Tuesday, October 1, 2013

PEMILIHAN PAS!!! Dilarang salahguna program anjuran PAS termasuk ijtimak, liqa', usrah - Asmuni Awi

Muktamar: Pas perkenal garis panduan berkempen
KUALA LUMPUR - Pas hari ini memperkenalkan etika dan garis panduan kepada calon yang akan bertanding pada Muktamar Pas bermula 21 November depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas, Asmuni Awi berkata, walaupun calon dibenarkan berkempen namun mereka tertakluk kepada enam peraturan pada pemilihan kali ini.

"Kelainan muktamar kali ini kita benarkan semua calon untuk mempromosikan diri mereka (kempen) sama ada secara bersendirian ataupun pasukan.

"Namun kempen tertakluk kepada sekatan dan larangan seperti bahagian enam peraturan pemilihan," katanya kepada sidang media di Pejabat Agung Pas, di sini, hari ini.

Pada pemilihan sebelum ini, Pas tidak menggazetkan sebarang garis panduan dan etika berkempen untuk calon yang bertanding bagi membolehkan tindakan tatatertib diambil kepada mereka yang bertanding.

Walapun calon dibenarkan berkempen, namun mereka dilarang sama sekali untuk menyerang serta memburuk-burukkan pesaing jawatan yang ditandingi.

Tambah Asmuni, jika mana-mana calon yang terbukti melanggari larangan tersebut, mereka boleh dirujuk kepada lembaga disiplin untuk diambil tindakan.

"Pihak yang terkilan (diserang) perlu membuat laporan dan memaklumkan kepada jawatankuasa pemilihan untuk dirujuk lembaga disiplin parti.

"Jika ada bukti sama ada bertulis atau dalam apa bentuk pun, mereka boleh diambil tindakan hingga membatalkan kemenangan mereka terbabit," katanya.

Dalam ada itu, Asmuni berkata borang pencalonan di semua peringkat telah diedarkan pada 18 September lalu.

Bagi pencalonan bagi AJK Pas Pusat, Dewan Pemuda dan Muslimat Pas, tarikh akhir menyerahkan borang pada 20 Oktober ini sebelum jam 12 tengah malam.

Manakala pencalonan bagi Dewan Ulamak Pas pula perlu diserahkan pada 31 Oktober sebelum jam 12 tengah malam.

"Semua borang pencalonan perlu diserahkan sama ada secara pos atau hantar sendiri ke Pejabat Agung Pas. Ia boleh diserahkan oleh calon sendiri atau wakilnya.

"Kalau lambat hantar, kita akan tolak," katanya.

Antara larangan am pada pemilihan kali ini ialah ;

Menyalahgunakan apa jua program, aktiviti, himpunan, mesyuarat, ijtimak, liqa', usrah atau perjumpaan yang dianjurkan oleh Pas untuk menyokong atau tidak, memfitnah, mengkeji, mencela dan sindiran atau mengeluarkan apa-apa kenyataan palsu sama ada secara langsung atau tidak langsung, terhadap mana-mana ahli Pas dengan tujuan mempengaruhi atau mendorong mana-mana ahli supaya mencalonkan atau tidak mencalonkan atau mengundi atau tidak mengundi mana-mana ahli Pas.

Selain itu, ahli Pas juga dilarang menerbit, mengeluar, menyiar atau mengedarkan dalam sebarang bentuk kenyataan sama ada secara lisan atau bertulisan atau grafik atau karikatur dalam apa-apa medium sekalipun yang mengandungi fitnah, kejian, celaan, sindiran, atau apa jua kenyataan palsu sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan tujuan mempengaruhi atau mendorong mana-mana ahli Pas supaya mencalonkan atau tidak mencalonkan atau mengundi atau tidak mengundi mana-mana ahli Pas.

Ahli Pas juga tidak dibenarkan menjalankan sebarang kempen yang bertentangan dengan hukum hakam, akhlak Islam, lunas demokrasi dan undang negara.

Mereka juga dilarang menyalahgunakan apa jua kuasa, kedudukan atau jawatan sama ada dalam Pas atau dalam kerajaan atau apa jua kedudukan atau jawatan lain dengan sendiri atau melalui mana-mana orang lain, dengan tujuan mendorong, memujuk atau memaksa mana-mana ahli Pas supaya mencalonkan atau tidak mencalonkan atau mengundi atau tidak mana-mana ahli Pas.

Sepanjang proses berkempen, mereka juga dilarang menggunakan sebarang bentuk kekerasan, ugutan atau ancaman untuk menggunakan apa-apa jua bentuk kekerasan sama ada secara fizikal atau bukan fizikal, paksaan, ugutan atau halangan secara langsung atau tidak langsung dengan tujuan untuk mengakibatkan kecederaan, kecacatan atau memaksa seseorang ahli Pas agar mencalonkan atau tidak mencalonkan atau mengundi atau tidak mengundi mana-mana calon yang bertanding dalam mana-mana ahli Pas.

Manakala larangan terakhir ialah mereka ditegah daripada memberi, meminjam, meminta atau bersetuju untuk memberi atau meminjam atau meminta atau berjanji akan mendapatkan atau akan berusaha untuk mendapatkan apa-apa wang atau balasan bernilai untuk seseorang ahli Pas yang lain atau untuk seseorang yang lain, dengan tujuan menyogok atau mendorong seseorang ahli supaya mencalonkan atau tidak mencalonkan atau mengundi atau tidak mengundi mana-mana ahli Pas.SH

No comments: