Monday, October 31, 2011

MUHYIDDIN SILAP !!! Rakyat tiada pilihan lain untuk ditolak kecuali BN

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia membidas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menyebut bahawa rakyat tidak mempunyai pilihan kerajaan yang lebih baik selain Barisan Nasional (BN) sempena perasmian Majlis Penerangan Perdana Peringkat Negeri di Sabah baru-baru ini.

Pengarahnya Mohd Sany Hamzan berkata pihaknya merasakan BN sekarang sudah semakin terdesak untuk meraih simpati rakyat kerana telah ‘dimalukan’ oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010.

“Laporan itu telah ‘melondehkan’ segala kelemahan pentadbiran kerajaan mengurus tadbir kewangan negara sehingga menyebabkan berlaku ketirisan dan kebocoran yang cukup serius. “Selain itu, penyelewengan berterusan dalam agihan projek yang berkisar di kalangan pimpinan BN turut mendapat teguran berulang kali dalam setiap Laporan Ketua Audit Negara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, pihaknya melihat lelucon terbaru Muhyiddin adalah agenda penerusan penafian dan cubaan menutup kelemahan- kelemahan pentadbiran kerajaan BN seperti yang telah didedahkan oleh Pemuda PAS sebelum ini.

Kejayaan negeri-negeri Pakatan

Mohd Sany menerangkan kejayaan kerajaan negeri Kelantan memerintah hampir 22 tahun tanpa rasuah dan penyelewengan kuasa, kejayaan kerajaan negeri Kedah mengurus negeri secara berhemah telah mendapat pujian oleh Ketua Audit Negara.

Kejayaan kerajaan negeri Selangor menguruskan kewangan negeri sehingga telah menambah aset dan simpanan negeri dan kejayaan kerajaan negeri Pulau Pinang mengurus tadbir negeri secara telus dan cekap adalah pembuktian yang terbaik. “Ini menunjukkan kemampuan pemerintahan Pakatan Rakyat untuk memerintah negara Malaysia yang tercinta ini,” jelas beliau.

Oleh itu katanya, pihaknya merasakan sudah tiba masanya rakyat memberi ruang dan peluang kepada Pakatan untuk menggantikan BN daripada tampuk pemerintahan negara pada pilihan raya umum ke 13 nanti. Tegas beliau, sudah 54 tahun BN diberi peluang memerintah Malaysia tetapi rakyat semakin dihimpit kesusahan, kesengsaraan dan ketakutan yang berterusan.

“InsyaAllah, Pakatan akan memastikan satu pemerintahan yang cukup adil, telus dan berwibawa yang akan membawa kemakmuran, keamanan dan keadilan kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan perbezaan fahaman politik,” katanya./fmt

No comments: