Friday, October 19, 2012

KES NAYA RAKYAT MALAYSIA!!! BR1M RM 500, kena 2 saman AES RM 600, rugi RM 100

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha harus ingat bahawa AES bukanlah soal politik tetapi soal integriti ekonomi dan beliau harus memberi penjelasan kenapa tiada tender terbuka tetapi tender terpilih untuk pemasangan 831 kamera 1Malaysia di seluruh Malaysia.

Saya difahamkan bahawa hanya 9 syarikat yang dipilih untuk menyertai tender tetapi 7 sahaja yang mengemukakan tawaran.

DAP tidak mempunyai masalah jika kerajaan Persekutuan terus terang dengan inisiatif untuk memastikan keselamatan awam dan menggalakkan pematuhan undang-undang jalan raya.

Namun begitu, kerajaan telah membenarkan 2 pemegang konsesi AES untuk mengutip komisen berdasarkan jumlah saman yang dikeluarkan.

Jelas ini akan memanfaatkan 2 pemegang konsesi tersebut sementara 28 juta rakyat Malaysia akan rugi.

Ini bermakna bahawa pemegang konsesinya – ATES Sdn Bhd dan Betap Tega Sdn Bhd – mampu mendapatkan balik modal mereka melalui pengagihan keuntungan daripada saman yang dibayar melalui tiga peringkat:

Peringkat 1: Untuk 5 juta saman pertama, RM16 setiap saman akan dikutip (RM80 juta).

Peringkat 2: RM540 juta kutipan seterusnya dikongsi 50%, iaitu RM270 juta. Kerajaan mendapat jumlah yang sama.

Peringkat 3: 7.5% akan dikutip daripada keuntungan seterusnya. Kerajaan akan mengutip yang berlebihan.

Sekiranya RM5 bilion dikutip setiap tahun, kedua-dua pemegang konsesi akan untung RM80 juta di bawah peringkat pertama, RM270 juta di bawah peringkat kedua dan RM350 juta di bawah peringkat ketiga – jumlah lumayan sebanyak RM700 juta untuk kerja setahun.

Selain daripada keuntungan RM700 juta setahun, terdapat juga tanda tanya tentang kos besar yang didakwa oleh kedua-dua pemegang konsesi untuk pemasangan 831 kamera.

Adakah ia bernilai RM600 juta hingga RM800 juta seperti yang didakwa oleh kedua-dua syarikat tersebut untuk pemasangan 831 kamera yang bersamaan dengan RM722,000 hingga RM962,000 setiap kamera?

Kegagalan sebegini bukan perkara baru seperti yang dibuktikan dengan skandal RM365 juta Integrated Transport Information System (ITIS), di mana sistem pemantauan trafik Kuala Lumpur telah dikenal pasti oleh Laporan Ketua Audit Negara 2011 sebagai “tidak memuaskan” kerana berlaku ketirisan.

Walaupun RM365 juta telah dibelanja, tidak ada kebertanggungjawaban yang ditunjukkan.

Kementerian Pengangkutan harus bertanggungjawab penuh kepada pihak awam atas soalan-soalan mengenai AES dan sama ada tender terbuka telah dijalankan.

Sekiranya isu-isu ini tidak ditangani, para pemandu Malaysia berhak marah kerana sekali lagi kroni-kroni BN mendapat manfaat sementara rakyat rugi.

Pulau Pinang tidak akan membenarkan pemasangan kamera 1Malaysia ini sehingga penjelasan penuh diberi.

Kong harus berpegang kepada arahannya bahawa kerajaan tempatan akan membuat keputusan tentang pemasangannya, di mana pegawai-pegawai Kong telah mendapatkan kerjasama dan kelulusan kerajaan negeri dan tempatan untuk membuat pemasangan.

Saman harus menghukum pesalah trafik supaya mereka akan mematuhi dan tidak menyalahi undang-undang lagi. Untuk sebab ini, DAP menyeru agar AES digantung dengan serta merta sehingga kebertanggungjawaban penuh ditunjuk.

Pemandu-pemandu tidak harus dipaksa untuk membelanjakan kebanyakan daripada gaji mereka hanya untuk membayar saman trafik.

Jangan lupa bahawa RM500 BR1M tidak boleh membantu jika anda mendapat 2 saman yang berjumlah RM600 – anda akan rugi RM100.

Penulis ialah Setiausaha Agung DAP merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang.

Kerajaan Kedah tangguh pelaksanaan AES

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Kedah mengambil pendirian menggunakan kuasa negeri untuk menangguhkan sementara pelaksanaan Sistem Kamera Penguatkuasaan Automatik (AES) hingga taklimat dan kajian dibuat ke atas sistem itu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Kedah, Dato' Ir Phahrolrazi Zawawi, keputusan itu dibuat setelah mendengar keluhan rakyat yang tertekan dengan pelaksanaan sistem AES oleh Kerajaan Pusat.

Bercakap kepada Harakahdaily, Phahrolrazi menegaskan, denda dan kaedah yang digunakan dalam sistem AES ini amat membebankan rakyat.

"Rakyat merungut, rakyat tertekan dengan sistem ini.Kita ambil pendirian sama dengan negeri Pakatan Rakyat yang lain untuk tangguh hingga penjelasan membabitkan agensi berkaitan dibuat, dan kajian dilaksanakan," ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kundor.

Malahan pula kata beliau,  Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masih tidak meluluskan lagi penggunaan atau pemasangan AES di kawasan membabitkan hak PBT di sana.

Ditanya samada keputusan itu adalan keputusan bersama pimpinan kerajaan Negeri Kedah, beliau memaklumkan ianya telah dibincang di peringkat PAS Negeri dan makluman kepada Pesuruhjaya, Dato' Seri Azizan Razak selaku Menteri Besar Kedah.

"Kita tunggu taklimat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ); Kementerian Pengangkutan dan dua syarikat terbabit dalam AES ini," katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah.

Mengulas keputusan itu, Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar pula menyokong penuh pengumuman itu memandangkan rakyat menolak pelaksanaan kamera AES yang dikatakan akan mengkayakan kroni.

Kata beliau lagi, sistem tersebut hanyalah sebagai sandaran pemimpin BN untuk mendapat laba hasil kontrak yang bernilai RM717 juta tidak termasuk saman yang dikenakan ke atas pengguna jalan raya.

"Ini kaedah mereka nak ragut wang rakyat, nak bagi kepada kroni.Sebab itu kita di Kedah tidak mahu ia diteruskan," katanya.

Sementara itu Pengguna Lebuhraya Lembah Klang (SKVE)  mendesak kerajaan mengalihkan kamera AES daripada laluan Hospital Serdang ke lokasi lain yang lebih sesuai.

Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Serdang, Mohd Sharifudin Johan berkata, kerajaan perlu mengkaji semula pemilihan lokasi dan had laju bersesuaian untuk pelaksanaan sistem itu.

"Dalam keadaan kecemasan terutamanya membawa pesakit ke hospital kelajuan 80 kilometer sejam adalah tidak wajar. Kami minta kerajaan mengkaji semula pelaksanaan sistem ini di lokasi bersesuaian,” katanya dalam satu laporan akhbar tempatan.

Pelaksanaan AES sejak dua minggu lalu mendapat reaksi negatif daripada pengguna jalan raya berhubung lokasi alat tersebut tidak relevan dengan situasi jalan raya.


No comments: