Sunday, November 10, 2013

PEMILIHAN PAS!!! Mengembalikan martabat dan aura Pemuda - Zulhazmi


KUALA LUMPUR: Calon Ketua Pemuda, Zulhazmi Sharif berjanji akan mengembalikan martabat dan aura Pemuda sepertimana gerakan Pemuda suatu ketika dahulu yang menjuarai isu-isu rakyat bersama rakyat.

Katanya, Pemuda sewaktu dipimpin oleh Datuk Ustaz Abu Bakar chik, Mohamad Sabu, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub sentiasa berdepan dengan isu-isu yang membabitkan rakyat serta peka dengan apa yang dihadapi oleh rakyat.

Zulhazmi dengan melalui agenda 'Merakyat Pemuda, Memudakan Rakyat' yakin dengan pendekatan yang akan dibawakan nanti, keseluruhan pemuda yang berada di luar akan berasa lebih yakin untuk mendekati PAS.

"Saya bertekad akan mengembalikan martabat dan aura Pemuda kepada satu tahap yang kita akan banggakan.


"Kita lihat sewaktu Pemuda ini dipimpin oleh pemimpin sebelum ini, Pemuda telah memdahului dan mendepani isu-isu rakyat serta sentiasa bersama rakyat sehinggakan kita disegani oleh segenap lapisan masyarakat.

"Saya yakin dengan pendekatan yang akan dibawa iaitu merakyatkan pemuda memudahkan rakyat, kita akan diterima kembali oleh seluruh rakyat dan keyakinan mereka bersama kita semula termasuk rakay kita dalam Pakatan Rakyat," jelasnya.

Jelasnya lagi, Pemuda akan bekerjasama rapat dengan kepimpinan tertinggi parti termasuk gerakan rakyat seperti Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang tidak berparti untuk kepentingan rakyat keseluruhan bukan sekadar kepentingan politik.

"Pemuda mesti bersama rakyat merasai keperitan hidup rakyat dan menjadi pemangkin kehendak seluruh peringkat rakyat terutama golongan muda dari semua sudut sosial, ekonomi, agama dan politik.

"Kebersamaan Pemuda dalam setiap gerakan massa bukan sekadar diungkap tetapi perlu diterjemah dalam tindakan. Pemuda itu rakyat," sambung beliau.

Menurutnya lagi, rakyat perlu diterap dengan budaya kritis dan berhujah untuk mencari serta mencari yang terbaik.

"Dengan tekad membudayakan keterbukaan pemikiran berlandaskan Islam. Membudayakan informasi dan maklumat. Rakyat tidak hanya mengikut tanpa informasi dan maklumat.

"Rakyat perlu berinformasi, bermaklumat dalam memilih dan melakukan sesuatu. Mengurus pelbagai pandangan dan pendapat melalui keterbukaan hujah dan ilmu bagi memperolehi keputusan terbaik untuk Pemuda dan Malaysia," kata beliau.

Bagi jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat pula, tiga pencalonan disahkan iaitu Suhaizan Kaiat, Kamarulzaman Mohamad dan Zulhazmi Sharif. Ia ekoran ketua pemuda sekarang, Ustaz Nasrudin Hassan mengundur diri daripada jawatan itu.

Ustaz Mohd Khalil Abdul Hadi dan Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakob pula bertanding bagi mengisi kerusi timbalan ketua yang dikosongkan oleh Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Kerusi Naib Ketua Pemuda juga menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Pengarah Juham, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi dan Ir Mohd Khairul Nizam Khairuddin. Ia dikosongkan oleh Dr Raja Ahmad Iskandar yang bertanding timbalan ketua.

Seramai 26 orang akan bertanding untuk mengisi kerusi AJK Dewan Pemuda.

No comments: