Tuesday, July 10, 2012

DEDAH DOKUMEN!!! PM Ketuai Jawatankuasa Anugerah Projek LRT Ampang

PETALING JAYA 10 JULAI: Rafizi Ramli hari ini mengemukakan dokumen rasmi kerajaan yang menunjukkan satu jawatankuasa peringkat tinggi diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menganugerahkan tender kerja-kerja tambahan LRT Laluan Ampang kepada Konsortium George Kent.

Pendedahan ini mengukuhkan lagi dakwaan Pengarah Strategi PKR itu sebelum ini yang mendakwa  wujud campur tangan Najib dalam pembatalan perlantikan Balfour Beatty yang pada asalnya dianugerahkan tender tersebut.

Menurut beliau, penganugerahan projek ini turut melibatkan pertambahan harga berjumlah RM167 juta sedangkan bidaan yang dikemukakan oleh Konsortium George Kent adalah RM1.18 bilion berbanding harga Balfour Beatty pada RM1.01 juta.

“Apakah jumlah RM167 juta ini boleh dikaitkan dengan apa-apa pembayaran berbentuk komisyen kepada mana-mana ahli politik Umno-BN seperti mana wujudnya pembayaran komisyen kepada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib semasa pembelian kapal selam Scorpene dahulu? ” soal beliau.

Najib dalam kenyataannya sebelum ini menyatakan proses penganugerahan tander ini mengikut prosedur yang betul sedangkan syarikat milik George Kent hanya mempunyai pengalaman mengeluarkan meter air.

Rafizi turut meminta Najib menjawab persoalan prosedur di dalam Pekeliling Perbendaharaan yang membenarkan sebuah syarikat yang jelas gagal di dalam penilaian teknikal diberikan tender bertentangan dengan jawatankuasa teknikal.

Selain itu, beliau turut menuntut penjelasan bahagian prosedur di dalam Pekeliling Perbendaharaan yang membenarkan campur tangan Perdana Menteri dalam urusan penganugerahan tender.

Sebelum ini, Najib  mempengerusikan mesyuarat kelima Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan (JPMK) bagi tahun 2012 pada 21 Jun 2012 yang turut dihadiri oleh Menteri Kewangan kedua, Datuk Seri Husni Hanadzlah, Ketua Setiausaha Perbendaharaan,  Tan Sri Dr Wan Abd Aziz Wan Abdullah dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Nozirah Bahari.

Mesyuarat tersebut  memutuskan untuk melantik George Kent sebagai kontraktor bagi kerja-kerja tambahan LRT Laluan Ampang pada harga RM1,180,037,624 untuk tempoh siap kerja selama 44 bulan.

Jelas Rafizi, tanggungjawab sama perlu digalas oleh Datuk Shahril Mokhtar sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana untuk mengesahkan George Kent dilantik sebagai kontraktor seperti mana yang diarahkan oleh Najib.Selangorku

No comments: