Friday, December 23, 2011

KRITIK NEGARA BERKEBAJIKAN!!! Hasan Ali minta maaf

KUALA LUMPUR, 24 Dis — Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor Datuk Dr Hasan Ali hari ini menarik balik kenyataan bahawa konsep Negara Berkebajikan yang diperkenalkan PAS tergelincir dari matlamat parti itu.

Sambil menyifatkan ia sebagai “keterlanjuran kata”, Hasan, bekas pesuruhjaya PAS Selangor turut memohon maaf kepada kepimpinan dan ahli parti kerana mengeluarkan komen sedemikian.

“Sebagai ahli PAS dan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat, saya mengakui terdapat unsur keterlanjuran saya waktu membuat ulasan mengenai perkara itu. Dengan ini saya menarik balik komen mengenai Negara Berkebajikan tersebut.

“Saya memohon maaf kepada saf kepimpinan dan ahli-ahli parti terhadap keterlanjuran saya itu,” katanya pada sidang media di kediamannya di sini.

Sebelum ini, Hasan pernah membuat kenyataan menolak konsep Negara Berkebajikan dan mendesak parti itu kembali kepada matlamat asal menubuhkan sebuah negara Islam.

Tindakan itu bagaimanapun dibantah kepimpinan tertinggi parti termasuk Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyifatkan dakwaan itu tidak berasas.

Pada sidang media itu juga, Hasan mengakui beliau “bersetuju” dengan konsep Negara Berkebajikan yang disebut presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya di Muktamar tahunan PAS yang turut disahkan Majlis Syura Ulama.

“Saya sebagai ahli dan pimpinan, saya menyetujui apa yang dikemukakan dan pada masa sama saya melihat pengisian Negara Berkebajikan sama seperti negara Islam yang dikemukakan parti sebelum ini.

“Kemungkinan besar sama apa yang ada dalam konteks negara Islam dengan Negara Berkebajikan,” katanya.

No comments: