Monday, February 6, 2012

BUKAN BERUBAH!!! Shahrizat sebenarnya seperti cacing kepanasan

SHAH ALAM 6 Jan: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil disifatkan seperti cacing kepanasan apabila pelbagai pihak di dalam Umno kini menyerangnya berhubung skandal membabitkan National Feedlot Corporation (NFCorp).

Menurut Timbalan Ketua Wanita KEADILAN, Rodziah Ismail, Shahrizat kini menjadi liabiliti kepada Umno selepas keluarganya dikaitkan dengan penyelewengan sebahagian dana sebanyak RM250 juta itu.

“Shahrizat perlu profesional melihat isu ini kerana kes ini merupakan satu pendedahan terhadap suaminya dan beliau sepatutnya mempunyai kredibiliti untuk meletakkan jawatan kerana pembabitannya sebagai seorang menteri.

“Beliau tidak boleh menggunakan wanita Umno untuk mempertahankan suaminya dan mengemukakan pandangan beliau secara peribadi.

Shahrizat perlu menimbangkan dalam konteks yang lebih luas. Pada saya dia wajar meletakkan jawatan,” ujar Adun Batu Tiga itu.


Menurut Rodziah, Shahrizat juga bakal mengalami nasib yang sama seperti yang menimpa Khir Toyo apabila Umno merasakan bekas Menteri Besar Selangor itu membawa beban kepada parti itu.

“Desakan dari luar dan dalam termasuk dari pemimpin Umno menyebabkan Shahrizat kini seperti cacing kepanasan,” katanya.

Khamis lalu, akhbar Malay Mail menyiarkan pada halaman utamanya, gesaan bekas menteri wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz supaya Shahrizat meletakkan jawatan kerana menimbulkan masalah kepada Umno.

Kenyataan itu menyebabkan Shahrizat menyatakan beliau tidak mahu bersikap kurang ajar kepada Rafidah.

Pada masa yang sama, Shahrizat juga menerima kritikan hebat oleh Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee yang menggesa beliau supaya berundur.

Hari ini, Syed Ali sekali lagi meneruskan serangan dengan memberi amaran kepada menteri itu supaya tidak menyalahkan orang lain berhubung skandal berkenaan.

No comments: