Orang muda kuasai pemilihan Muktamar Pas 
IPOH - Penyandang Ketua Pemuda Pas Negeri, Mohamad Zawawi Abu Hassan berdepan cabaran satu lawan satu bagi mempertahankan kerusi pada Muktamar Pemuda Pas Perak kali-30, 3 November ini.

Menariknya, cabaran tersebut datangnya daripada timbalan beliau, Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob yang juga Naib Ketua Pemuda Pas Pusat.

Perkara tersebut disahkan Pengerusi Jawatankuasa Muktamar Pemuda Pas Negeri Dr Muhaimin Sulam kepada Sinar Harian dan turut memaklumkan berlaku pertandingan untuk dua lagi jawatan utama kepimpinan Pemuda Pas Negeri.

Katanya, jawatan timbalan ketua turut menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Koordinator Jawatankuasa Strategik dan Isu Pas Perak, Salman Saleh dengan Ketua Penerangan Pemuda Pas Negeri, Mohd Akmal Kamaruddin.


“Ahmad Khairie Jamaluddin akan mempertahankan jawatannya sebagai naib ketua dan akan dicabar oleh Mohd Nazri Din yang turut menyaksikan satu lawan satu.

“Seramai 31 calon telah layak bertanding jawatan ahli jawatankuasa namun hanya 22 calon sahaja bersetuju untuk bertanding manakala sembilan lagi menolak,” katanya.

Sementara itu, penyandang pengerusi tetap, Dr Ahmad Nuri Al-Amin dan timbalannya, Khalilul Rahmad Abdul Samad masing-masing telah diumumkan menang tanpa bertanding setelah calon lain menarik diri.

Muhaimin berkata, pihak jawatankuasa pemilihan telah memberi tempoh masa kepada semua kawasan untuk menghantar pencalonan sebelum mengutus surat rasmi kepada pencalonan yang layak bertanding.

“Saya yakin perjalanan muktamar kali ini akan berlangsung dengan penuh harmoni dengan menyuburkan prinsip demokrasi di dalam parti,” katanya.

Muktamar Pemuda Pas Perak kali ke-30 akan berlangsung pada 3 November ini menyaksikan perwakilan akan memilih pimpinan bagi sesi 2013-2015.

Ketua Pemuda Pas Pusat, Nasruddin Hassan dijadual akan merasmikan muktamar tersebut.SH