Monday, March 16, 2015

PEMILIHAN PAS : DATUK HUSAM KINI DAHULUI PENCALONAN PRESIDEN PAS

http://www.al-ahkam.net/home/sites/default/files/husam%20musa2.jpg
Selepas mendapat dua pencalonan, Datuk Husam Musa kini layak mencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang apabila PAS Kawasan Batu Sapi, Sabah turut mencalonkannya untuk bertanding jawatan presiden semalam.

Sabtu lepas, PAS kawasan Kota Tinggi, Johor mencalonkan naib presiden PAS itu untuk bertanding jawatan presiden dalam mesyuarat agung mereka.

"PAS Batu Sapi mencalonkan Datuk Husam Musa sebagai presiden," kata Yang Dipertua PAS Batu Sapi Hamzah Abdullah kepada The Malaysian Insider hari ini.

  "Saya mencalonkan Datuk Husam kerana yakin beliau boleh membawa PAS jauh ke depan dan boleh mendapat kepercayaan dari semua kaum dan agama di negara ini,"
kata Hamzah yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Sabah itu.

Hamzah yang sebelum ini pesuruhjaya PAS Sabah pertama juga yakin jika Husam terpilih sebagai presiden, ia akan membolehkan PAS memimpin Pakatan Rakyat (PR) dan seterusnya layak untuk menjadi calon perdana menteri.

Dalam perlembagaan PAS, untuk bertanding jawatan presiden, seseorang hanya memerlukan pencalonan minimum 2 kawasan.


Selain Husam, Hadi dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man masing-masing mendapat satu pencalonan selepas 4 kawasan membuat pencalonan sehingga semalam.

Hadi mendapat pencalonan daripada kawasan Shah Alam semalam manakala Tuan Ibrahim mendapat pencalonan daripada kawasan Kota Baru minggu lalu.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim yang juga naib presiden PAS menolak pencalonan itu.

Selain Husam sebagai presiden, Batu Sapi mencalonkan Mohamad Sabu mengekalkan jawatannya sebagai timbalan presiden.

Untuk jawatan naib presiden pula, mereka mencalonkan Salahudin Ayub, Datuk Mahfuz Omar dan Tuan Ibrahim.

Mesyuarat agung PAS Batu Sapi bersama Libaran, Beluran dan Kinabatangan dirasmikan Mohamad Sabtu lepas.

Sebelum ini, bekas Mursyidul Am PAS allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah antara pemimpin PAS yang sering berkata, Husam antara pemimpin PAS yang layak menjadi calon perdana menteri.

Ia disahkan bekas setiausaha politik Nik Aziz yang pertama Datuk Wan Abdul Rahim Abdullah.

"Husam adalah prime minister material," kata Wan Rahim.

PAS akan mengadakan muktamar ke-61 awal Jun depan di Kuala Selangor di mana pemilihan untuk semua jawatan utamanya akan dilakukan. – TMI

2 comments:

Amuraria said...

Steadylah tn husam !terbaik moga diberkati Allah SWT dari yang kaki maki !

Anonymous said...

Terbaik
Jgn bagi group penjilat UG sudah la
Dh meluat ngan puak2 UG ni...
Husam musa mmg the best...