Thursday, November 14, 2013

PEMILIHAN PAS!!! Raja Iskandar sasar Pemuda PAS dinamik

KUALA LUMPUR: Dalam usaha melahirkan Pemuda PAS yang dinamik agar boleh meletakkan diri di mana sahaja ia berada, maka sayap itu perlu ‘direbrandingkan’ dari pelbagai aspek agar memenuhi tuntutan semasa.

'Rebranding' itu perlu dilakukan dari sudut pendekatan, imej dan penampilan agar semua pihak yang berada dalam Pemuda PAS mampu memposisikan peranan masing-masing di arena nasional dan antarabangsa.

"Target saya untuk melahirkan anak-anak muda yang dinamik, agar boleh meletakkan diri masing-masing di mana sahaja ia berada, sama ada di peringkat nasional, antarbangsa, di kampung mahupun cawangan dalam memenuhi tuntutan semasa," tegas Dr. Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss kepada Harakahdaily, hari ini.

Itu antara harapan yang ingin dibawa calon Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia itu pada sayap terpenting parti Islam itu.

Tambah Raja Iskandar, Pemuda PAS perlu ke hadapan dalam usaha memimpin parti  dengan memposisikan anak muda di arena antarabangsa yang dilihatnya begitu berkesan di negara-negara luar.


"Biarpun ketika ini Pemuda PAS sudah mendapat pengiktirfan di arena antarabangsa dengan hubungan yang baik dengan organisasi pemuda yang lain, ia memerlukan satu pengukuhan yang lebih bersifat kolektif bagi memastikan Pemuda Pusat benar-benar menjadi wadah anak muda," tegas beliau.

Mengambil contoh pengalaman beliau di beberapa negara luar berkenaan organisasi anak muda, Raja Iskandar berkata terdapat golongan profesional yang mampu menerajui soal agama, dalam masa sama golongan agamawan pula turut sama menguruskan soal ekonomi.

Kesimbangan itu, katanya begitu penting bagi memastikan segala hasrat dan impian Pemuda PAS dapat direalisasikan dengan kekuatan pemimpin muda yang dinamik.

Raja Iskandar turut berikrar untuk meneruskan apa yang ada di dalam Pemuda PAS dengan penambahbaikan yang lebih jitu, yang dilihatnya memerlukan 'orang lama' untuk meneruskan legasi tersebut.

"Berdasarkan pengalaman sebagai Naib Ketua Pemuda PAS, saya mengambil tanggungjawab untuk meneruskan dengan penambahbaikan sayap kanan parti ini dengan mengambilkira latar belakang suasana agar DPPM menjadi lebih aktif dan relevan untuk anak muda," tegas beliau.

Pada pemilihan kali ini, Raja Iskandar akan bersaing dengan Ustaz Mohammad Khalil Abdul Hadi bagi mengisi kerusi timbalan ketua yang dikosongkan oleh Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Manakala, bagi kerusi Ketua Pemuda PAS, berlaku persaingan antara tiga calon iaitu Suhaizan Kayat, Kamaruzzaman Mohamad dan Zulhazmi Shariff.

Bagi kerusi Naib Ketua Pemuda juga menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Pengarah Juham, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi dan Ir Mohd Khairul Nizam Khairuddin.

Seramai 26 orang akan bertanding untuk mengisi kerusi AJK Dewan Pemuda.

No comments: