Monday, May 14, 2012

PAS CABAR !!!!“Najib dan seluruh kepimpinan Umno, kalau berani bubar Parlimen sekarang!” - Salahuddin Ayub







GUAR CHEMPEDAK - “Najib dan seluruh kepimpinan Umno, kalau berani bubar Parlimen sekarang!” demikian laung Naib Presiden Pas Pusat, Salahuddin Ayub, kepada lebih 10,000 penyokong dan jentera Pilihan Raya Umum (PRU) Pas Negeri Kedah dalam Himpunan Jentera PRU Pas Negeri Kedah yang diadakan di Stadium Mini Guar Chempedak, malam Sabtu lalu.

Laungan itu disambut seluruh jentera yang hadir dengan gema “Bubar! Kami sudah bersedia!” yang menunjukkan Pas Negeri Kedah sudah bersedia pada bila-bila masa untuk berjuang dalam PRU13 yang dijangka akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada bila-bila masa sahaja.

Himpunan yang bermula seawal jam 5 petang dan berlarutan hingga jam 12 tengah malam Sabtu lalu dihadiri lebih 10,000 penyokong dan jentera PRU Pas Negeri Kedah untuk mendengar amanat dan pesanan daripada kepimpinan tertinggi Pas Negeri Kedah dan Pas Pusat.

Amanat PRU13 disampaikan oleh Ketua Pemuda Pas Negeri Kedah, Ahmad Yahya; diikuti Ketua Muslimat Pas Negeri Kedah, Datuk Siti Ashah Ghazali; Ketua Dewan Ulama Pas Kedah, Syeikh Mohamad Abdullah; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Naib Presiden Pas Pusat, Datuk Mahfuz Omar.

Sementara itu, Azizan dalam amanatnya kepada jentera PRU Pas Negeri Kedah menyeru supaya ahli dan jentera PRU Pas Negeri Kedah untuk berjuang berhabis-habisan bagi mempertahankan kemenangan Pas di Negeri Kedah.

“Kita kena mempertahankan kemenangan, jika Pakatan Rakyat (PR) kalah, (jentera PRU Pas) tak buat kerja sungguh-sungguh, bila depa (Barisan Nasional) perintah depa ghonyeh (rosakkan) balik (pentadbiran Negeri Kedah)," katanya.

Walaupun waktu sudah 11.30 malam, namun semangat penyokong dan jentera PRU Pas Negeri Kedah tidak luntur malah semakin berkobar-kobar tatkala Salahuddin membacakan amanat Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Nik Abdul Aziz.

Himpunan itu terus bergema dengan laungan pembakar semangat untuk menghadapi PRU13 sehingga majlis bersurai kira-kira jam 12.30 tengah malam.SH

No comments: