Wednesday, October 9, 2013

PEMILIHAN PAS!!! PAS Kuala Pilah berwajah baru


KUALA PILAH: Kepimpinan PAS Kuala Pilah kini berwajah baru apabila tiga jawatan utama dalam PAS Kawasan Kuala Pilah kini dipegang oleh muka baru.

Dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kuala Pilah tahun ini, jawatan Yang Dipertua (YDP) PAS Kuala Pilah yang disandang oleh Zaharudin Othman selama dua penggal, dimenangi oleh Abdul Karim Shahimi Abdul Razak.

Jawatan Timbalan YDP pula dimenangi oleh Ustaz Norazman Mohamad menewaskan Ir Mohamad Noor Abdul Rahman. Rafiei Mustapha pula merupakan Naib YDP yang baru.

Ketua Pemuda PAS Kuala Pilah juga menonjolkan muka baru iaitu Anizar Abdul Rahman. Ketua Urusan Ulama yang baru pula ialah Ustaz Walid Ahmad.


Walau bagaimanapun jawatan Ketua Muslimat PAS Kuala Pilah masih dipimpin oleh penyandang Fazilah Abu Samah.

Kepimpinan PAS Kuala Pilah kini mempunyai gandingan aktivis, ulama, profesional dan gabungan golongan muda dan yang berpengalaman.

Mantan YDP, Zaharudin Othman, dalam ucapan aluan beliau mengucapkan tahniah kepada perwakilan atas kejayaan mengadakan mesyuarat kawasan tahun ini.

Beliau menyeru agar perwakilan mengambil peluang ini untuk melakukan muhasabah terhadap perjalanan kawasan dan seterusnya melakar hala tuju yang ingin diambil dalam mempersiapkan parti dalam menghadapi PRU14.

"Saya berharap agar perwakilan melakukan perbincangan dalam suasana penuh keikhlasan, ukhuwah dan mahabbah demi kebaikan parti.

Beliau memperingati bahawa dengan hanya suasana begitu mesyuarat akan diangkat menjadi majlis zikrullah, majlis memperingati kebesaran Allah SWT.

"Saya rasa bersyukur terhadap perkembangan yang sedang berlaku dalam parti di mana perbincangan yang aktif di semua peringkat mengenai pendekatan yang perlu diambil oleh parti dalam melakar hala tuju parti.

Perbincangan untuk menilai keberkesanan pendekatan politik merupakan satu amalan yang biasa dalam mana-mana organisasi," katanya.

YDP PAS Kuala Pilah, Abdul Karim Shamimi dalam ucapan sulung beliau berkata antara misi beliau untuk penggal ini ialah untuk menghidupkan semula cawangan-cawangan yang tidak aktif.

"Kami akan mendaftarkan seramai mungkin ahli PAS yang baru dan akan berusaha menubuhkan cawangan PAS yang baru.

"Untuk persediaan PRU-14, PAS akan cuba mengambil balik Dun Sri Menanti daripada KeADILan", ujar beliau.

Sebelum itu dalam ucapan perasmian, AJK PAS Pusat, Zulkefly Mohamad Omar mengingatkan kegagalan menguasai Putrajaya pada PRU13 harus dijadikan iktibar dan muhasabah diri dengan baik.

No comments: