Thursday, October 13, 2011

ANTARA AMOI MCA & USTAZAH GOMBAK !!! 'Muslihat Untuk Menutup Mata' - Gaya politik baru BN /UMNO

Ahmad Tajdid

MENURUT istilah MABBIM, 'window dressing' ditakrifkan sebagai 'peraga hias' manakala Kamus Bahasa Inggeris DBP pula mentakrifkannya sebagai 'muslihat untuk menutup mata'.

Di bidang pentadbiran, 'window dressing' ditakrif sebagai;

"Memanipulasi angka dalam penyata kewangan untuk memaparkan kedudukan kewangan yang lebih kukuh daripada yang sebenarnya".

Manakala di bidang pentadbiran perniagaan, ia dihuraikan sebagai;

"Strategi pengurus dana yang merubah pegangan mereka dengan tujuan menunjukkan portfolio pelaburan yang disenangi oleh pemegang unit. Ini biasanya dilakukan pada akhir tahun, iaitu dengan menjual saham spekulatif dan membeli saham teguh".

Begitulah kompleksnya pengertian 'window dressing' mengikut takrifan DBP.

Tapi adakah 'window dressing' juga diamalkan dalam bidang politik?
Jawapannya sudah pasti ada. Walaupun DBP tidak memberikan takrifan khusus berhubung pengertian 'window dressing' atau 'peraga hias' dalam konteks politik, episod-episod di bawah mungkin boleh membantu pembaca memahaminya.

Baru-baru ini, kehadiran beberapa gadis jelitawan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Pemuda MCA menjadi tajuk utama akhbar berbahasa Cina.

Kehadiran amoi yang pada mulanya dikatakan sebagai anggota Beliawanis MCA itu mencuri tumpuan umum kerana mereka bukan sahaja berarak masuk ke dewan persidangan, malah duduk di barisan paling hadapan.

Beliawanis adalah cabang Wanita MCA khusus untuk wanita yang berumur 18 hingga 35 tahun.

Beberapa blog kemudiannya membuat ulasan sendiri. Blogger-blogger terbabit tidak percaya wanita muda berkenaan anggota Beliawanis MCA dan mendakwa mereka sekadar penghias majlis.

Terhimpit dengan dakwaan-dakwaan nakal itu dan keghairahan media untuk menemubual 'enam gadis misteri' yang menjadi tumpuan utama perhimpunan agung (AGM) Pemuda MCA itu, Ketua Pemuda MCA Selangor, Dr Kow Cheong Wei menjelaskan bahawa amoi-amoi terbabit "masih menunggu kelulusan keahlian mereka".

"Ada di antara mereka adalah ahli, sebahagiannya lagi telah memohon menjadi ahli, dan telah menyerahkan borang keahlian tetapi masih belum diluluskan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Bagaimanapun, Kow berkata, ia bukan satu isu kerana mereka dijemput sebagai pemerhati dan bukan sebagai perwakilan.

"Sebenarnya kami menjemput ramai pemerhati, kami menghantar surat kepada bahagian, cawangan dan beberapa universiti untuk majlis perasmian (membuka sayap itu kepada wanita), tetapi mereka perlu mendaftar," ujarnya.

Berang dengan tuduhan beberapa pihak khususnya para blogger bahawa amoi-amoi itu diupah sebagai 'window dressing', Ketua Pemuda MCA, Dato' Wee Ka Siong cuba mengalih isu.

Wee dilapor menyelar tindakan 'blog propembangkang' yang didakwanya sengaja memaparkan gambar lucah wanita dan mengaitkannya dengan Beliawanis MCA.

"Sebagai Ketua Pemuda saya sangat sedih dengan gelagat dan tindakan yang jelas tidak berertika itu," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, 11 Oktober lalu.

Wee berkata beliau menerima laporan daripada Beliawanis MCA mengenai perkara itu dan ada di antara anggotanya yang menangis kerana dimalukan sedemikian rupa.

"Adakah menjadi satu kesalahan untuk mereka menyertai politik dan menghadiri mesyuarat agung tahunan (AGM) sebagai pendedahan hingga menjadi sasaran pembangkang?" kata Wee.

Terpulanglah kepada pembaca sama ada ingin mempercayai alasan diberikan Wee itu.

Berlainan pula di Rawang. Kali ini membabitkan ustaz dan ustazah yang mengajar matapelajaran Pendidikan Agama Islam (PAI).

Beberapa hari sebelum Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak mengadakan lawatan kerja ke Rawang, seluruh tenaga pengajar PAI di daerah GOmbak menerima surat daripada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) untuk mengikuti kursus setengah hari di SRJK(C) Kundang.

Tempat kursus itu berlangsung juga menimbulkan tanda-tanya kerana banyak lagi sekolah menengah agama di daerah Gombak yang boleh dijadikan lokasi kursus.

Bagaimanapun atas dasar menurut perintah, ratusan tenaga pengajar PAI berkumpul di dewan SRJK(C) Kundang bagi mengikuti kursus hujung minggu pada pagi 8 Oktober, sehari selepas Bajet 2011 dibentangkan Najib di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun menjelang tengahari, tumpuan guru-guru PAI itu mula terganggu apabila sedikit demi sedikit perkarangan dewan tersebut mula dipenuhi orang ramai.

Kebanyakan yang hadir memakai baju-T tertera logo 1Malaysia. Secara tiba-tiba, segerombolan petugas tampil ke atas pentas dan secara bersahaja menggantikan sepanduk (banner) yang dijadikan latar pentas (backdrop) kursus sehari itu dengan sepanduk baru yang mengalu-alukan kedatangan Najib.

Para peserta kursus tidak dapat meninggalkan dewan kerana kehadiran semakin ramai penyokong BN manakala kereta yang mereka letakkan di luar dewan telah dihalang oleh kenderaan yang baru tiba.

Akhirnya dengan iringan tarian singa dan gendang India, Najib pun muncul disusuli para penyokong BN dari kalangan masyarakat Cina dan India.

Maka ustaz dan ustazah dari seluruh daerah Gombak yang terperangkap di dalam dewan SRJK(C) Kundang itu berjaya menjadikan majlis tersebut benar-benar berimej 1Malaysia!

Tahniah diucapkan kepada PPD Gombak kerana buat kesekian kalinya berjaya 'memperkakaskan' guru-guru untuk kepentingan politik BN!

Mungkin apa yang dialami para ustaz dan ustazah itu menjadi contoh betapa pentingnya 'window dressing' dalam kempen politik BN walaupun ia dilakukan dengan penuh tipu helah dan berunsur eksploitasi melampau.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Najib mengumumkan beberapa projek bagi menunjukkan keprihatinan kerajaan BN pusat terhadap penduduk tempatan.

Antara yang diumumkan Najib adalah projek segera jalan menghubungkan Kundang dan Bandar Tasik Puteri bernilai lebih RM4 juta. Jalan penghubung itu diharap dapat memudahkan penduduk untuk ke ibu kota dengan menggunakan lebuhraya baru Kuala Lumpur-Kuala Selangor (KLKS Expressway).

Walaupun projek itu memberikan sedikit kelegaan kepada penduduk di Bandar Tasik Puteri dan kawasan berdekatan yang saban hari terpaksa berhadapan dengan kesesakan lalulintas untuk ke Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), projek jalan penghubung Kundang-Bandar Tasik Puteri itu bukanlah penyelesaian kepada masalah yang dihadapi penduduk.

Ini kerana tiada jalan susur keluar (exit) untuk pengguna Lebuhraya KLKS di Kundang walaupun ada jalan susur masuk. Mereka yang ingin keluar ke Bandar Tasik Puteri terpaksa menggunakan exit Puncak Alam dan Kota Puteri yang terletak 4km di hadapan.

Ketiadaan jalan keluar dari lebuhraya KLKS di Kundang juga menimbulkan tanda tanya sedangkan pejabat Adun Kuang, Abdul Shukor Idrus terletak lebih kurang 3km daripada jalan masuk ke lebuh raya tersebut.

Mengapakah Abdul Shukor yang juga Ketua Penerangan Umno Selangor tidak melihat kekurangan yang berlaku dan mencadangkan agar laluan keluar dibina di Kundang bagi kemudahan penduduk?

Projek 'window dressing' yang menjadi kebanggaan Umno itu juga tidak menjawab isu sebenar iaitu kegagalan kerajaan BN pusat melaksanakan projek menaik taraf dan melebarkan semua Jalan Persekutuan dalam kawasan Rawang iaitu Jalan FT3209, FT01 dan B27 dari Selayang–Pekan Rawang–Sungai Choh serta Pekan Rawang-Bandar Country Homes-Bandar Tasik Puteri-Batu Arang–Ijok.

Menurut Adun Rawang, Gan Pei Nei, setiap hari terdapat kira-kira 370,000 kereta yang menggunakan Jalan Persekutuan FT 3209 dari arah Pekan Rawang ke Batu Arang. Kesesakan lalulintas sentiasa berlaku di depan Tol PLUS Rawang.

Pada Disember 2010, Menteri Kerja Raya telah mengumumkan bahawa 9km Jalan Persekutuan tersebut akan dinaik taraf, tetapi pada peringkat terkini, jelas Gan cuma 1.6km yang sedang dibina.

Gan turut menyentuh soal keselamatan yang semakin meruncing di Rawang. Balai Polis Rawang serta bilangan polis yang sedia ada, ujarnya tidak dapat menampung jumlah populasi Rawang yang kini mencecah 200,000 orang. Malah nisbah bilangan polis kepada penduduk Rawang adalah 1:4000 orang, sedangkan kadar yang ideal adalah 1:250.

Beliau mencadangkan sebuah balai polis dibina di Bandar Country Homes bagi meningkatkan tahap keselamatan dan membanteras jenayah di Rawang.

Mengikut Rancangan Pembangunan Rawang, sebidang tanah telah digazetkan untuk membina Balai Polis di Bandar Country Homes, tetapi tidak dapat dijalankan kerana tidak mendapat sebarang peruntukan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Nampaknya lawatan kerja Najib ke Rawang tidak banyak mengubah keadaan dan kekurangan infrastruktur di daerah ini. Ia hanyalah satu lawatan berunsur 'populist' yang mahu mewujudkan 'feel good factors' kepada penduduk tempatan.

Episod-episod ini juga dibantu oleh beberapa elemen 'window dressing' bertujuan menggambarkan betapa pentadbiran Najib menerima sokongan rakyat pelbagai kaum. Antara yang menjadi mangsa ialah ustaz dan ustazah di sekitar daerah Gombak!hrkh

1 comment:

cucu mamak kutty said...

tengok amoi cantik2 comel loteh tu.....si soy lek apek tua tu tentu stim punya.....KAHKAHKAH