Tuesday, October 16, 2012

LAPORAN AUDIT !!!! PR akan perjelas kepada rakyat


KUALA LUMPUR, 16 OKT : Pakatan Rakyat(PR) akan mengadakan penjelasan menyeluruh kepada rakyat berhubung Laporan Ketua Audit Negara 2011 berkenaan ketirisan yang berlaku dalam perbelanjaan kerajaan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, laporan audit yang dikemukakan itu menunjukkan berlakunya ketirisan yang jumlahnya melebihi berbilion ringgit.

“Ketirisan itu berlaku yang dipadam begitu sahaja adalah berkenaan hutang-hutang dan projek-projek kepada rakyat seperti rumah-rumah guru dan tentera yang tergendala,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Pimpinan Pakatan Rakyat di Parlimen.

Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, beliau kesal kerana laporan audit itu lambat dibentangkan di Parlimen.

“Walaupun ia sudah diterima oleh pihak Parlimen tetapi ia merupakan pelanggaran kepada Parlimen oleh pihak Eksekutif.

“Setiap tahun kita melihat laporan audit lebih tebal dan berat yang menunjukkan semakin banyak kes yang menunjukkan bahawa perubahan perlu dilakukan untuk mengatasi masalah penyelewengan,” kata Kit Siang.

Sebelum ini, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2011, dua syarikat kerajaan Rangkaian Pengangkutan Deras Sdn Bhd (RapidKL) dan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) mengalami kerugian lebih RM1 bilion sehingga akhir 2010.

Menurut laporan itu, IWK terus mengalami kerugian sehingga mencatatkan angka RM888.81 juta sehingga akhir 2010, manakala RapidKL pula mengalami kerugian terkumpul RM293.82 juta antara 2008 hingga 2010.

No comments: