Tuesday, January 7, 2014

PETISYEN LUBUK MERBAU!!! Walaupun macam tiada harapan, PAS terus doa, buat UMNO jadi risau


KUALA KANGSAR: Seluruh penyokong Pakatan Rakyat, khususnya ahli-ahli PAS dimohon untuk bermunajat dan berdoa bagi perbicaraan petisyen Dewan Undangan Negeri (Dun) Lubuk Merbau yang bermula hari ini.

Ketua Pemuda PAS Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss, dalam kenyataannya kepada Harakahdaily, hari ini menegaskan iringan doa dan munajat itu diperlukan bagi memastikan perbicaraan itu akan memihak kepada Pakatan Rakyat.

"Kami mengharapkan rakyat yang menyokong Pakatan Rakyat untuk mengiringi doa agar perbicaraan kelak akan berpihak kepada Pakatan. Ianya secara tidak langsung akan mengubah iklim politik di Perak jika perbicaraan tersebut akan berpihak kepada PR.



"Kami juga yakin perbicaraan tersebut, akan menjadi perhatian ramai oleh kerana BN di Negeri Perak hanya berbekalkan dua kerusi sahaja untuk memerintah kerajaan negeri Perak, " tegas beliau.

Meletakkan keyakinan ke atas persediaan barisan peguam yang terlibat dengan perbicaraan ini, Raja Iskandar berkata segala hujah lengkap berkaitan fakta dan bukti kukuh di bawa peguam diharapkan dapat mempertikaikan kemenangan BN di kerusi tersebut.

Dalam masa yang sama, Raja Iskandar mengharapkan semua jentera Pakatan Rakyat agar bersedia dengan kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku hasil daripada perbicaraan tersebut.

Katanya, sokongan moral rakyat amat penting bagi Pakatan Rakyat meneruskan agenda untuk membela rakyat jika diberikan kemenangan sama ada dalam pilihan raya kecil(PRK) jika ianya tidak mustahil boleh berlaku.

Perbicaraan bagi kes itu akan berlangsung bermula hari ini sehingga Jumaat ini.

No comments: