MACHANG - Pas Kawasan Machang meneruskan amalan bermuafakat dan berkompromi pada pemilihan Pas Kawasan dan semua sayapnya apabila tiada sebarang pertandingan bagi jawatan tertinggi.

Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Machang Ke-59 bertempat di Markas Dewan Ulama( Madu), Batu 23, kelmarin menyaksikan Yang Dipertuanya, Zulkifli Mamat dan Timbalannya, Datuk Mohamed Fadzli Datuk Hassan kekal memegang jawatan masing-masing.


Adun Kemuning, Mohd Roseli Ismail pula menang tanpa bertanding bagi jawatan Naib Yang Dipertua apabila penyandangnya, Abdul Kadir Othman tidak mempertahankan jawatan tersebut.


Mesyuarat berkenaan dirasmikan oleh Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli.


Kesepakatan itu juga dapat dilihat dengan jelas apabila bekas Ketua Dewan Muslimatnya, Wan Hamidani Wan Ahmad sanggup melepaskan jawatannya dan mengambil kerusi nombor dua bagi memberi laluan kepada orang muda.


Bekas Setiausaha Dewan Muslimat Pas Kawasan Machang, Mainum Mahmud dipilih bagi menggantikan Wan Hamidani yang tidak mempertahankan jawatannya pada Mesyuarat Agung Muslimat yang diadakan, baru-baru ini.


Laluan itu bertujuan memperkasakan Muslimat Pas Kawasan Machang seterusnya mengalakkan penglibatan golongan muda dalam sayap parti itu dalam usaha memberi saingan yang lebih hebat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.


Mesyuarat itu dirasmikan Oleh Naib Ketua Dewan Muslimat Pas Malaysia merangkap Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Mumtaz Mat Nawi.


Sementara itu, Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang menerima Ketua Pemuda baru apabila mantannya, Hatman Abdullah tidak mempertahankan jawatan tersebut atas faktor kesihatan.


Zainul Mat Zin yang juga bekas timbalan ketua dipilih mengetuai sayap parti Pas itu manakala Imam muda Mukim Paloh Rawa, Razuan Awang Hamad yang juga bekas naib dipilih sebagai timbalan ketua.


Muhd Khairul Che Khalid pula dilantik sebagai naib ketua dengan ketiga-tiga jawatan tersebut tidak dipertandingkan apabila semua ahli sepakat dalam pemilihan tersebut.


Mesyuarat itu dirasmikan oleh Pengarah Pilihanraya Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan, Mohd Nazlan Mohamed Hasbullah yang juga Adun Limbongan.SH