu Mat Indera.

Akhbar tersebut memetik katanya "dakwaan bahawa buku Pengukir Nama Johor yang diterbitkan Yayasan Warisan Johor (YWJ) pada 2004 menyokong kenyataan (Mohd Sabu), sebaliknya tidak menyatakan Muhammad atau Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan tetapi mengajak rakyat menilai siapa sebenarnya Mat Indera."

Menurut Suhaimi, beliau meneliti baris demi baris ayat dalam buku Pengukir Nama Johor. Perenggan akhir rencana berkaitan Mat Indera mencatatkan:

“Dia rela mempertahankan nyawa demi memperjuangkan hak kedaulatan sebuah negara yang terbelenggu oleh rantai penjajah. Justeru Mat Indera sewajarnya diabadikan nama sebagai pejuang bukan petualang”.

“Bukankah penutup ini sudah cukup jelas menyimpulkan bahawa Mat Indera adalah pejuang kemerdekaan?” soalnya.

Justeru, beliau mencadangkan Prof Datuk Abu Bakar membaca kembali baris demi baris setiap tokoh dalam buku itu terutama Mat Indera.

“Jangan hanya sekadar mencari glamour meletakkan nama sebagai editor tanpa membaca buku tersebut. Jangan jadi cendikiawan yang gila publisiti untuk mendapat nama dalam buku ilmiah tanpa meneliti dan membaca buku tersebut.

“Kajian ilmiah sejarah adalah milik rakyat dan negara ini, ia mesti pertahankan. Mempertikaikan bahan sejarah yg dieditorkan oleh diri sendiri adalah jenayah akademik. Pakar sejarah tak sepatutnya melacurkan sejarah sehingga ia dilihat hina oleh rakyat,” katanya.

Beliau menyeru supaya jadilah ahli akademik yang merdeka dan tidak tenggelam bersama kebodohan Umno.

Tambah Suhaimi, sebelum ini Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, seorang yang juga dikenali sebagai tokoh sejarah terkemuka tanah air mengatakan Mat Indera bukan anak tempatan dan berasal dari Indonesia.

Namun selepas itu, adik Mat Indera yang masih hidup mengesahkan Mat Indera dilahirkan pada tahun 1920 di Kampung Gombak, Peserai, Batu Pahat, Johor.

Sementara itu, Suhaimi turut menemui artikel bertajuk ‘Kopi kecubung tewaskan kekebalan Mat Indera’ yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian bertarikh 13 Disember 2010 yang mengesahkan Mat Indera bukan pengkhianat bangsa sebagaimana didakwa Umno melalui lidah rasminya Utusan Malaysia.

Artikel tersebut boleh dilayari di alamat: http://www.bharian.com.my/articles/KopikecubungtewaskankekebalanMatIndera/Article/

No comments: