Monday, July 2, 2012

KEJAM!!! Tahanan ISA dakwa dipukul pegawai kem

Isteri kepada salah seorang tahanan ISA yang mengadakan mogok lapar di Kem Tahanan Kamunting Nunurheni@Aini Onim berkata suaminya tidak pernah mengadu dipukul ketika dalam tahanan, tetapi lain halnya ketika beliau menemui lelaki itu semalam.

Nunurheni (kiri) berkata, pada pertemuan itu barulah suaminya itu, Razali Kassan menceritakan kejadian menyayat hati yang berlaku di dalam kem tersebut.


Dalam pertemuan tersebut, Razali yang dilihatnya berada dalam keadaan lemah dan pucat menceritakan betapa beliau dipukul oleh pegawai kem, kata Nunurheni.

"Dia biasanya tak mengadu macam itu. Dia tak pernah mengadu dia kena pukul ke. Dari mula ditahan, dia tak pernah cakap apa-apa. Dia cakap ISA baik, pembangkang yang burukkan ISA kata teruk.


"(Tetapi) semalam dia cakap dia dipukul. Macam mana, saya tak dapat membayangkan. Alasannya (dipukul) cuma (kerana) tak ikut arahan, menyusahkan kerana perlu hantar ke hospital dan tak makan bila diberi makan," kata Aini dengan sebak.


Isteri kepada seorang lagi tahanan yang menyertai mogok lapar tersebut turut menyatakan perkara sama.



Khairunniza Mohd Khir (kiri) berkata suaminya, Mustawan Ahbab turut menceritakan bahawa Razali bukan sahaja dipukul malah turut diludah oleh pegawai tersebut.
 
"Saya jumpa (Mustawan) dalam 30 minit sahaja. Suami saya beritahu yang Razali memang kena pukul, dibelasah, diludah kerana masih mogok lapar.

"Dia (suami) beritahu saya orang atasan yang buat. Dia tak tahu pangkat tapi dia kata, bukan orang bawahan tapi orang itu pegawai tinggi di KemTa," kata Khairunniza, 36.


Wanita berkenaan berkata demikian dalam satu program dialog di pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Kuala Lumpur hari ini.


Razali yang berasal dari Johor ditahan di bawah ISA pada Januari 2011 kerana disyaki menyeludup senjata.


Mustawan pula ditahan pada Oktober 2010 kerana disyaki terlibat dengan kumpulan militan.


Razali dan Mustawan merupakan antara tahanan yang mengadakan mogok lapar kerana masih belum dibebaskan walau ISA sedang dalam proses untuk dimansuhkan.


Bapa dipaksa buka baju-T nak jumpa anak

Bapa tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah dipaksa menanggalkan "baju-T yang bermasalah" yang dipakainya ketika mahu menemui anaknya di pusat tahanan di Kamunting, Perak semalam.

NONEAhli jawatankuasa Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Alizah Jaafar berkata, lelaki berkenaan, Abdul Razak - bapa kepada tahanan Fadzullah - memakai baju-Tyang bertulis 'Mansuhkan ISA'.

"Seorang pegawai berpakaian biasa, yang merupakan kakitangan keselamatan kem tersebut, memberhentikan Abdul Razak selepas kami melintasi tempat pemeriksaan keselamatan pertama dan memberitahunya bahawa adalah masalah dengan baju-T tersebut.

"Kami memberitahu mereka, memandangkan ISA telah dimansuhkan, maka ia tidak sepatutnya menjadi masalah. Abdul Razak memberitahu mereka yang dia tidak ada baju lain untuk dipakai, tetapi mereka tetap bertegas," katanya ketika mengadu kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pagi ini.

Pesuruhjaya Suhakam, Muhammad Sha'ni Abdullah, yang menerima memorandum GMI yang menggesa kerajaan membebaskan segera 45 tahanan di bawah undang-undang keselamatan, menegur perbuatan itu dan pengawal kakitangan keselamatan terbabit.

Sambil memberi amaran kepada mereka supaya menjalan tugas mengikut skop tugas mereka, Muhammad berkata, bleiau akan membawa aduan tersebut kepada pihak berkuasa apabila Suhakam melawat pusat itu minggu ini.
 

http://www.malaysiakini.com/news/202480

No comments: