Tuesday, June 12, 2012

NAJIB KECUT PERUT!!! Skandal penjualan dokumen sulit sudah pecah

ULASAN Pada 30 Mei 2012 yang lalu, rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan skandal penjualan dokumen sulit pertahanan negara, iaitu penilaian Tentera Laut Di-Raja Malaysia (TLDM) terhadap kapal selam kelas Scorpene, didakwa telah “dibeli” oleh sebuah syarikat pertahanan Perancis.

Laporan yang didedahkan oleh peguam Perancis, Joseph Breham, yang mewakili pertubuhan hak asasi manusia, SUARAM, mendakwa syarikat berkenaan telah membayar €36 juta (RM142 juta) kepada Terasasi (Hong Kong) Ltd, dikatakan untuk kerja-kerja "kejuruteraan komersial".

Dokumen rahsia oleh TLDM tersebut adalah satu penilaian untuk tempahan kapal selam berkenaan, yang merupakan laporan yang sangat sulit dan memungkinkan keselamatan pertahanan negara tergugat jikalau jatuh ke pihak musuh.

Oleh kerana pihak-pihak yang bertanggungjawab - termasuklah Datuk Sri Najib Razak, yang merupakan Menteri Pertahanan pada waktu itu - masih belum memberikan jawapan yang memuaskan mengenai hal ini, pada 7 Jun lalu saya telah memfailkan satu usul tergempar agar Dewan Rakyat dapat membincangkan hal penjualan rahsia pertahanan negara, yang merupakan satu tindakan khianat tertinggi terhadap kedaulatan dan kepentingan Malaysia.

Penolakan usul ini oleh Speaker pada pagi semalam tidak memungkinkan perbahasan dilaksanakan bagi mendesak kerajaan Malaysia khususnya Perdana Menteri dan juga Menteri Pertahanan memberi penjelasan sebaiknya bagi membersihkan nama mereka, menjelaskan peranan Terasasi (Hong Kong) Limited yang selama ini tersorok daripada pengetahuan umum dan memperbaiki imej Malaysia yang tercalar angkara kontroversi ini.

Alasan yang digunapakai oleh Speaker menggunakan Peraturan Mesyuarat 23 1. (h): sesuatu pertanyaan itu tidak boleh dikeluarkan dengan tujuan hendak mendapat buah fikiran atau hendak mendapat penyelesaian berkenaan dengan perkara undang-undang yang belum menjadi masalah atau kerana hendak mendapat jawab dalam perkara yang dimisal-dimisalkan sahaja.

Jelas bahawa masalah yang menjadi persoalan dalam usul yang saya bawa ini bukan sekadar perkara undang-undang yang belum menjadi masalah ataupun perkara yang dimisal-misalkan sahaja. Masalah berkait dengan pembayaran komisyen bernilai Euro 36 juta oleh syarikat pertahanan Perancis Thint Asia kepada Terasasi (Hong Kong) Limited ini, yang mempunyai dua orang Pengarah iaitu Abdul Razak Baginda dan ayahnya Abdul Malim Baginda untuk sesalinan laporan penilaian rahsia Pertahanan Tentera Laut Diraja Malaysia. Maklumat ini kita perolehi menerusi Joseph Breham, peguam SUARAM yang merujuk kertas siasatan dokumen rampasan polis Perancis dan badan kehakiman Perancis.

Kedua, usul yang dibawa bukan sekadar untuk meminta buah fikiran daripada kerajaan, tetapi menuntut penjelasan, sehaluan dengan apa yang telah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Malta Evarist Bartolo dalam sidang parlimen Malta 5 Jun lepas.

Ketiga, tanggungjawab kerajaan Malaysia tidak boleh dilangsaikan apabila dakwaan rasuah yang melibatkan pelbagai negara khusus dalam operasi anti-rasuah yang melibatkan Malaysia-Perancis-Pakistan-Malta-Luxembourg dan Hong Kong.

Tambahan lagi, Malaysia sudahpun meratifikasi konvensyen United Nations Convention Against Corruption. Justeru, Malaysia tidak boleh lari daripada tanggungjawab membantu membawa mereka yang bersalah ke muka pengadilan, lebih-lebih lagi dalam kontroversi pembayaran rasuah untuk pembelian senjata yang melibatkan Perdana Menteri kita sendiri.

Keempat, kenyataan Menteri Pertahanan yang disiarkan pada 8 Jun 2012 jelas menunjukkan wujudnya elemen yang mencurigakan bila beliau mengakui kewujudan dokumen pertahanan sulit dalam kenyataan berikut, walau pihak beliau tidak menerima sebarang maklumat berhubung penjualan dokumen rahsia:

“Bagaimanapun, memang ada dikesan maklumat itu keluar (dari Malaysia) namun kita sedang memantau perkembangannya.”

Manakala yang paling parah, Perdana Menteri yang merupakan Menteri Pertahanan dalam penjualan kapal selam Scorpene masih membisu seribu bahasa.

Akhir kata, kami akan meneruskan usaha membawa isu penjualan rahsia kerajaan ini menerusi:

1) Laporan-laporan polis yang dibuat oleh Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan Angkatan Muda KEADILAN Malaysia di seluruh Malaysia.

2) Memorandum yang disertai oleh Kelab Kebajikan Veteran & Pesara Tentera (KERABAT) dan Majlis Rundingan Keselamatan Keadilan menuntut penjelasan dan siasatan terhadap isu ini termasuk mengeluarkan KERTAS PUTIH kepada Perdana Menteri kerana jawapan Menteri Pertahanan tempoh hari bahawa siasatan akan hanya dibuat jika terbukti aktiviti menjual rahsia itu berlaku dan dalam nada yang sama pula mengatakan bahawa sudah pun dikesan maklumat itu telah dikeluarkan dan sedang dipantau; amat mengelirukan.

Mungkin Parlimen menolak usul ini tetapi saya percaya Perdana Menteri tidak akan menghampakan rakyat dan akan menjalankan tanggungjawab yang sewajarnya demi keselamatan negara termasuk keselamatan nyawa-nyawa anggota tentera dari diancam akibat angkara khianat menjual rahsia negara.

No comments: