Monday, July 30, 2012

TANAH REZAB MELAYU!!! Zaman UMNO dibahagi kroni, Zaman PR diganti semula

PELABUHAN KLANG 28 JULAI : Kerajaan Negeri bersetuju mengazetkan Kampung Sungai Sireh Utama, Tambahan dan Tambahan Dua meliputi kawasan seluas 63.5 ekar sebagai tanah rezab Melayu di Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keputusan tersebut diambil hasil perbincangan dengvan pelbagai pihak terlibat serta bagi meningkatkan pemilikan tanah rezab Melayu untuk rakyat di Selangor.

“Kerajaan Negeri mempunyai kuasa untuk menentukan rezab tanah Melayu ini dan kita telah berbincang dengan Ketua Kampung dan juga Penolong Pegawai Daerah termasuk pemimpin masyarakat. Mereka berpendapat untuk menentukan suasana kampung itu terus kekal lalu mereka bersetuju supaya tanah di kanpung ini dijadikan tanah rezab Melayu.

“Ini juga menunjukkan kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) walaupun tanah ini diberikan kepada Kerajaan Negeri dalam bentuk tanah bebas dari segi sekatannya tetapi kita telah tunjukkan usaha kita itu bagi menjadikannya sebagai tanah rezab Melayu,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyampaian tanah kerajaan dan Notis 5A kepada penduduk Kampung Sungai Sireh Utama, Kampung Sungai Sireh Tambahan dan Kampung Sungai Sireh Tambahan Dua di sini hari ini.

Menteri Besar berkata, pemberimilikan tanah melibatkan seramai 195 orang di ketiga-tiga kampung itu bukan sekadar melibatkan tanah milik kerajaan tetapi juga tanah dimiliki Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Katanya, hasil perbincangan dengan pihak Pejabat Tanah dan Daerah, KTMB dan ketua kampung yang mana semua nama penerima dapat diselaraskan seterusnya masalah pemberimilikan tanah sejak lebih 15 tahun lalu dapat diselesaikan.

Sementara itu, Miron Ipan, 80, seorang Pesara KTMB ketika ditemui melahirkan rasa syukur berikutan hasrat memiliki geran tanah di kampung itu termakbul juga sejak menunggu lebih 15 tahun lalu.

Beliau yang menetapkan di Kampung Sungai Sireh Tambahan Dua bersama isterinya, Siti Maimunah Redzuan,79, menjelaskan pelbagai usaha dan permohonan dilakukan sebelum ini tetapi tidak berhasil.

“Pemberian geran tanah pada hari ini amat bermakna dalam hidup saya dan keluarga kerana kami menunggu saat ini begitu lama. Saya gembira sangat-sangat bila ia jadi kenyataan,” katanya.

Bagi Shahrizanni Zaman, 33, yang mewakili bapanya, Ahmad Akhirzaman Hamid, 60, berkata keluarganya menetap di kampung itu sejak kira-kira 30 tahun lalu.

“Kami berusaha beberapa kali memohon pemilikan tanah ini tetapi gagal. Maklum balas diterima mengatakan kedudukan tapak tanah kami masuk ke kawasan pemilik lain. Bagaimanapun ia berubah dalam beberapa tahun kebelakangan ini bila permohonan kami diberi perhatian dan akhirnya diluluskan.

“Kami gembira dengan keputusan ini yang menandakan Kerajaan Negeri bertindak adil tanpa mengambil kira fahaman seseorang rakyat berhubung politik,” katanya.
Turut hadir dalam majlis itu, Exco Kerajaan Negeri, Iskandar Abdul Samad dan Dr Halimah Ali, Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud dan Pegawai Daerah Klang, Datuk Bakhtiar Hussin.

No comments: