Tuesday, November 23, 2010

SPR jadi jurucakap Umno

PUTRAJAYA, 23 Nov.:Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihatkan kerajaan negeri pakatan pembangkang supaya menghentikan cakap-cakap mahu mengadakan pilihan raya negeri yang berasingan dengan pilihan raya umum kerana ia hanya mengakibatkan pembaziran besar dari segi tenaga dan wang rakyat.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, bajet untuk mengadakan pilihan raya-pilihan raya berkenaan perlu ditanggung sendiri oleh kerajaan negeri terbabit kerana sebarang peruntukan terletak di bawah Perbendaharaan Pusat.

Lebih daripada itu, kata beliau, meskipun Menteri Besar atau Ketua Menteri berhak mengisytiharkan pembubaran Dewan Undangan Negeri namun kuasa mutlak dan pemutus akhirnya terletak di tangan Sultan dan Yang Dipertua Negeri.

“Sebab itu kita lihat kerajaan negeri (Pas) Kelantan selama 20 tahun memerintah tidak pernah terfikir pun hendak mengadakan pilihan raya negeri berasingan dengan tarikh yang diumumkan Kerajaan Pusat.

“Jika semata-mata keputusan ini dibuat atas kepentingan politik, ia hanya mengakibatkan pembaziran wang rakyat. Ini termasuk penglibatan jentera-jentera keselamatan dan tambahan lagi masyarakat akan berada dalam keadaan tegang sentiasa sebab tidak habis- habis berkempen dan berpolitik.

“Jangan ingat pula peruntukan hendak adakan pilihan raya negeri ini boleh dapat secara automatik, kalau Perbendaharaan tidak luluskan, bagaimana?” kata beliau kepada Utusan Malaysia hari ini.

Ketika spekulasi kemungkinan PRU ke-13 akan diadakan tahun depan, pelbagai pihak dalam pakatan pembangkang pula membuat andaian negeri-negeri mereka tidak semestinya bersama dalam PRU berkenaan.

Read more ...

Khir Toyo boleh bercakap dengan cermin
























SHAH ALAM, 22 Nov. : Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin menyifatkan tindakan mantan Menteri Besar Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo mendakwa pentadbiran pakatan rakyat Selangor mengamalkan budaya kronisme dalam pengagihan bantuan kebajikan kepada rakyatnya di ibaratkan 'Umpama berdialog dengan cermin'.


Faekah berkata, tiada gunanya kerajaan negeri mengunapakai dasar "Merakyatkan Ekonomi Selangor" atau MES dan menetapkan tema belanjawan 2011 dengan "Hasil Negeri Untuk Rakyat" jika mengamalkan budaya kronisme.

"Kalau kita mengamalkan budaya kronisme dalam agihan bantuan kepada rakyat miskin dan mengutamakan ahli PKR dan PAS, kita tidak akan menamakan ia sebagai 'Merakyatkan Ekonomi Selangor' dan 'Hasil Negeri Untuk Rakyat'."

Menurut Faekah, dakwaan itu juga sebenarnya mencerminkan dirinya sendiri ketika beliau memerintah Negeri Selangor.

"Kita memberi bantuan dengan melihat kepada keperluan dan keutamaan kepada rakyat dan saya tidak mahu mencabar Khir Toyo untuk membuktikannya, kerana rakyat semua sudah tahu," katanya.

Sebelum ini, Khir mendakwa kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat bersikap memilih bulu dalam melaksanakan pengagihan bantuan dengan memberi keutamaan kepada ahli PKR dan sekutu mereka iaitu PAS dan DAP.

Faekah berkata, dengan mandat yang diberikan rakyat, kerajaan negeri akan sentiasa berusaha memperbaiki kelemahan sistem pentadbiran kerajaan terdahulu dengan menamatkan episod pemberian bantuan 'memilih bulu'.

"Sepanjang perjuangan kita, kita berazam mahu menamatkan politik sempit dan bantuan mengikut bulu, kaum dan kronisme," jelasnya.

Tambah Faekah, sebaliknya kerajaan negeri tidak pernah membeza-bezakan fahaman politik ketika mengagihkan bantuan kepada setiap penerima yang layak mendapatkan pertolongan dan ini sekaligus menafikan dakwaan Khir bahawa kepimpinan Khalid pilih bulu.

Malah ada antara orang umno yang saya jumpa di kampung malu menerima bantuan dan saya katakan makcik layak menerima bantuan ini, ujarnya.

Read more ...

Noh masih berlagak samseng



KUALA LUMPUR, 23 Nov. : Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Noh Omar berkata beliau akan bersemuka dengan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan Ng Suee Lim untuk menyelesaikan isu pukul di Kampung Sawah Sempadan, Tanjung Karang pada 4 Nov lepas.

Noh yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor berkata beliau telahpun menulis surat rasmi kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim untuk membolehkannya menemui semua ADUN Selangor termasuk Ng bagi menyelesaikan isu berkenaan.

“Yang Berhormat tidak ada di sana, saya juga tidak ada di sana. Jadi biar dia (Ng) berdepan dengan saya. Yang Berhormat tidak payah campur tangan... saya sedang menunggu bila Menteri Besar Selangor ini hendak jawab surat saya,” kata Noh di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau memberi penjelasan mengenai isu itu kepada Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2011.

Dalam kejadian itu, Ng dan pemandunya dipukul kira-kira 30 individu di Kampung Sawah Sempadan, Tanjung Karang setelah didakwa cuba membuat demonstrasi haram di kawasan berkenaan.

Penjelasan Noh menimbulkan kekecohan di dewan apabila beberapa anggota Parlimen pembangkang termasuk Fong, Khalid Abdul Samad (PAS-Shah Alam) dan Dr Mohd Hatta Ramli (Pas-Kuala Krai) bangkit mempertikaikan tindakan Noh yang disifatkan tidak wajar kerana mempertahankan tindakan penduduk kawasan berkenaan.

Serangan bertalu-talu daripada anggota Parlimen pembangkang terhadap Noh itu menyebabkan berlaku pertikaman lidah yang berterusan hampir lima minit manakala cubaan Noh untuk memberi penjelasan lanjut berhubung isu itu tidak diendahkan oleh pembangkang.

Melihat keadaan semakin tidak terkawal, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandie segera masuk campur dan meminta anggota Parlimen berkenaan menghentikan kekecohan itu.

“Yang Berhormat... Yang Berhormat... cukuplah... isu ini tidak termasuk dalam kementerian,” katanya sekaligus menamatkan kekecohan berkenaan.

Terdahulu, semas menjawab isu kelewatan pemberian pinjaman Tekun Nasional yang dibangkitkan beberapa Anggota Parlimen, Noh berkata beliau telahpun mengarahkan supaya Tekun mengurangkan kerenah birokrasi dan menepati sasaran untuk memberi kelulusan pinjaman dalam tempoh dua bulan.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan ada berlakunya kelewatan dalam pemberian pinjaman atas pelbagai faktor termasuk kecuaian dalam pengurusan borang pinjaman oleh pegawai.

Sama ada pinjaman Tekun dibuka kepada kaum lain, Noh berkata selain kaum Bumiputera, pinjaman Tekun juga dibuka untuk usahawan kecil dari kaum India manakala setakat ini sekurang-kurangnya 50 usahawan kecil daripada kaum Cina menerima pinjaman daripada tabung berkenaan.

Persidangan dewan bersambung esok. — Bernama

Read more ...

Umno yang langgar perlembagaan








































KUALA LUMPUR, 23 Nov:
Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengingatkan pihak-pihak tertentu yang cuba mengubah perlembagaan negara supaya tidak bersikap seperti 'tikus membaiki labu'.

Sehubungan itu, PAS kesal isu gangguan Perlembagaan dan kedudukan Raja-Raja Melayu sering dibangkitkan di negara ini.

“PAS berpandangan bahawa isu ini dibangkitkan ialah untuk menimbulkan ketakutan di kalangan orang Melayu supaya jangan berjinak dengan PAS dan Pakatan Rakyat,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad.

Katanya, sejak mutakhir isu Melayu dan kedaulatan Raja-Raja Melayu dibangkitkan sebagai usaha untuk menarik sokongan orang Melayu kepada Umno, kononnya Melayu dan Raja Berperlembagaan hanya selamat di bawah Umno, setelah isu pembangunan sudah lapuk, kerana dunia semakin maju.

Menurutnya, satu ketika dahulu kononnya ada Perlembagaaan baru dibangkitkan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani sampai sekarang tidak dapat dibuktikan lagi.

“PAS mencabar mana-mana pihak yang ada bukti jika ada mana pihak yang hendak menggugat perkara yang telah dipersetujui bersama seperti kedudukan agama Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu dan Hak Istimewa Raja-Raja Melayu silalah dibawa ke pengadilan,” ujarnya.

Tambahnya, isu derhaka kepada Raja-Raja Melayu dibangkitkan dengan hebat ketika pilihan raya Kecil Bukit Gantang, kononnya Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin derhaka kepada Sultan Perak.

Katanya, mereka eksploit perkataan yang diucapkan oleh Datuk Seri Nizar “Patik Mohon Sembah Derhaka”, pada hal ini adalah istilah yang diajar oleh protokol istana ketika berbahasa dengan Raja apabila kita tidak sependapat dalam satu padangan.

“Hakikatnya yang berlaku seperti yang tercatat dalam sejarah politik negara kita, yang biadab dengan Raja-Raja Melayu ialah pemimpin Umno malahan cuba hendak ambil alih kuasa isytihar darurat daripada Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya lagi.

Katanya lagi, rakyat Malaysia tidak boleh lupa ketika mereka membelasah Raja-Raja Melayu pada tahun 1983 kerana menolak cadangan supaya kuasa Yang di-Pertuan Agong mengenai pengisytiharan darurat dikurangkan.

Begitu juga, ujarnya penyokong Umno pula mengatakan Sultan Terengganu binatang.

“Kenapa polis tidak tangkap mereka yang demo dan hina Sultan Terengganu kerana tidak melantik Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar Terengganu. Banyak lagi kita boleh bongkarkan siapa yang sebenarnya menghina Raja-Raja Melayu,” katanya.

Read more ...

Umno Perak semakin terdesak cari sokongan

IPOH, 23 Nov: PAS Perak melihat Umno BN kini sedang berada dalam ketakutan sehingga menghimpunkan para penghulu supaya membenci Pakatan Rakyat.

Buktinya, kata Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Abu Bakar Hussain, Umno BN cuba meracuni pemikiran rakyat dengan doktrin hanya Umno BN sahaja yang mampu dan boleh memerintah Perak dan negara sebaliknya negara akan hancur sekiranya Pakatan Rakyat memerintah negara.

Bagi PAS Perak, tegasnya Umno BN sememangnya sudah terdesak dengan situasi politik Perak dan seluruh negara, mereka tidak yakin mampu mempertahankan kerajaan Perak yang dirampas mereka.

“Buktinya ialah para penghulu dihimpunkan oleh Umno BN untuk ditanam bibit-bibit kebencian kepada Pakatan Rakyat,” ujarnya pada sidang media, hari ini.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau.

Menurut sumber yang diperolehi oleh PAS Perak, baru-baru ini seluruh penghulu-penghulu negeri Perak telah dikumpulkan di Cameron Highlands dalam satu program anjuran Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Program tersebut diisi oleh Majlis Keselamatan Negara.

Program yang asalnya berupa taklimat isu-isu keselamatan negara menjadi medan politik kepada para penceramah untuk memastikan Umno BN terus kekal memerintah negeri Perak.

Menurut sumber para penceramah telah menyentuh isu-isu yang boleh dianggap menghasut para penghulu dengan membangkitkan perasaan perkauman.

Kerajaan Pakatan Rakyat yang telah memerintah Perak hampir setahun telah diburukkan imejnya oleh mereka di hadapan penghulu-penghulu, antara dakwaan yang berbentuk perkauman dan fitnah mereka ialah mereka menimbulkan kebencian peserta kepada Pakatan Rakyat Perak dengan mendakwa kononnya DAP lah yang menguasai Perak, PAS dan Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin selaku Menteri Besar Perak hanya boneka semata-mata.

Selain itu PAS Perak juga mendapat maklumat bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menjadi sasaran mereka. Para penceramah tidak segan silu memburuk-burukkan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat terutamanya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PAS Perak melihat Umno BN Perak kini sedang berada dalam ketakutan. Buktinya Umno BN cuba meracuni pemikiran rakyat dengan doktrin hanya Umno BN sahaja yang mampu dan boleh memerintah Perak dan negara sebaliknya negara akan hancur sekiranya Pakatan Rakyat memerintah negara.

Bagi PAS Perak, Umno BN sememangnya sudah terdesak dengan situasi politik Perak dan seluruh negara, mereka tidak yakin mampu mempertahankan kerajaan Perak yang dirampas mereka. Buktinya ialah, para penghulu dihimpunkan oleh Umno BN untuk ditanam bibit-bibit kebencian kepada Pakatan Rakyat.

Program yang dilakukan itu menggambarkan Umno BN meletakan harapan agar para penghulu boleh mamainkan peranan bagi memastikan Umno BN kekal mengekalkan kuasa mereka, inilah bukti salahguna kuasa yang dilakukan oleh Umno BN dam menguruskan kakitangan awam di negara ini.

PAS Perak melihat bahawa Adun-Adun Umno BN Perak sudah tidak dapat menarik sokongan rakyat untuk menyokong mereka.

Adun-Adun Umno BN kini sudah tidak yakin dengan kapasiti Umno BN samada mereka masih boleh terima oleh rakyat Perak atau tidak, kerana itulah para penghulu diperdaya kononnya menghadiri taklimat isu-isu keselamatan negara, pada hal mereka dihasut oleh para penceramah untuk membenci Pakatan Rakyat.

Bagi PAS Perak, perkara yang berlaku ini amat dikesalkan sama sekali, duit rakyat yang besar bagi membiayai program tersebut digunakan untuk program politik Umno BN atas nama Majlis Keselamatan Negara.

Menurut sumber yang didapati oleh PAS Perak juga, selepas ini ketua-ketua kampung seluruh Perak juga akan dikumpulkan bagi tujuan program yang sama, begitu juga para pengetua dan guru-guru besar sekolah-sekolah seluruh Perak juga akan dikumpulkan bagi menabur fitnah kepda Pakatan Rakyat khususnya di Perak bagi memastikan Umno BN terus kekal memerintah Perak.

Read more ...

Polis pun sokong ISA juga




















GEOGRTOWN. 23 Nov. : Jawatankuasa Siri Program 50 tahun di bawah Kekejaman ISA iaitu Gerakan Mansuhkan ISA dan organisasi bekerjasama berasa kecewa terhadap pemuda UMNO Pulau Pinang yang mengganggu program dan pandangan Ketua Polis Negeri Pulau Pinang, Ayub Yaakob terhadap insiden ini.

Tanggungjawab polis sepatutnya mempertahankan kepentingan awam dan keselamatan rakyat daripada pengganas. Ketua polis negeri Pulau Pinang tidak patut menyalahkan pihak penganjur kerana tidak memohon permit, kami sebenarnya adalah mangsa dalam perkara ini.

Polis sepatutnya menangkap orang yang membuat kacau apabila mendapat aduan tetapi polis pula sekadar menyaksikan dan membenarkan orang terus membuat kacau. Ayub Yaakob berkata polis telah mengawal keadaan dengan baik.

Pada hakikatnya, pihak polis tidak menghalang apabila penganjur dipukul dan ditolak orang pemuda UMNO.

Kalau polis berasa rakyat ditolak dan dipukul masih dikira dalam kawalan yang baik, pihak polis patut menilai semula KPI PRDM. Kami harap ini tidak akan lagi berterusan dan mengembangkan budaya samseng.

Kami berharap pihak polis akan mengambil tindakan yang sewajar dan membawa pengganas ke mahkamah.

Matlamat utama kami menganjurkan program ini adalah untuk rakyat membincangkan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), kami menghormati pandangan yang berbeza dan mempertahankan kebebasan bersuara setiap orang.

Oleh itu, kami membenarkan Kumpulan pro-ISA berkongsi pandangan mereka.

Demi menyanggah kenyataan "ISA dapat mempertahankan Negara, bangsa dan agama", kami juga membalas semua pandangan kumpulan pro-ISA dalam forum kami.

Melalui forum bertajuk "ISA alat politik untuk penindasan" dan "bagaimana agama melihat ISA?", kami tahu bahawa ISA adalah sambungan semangat Darurat yang diistihar oleh penjajah British untuk menyerang rakyat yang memperjuangkan hak mereka.

ISA terus digunakan untuk menjaga kepentingan golongan pemerintah dan menindas rakyat yang ingin berjuang.

Kami membantah ISA sepenuh-penuhnya. Dan kami juga tidak setuju kalau ISA digunakan untuk menangkap orang yang menimbulkan kekacauan.

Ini adalah kerana undang-undang yang sedia ada cukup untuk kesalahan mereka, dan hak dibicara tidak patut dirampas. Ahli panel agama seperti Islam, Kristian, Hindu, dan Buddha juga memandang ISA ini bercanggah dengan agama yang menegak keadilan.

*Kenyataa media oleh Ong Jing Cheng selaku Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Pulau Pinang.

Read more ...

Jais berhak halang kerana Umno









































IPOH, 23 Nov. : Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berhak untuk tidak membenarkan Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berceramah di Masjid Saujana Utama, Sungai Buloh kerana tidak mendapat tauliah daripada jabatan itu.


Pesuruhjaya PAS Perak Abu Bakar Hussain berkata Jais berhak untuk tidak membenarkan sama ada ahli politik atau guru yang tidak mendapat tauliah daripada jabatan berkenaan untuk memberi ceramah.

“Bagaimanapun daripada sudut demokrasi ia jelas menunjukkan ketidakadilan kepada rakyat kerana mereka memerlukan ilmu dari semasa ke semasa. Rakyat pada masa kini sudah bijak untuk menilai apa yang baik dan buruk. Justeru, mereka (rakyat) boleh menerima atau menolak segala pengisian yang disampaikan penceramah mengikut fahaman masing-masing,” katanya
kepada pemberita di ibu pejabat PAS Perak di sini hari ini.

Semalam Jais meminta pentadbir masjid berkenaan membatalkan program ceramah agama yang melibatkan Mohammad Nizar yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak kerana tidak mendapat tauliah daripada jabatan itu.

Pengarahnya Datuk Mohammed Khusrin Munawi meminta pihak berkenaan mengubah lokasi ke tempat lain yang tidak terikat dengan syarat-syarat tauliah yang tetapkan JAIS jika mahu meneruskan program itu.

Mengenai kemelut kepimpinan yang berlaku dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR), beliau berkata PAS bersedia memberi pandangan dan nasihat kepada PKR supaya masalah itu dapat diselesaikan.

Beliau turut menyifatkan pergolakan PKR itu adalah sementara dan tidak akan berterusan sehingga mengganggu persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

PKR merupakan parti yang masih muda dan baru dalam arena politik tanah air dan sedang mengemaskini hal ehwalnya, katanya.

“Pergolakan dalam PKR itu sebenarnya hal rumah tangga mereka. PAS berharap mereka dapat selesaikan dan PAS sedia membantu PKR untuk selesaikan kemelut itu kerana kita memang ada mesyuarat untuk memberi pandangan...mereka (PKR) masih baru dan sedang memperkemaskan hal pentadbiran dan perkara teknikal,” katanya.

Ditanya sekiranya bekas anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR Datuk Zaid Ibrahim mahu menyertai PAS, Abu Bakar berkata PAS merupakan parti yang terbuka, namun sebarang keputusan kemasukan itu hanya diputuskan oleh pimpinan PAS Pusat. – Bernama

Read more ...

Hakim berat sebelah tidak layak jadi hakim

azlanKUALA LUMPUR, 23 Nov. : Peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengemukakan permohonan melucutkan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Zabidin Mohd Diah daripada perbicaraan kerana didakwa terus bersikap berat sebelah dan menghalang peguambela mendapatkan nota-nota pemeriksaan doktor ke atas pengadu Saiful Bukhari Azlan.

Selain itu, peguam Karpal Singh akan memohon supaya pakar perubatan Dr Siew Sheue Feng dari Hospital Kuala Lumpur dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana cuba menyembunyikan dokumen yang penting untuk pembelaan Anwar.

Zabidin akan mendengar kedua-dua permohonan itu pagi, esok.

Anwar melahirkan rasa kesal terhadap keputusan-keputusan Zabidin yang dilihat berat sebelah sepanjang perbicaraan dan memihak kepada pendakwaraya, walaupun ia jelas bercanggah dengan prosedur undang-undang.

"Peguam telah memberi maklum bahawa kita akan mengemukakan permohonan supaya hakim menarik diri kerana berpuluh-puluh kes kita asyik diketepikan semua undang-undang dan hanya memihak kepada pendakwa. Beberapa kenyataan dia (Zabidin) nampak jelas tidak berlaku adil. Jadi ini akan dilakukan esok," kata Anwar.

Pada hari ini Zabidin sekali lagi melarang peguambela daripada mendapatkan dokumen pemeriksaan awal daripada pakar-pakar yang memberi keterangan.

Dokumen itu mempunyai banyak maklumat yang tidak terkandung dalam laporan perubatan yang dikemukakan oleh pendakwaraya kepada mahkamah.

Anwar berkata ada cubaan jelas melindungi maklumat nota perubatan pengadu Saiful Bukhari Azlan, khususnya apabila pakar patologi Dr Siew memberi keterangan hari ini.

Walaupun gagal memberi jawapan tepat kepada soalan-soalan Karpal, Dr Siew enggan untuk merujuk kepada nota-nota yang diambil oleh beliau ketika memeriksa Saiful untuk memberi keterangan.

Ini kerana jika beliau berbuat demikian, peguambela boleh memohon untuk mendapatkan nota-nota.

Bagaimanapun semasa waktu rehat, Dr Siew mengaku ada merujuk kepada nota-notanya. Anehnya sebaik sahaja perbicaraan bersambung, beliau enggan berbuat demikian.

"Kenapa ...takut mengenai kepada nota-nota ini," tanya Karpal. Namun pakar perubatan itu tetapi memilih untuk tidak berbuat demikian.

Karpal kemudian berkata Dr Siew harus dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana merujuk kepada nota-nota itu ketika waktu rehat walaupun beliau sebelum itu memberitahu mahkamah tidak akan berbuat demikian.

Beliau akan memohon supaya Hakim Zabidin mengenakan tindakan itu kerana jelas ada cubaan untuk menyembunyikan maklumat daripada peguambela.

Karpal juga menegur Zabidin kerana terus menafikan hak peguambela untuk mendapatkan nota-nota pemeriksaan awal doktor yang cukup relevan kepada perbicaraan.

Peguam veteran itu berkata Zabidin hanya membuang masa mengambil keterangan doktor jika tidak mahu melihat sendiri nota-nota yang diambil oleh doktor dalam memberikan keterangan mereka di mahkamah.

Read more ...

Umno suka permusuhan, PR utamakan persahabatan

















KUALA LUMPUR, 23 Nov. : Umno mendakwa sikap berdiam diri PAS dan DAP terhadap kepincangan yang berlaku dalam PKR membuktikan parti komponen Pakatan Rakyat itu seolah-olah tidak berani untuk menegur Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertindak selaku ketua pembangkang.


Ia ekoran daripada pemilihan PKR 2010 yang baru sahaja menutup tirainya kelmarin yang mana banyak aduan dan kepincangan yang berlaku sepanjang tiga minggu pemilihan tersebut dijalankan.

Malah tindakan bekas Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim yang mengambil keputusan untuk keluar parti membuktikan kepincangan yang berlaku adalah serius.

Menurut Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan, tindakan pemimpin PAS dan DAP yang masih berdiam diri mungkin disebabkan mereka “tidak berani” untuk menegur Anwar.

“Bagi saya mungkin ada dua sebab kenapa pemimpin PAS dan DAP tidak mahu menegur masalah yang berlaku dalam PKR.

“Yang pertama mungkin mereka rasakan masalah itu boleh diselesaikan dengan baik dalam PKR.

“Dan, yang kedua mungkin pemimpin PAS dan DAP tidak mahu tegur Anwar Ibrahim, mungkin mereka tidak berani tegur ketua pembangkang,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

Beliau berkata, dakwaan tersebut mungkin ada kebenaran kerana sehingga kini masih tiada kenyataan pemimpin PAS dan DAP meminta PKR menyelesaikan masalah yang berlaku dalam parti itu.

“Saya rasa ia ada kemungkinan juga sebab kita lihat mana ada kenyataan daripada pemimpin PAS dan DAP minta PKR selesaikan masalah yang berlaku.

“Nak selesaikan masalah macam mana? Kalau sudah ada bukti bahawa PKR yang selama ini kononnya memperjuangkan keadilan tidak berbuat demikian.

“Bukti ini ditunjukkan melalui ahli-ahli PKR yang membuat bantahan.

“Jadi pemimpin PAS dan DAP mungkin terkejut dengan apa yang berlaku dalam PKR, mereka tidak boleh buat apa-apa,” katanya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga meminta Umno-Barisan Nasional (BN) tidak mempedulikan masalah yang berlaku dalam Pakatan Rakyat.

Sebaliknya Ahmad berkata, biar rakyat sahaja yang membuat keputusan tentang masalah yang berlaku dalam PKR.

“Bagi BN, kita jangan jadi kuat dek kerana kelemahan orang lain, kita kena jadi kuat dengan kekuatan sendiri. Sebelum ini saya pernah cakap bahawa BN kena kuat dengan kekuatan sendiri bukan kerana kelemahan pihak lawan.

“Kalau apa yang berlaku dalam Pakatan Rakyat itu, biarlah... sama ada ia nak rosak atau rebah biarkan sahaja. Kita jangan peduli.

“Jadi permintaan saya, rakyat lihatlah sendiri apa yang berlaku. Adakah rakyat mahu terima parti seperti PKR ini?,” katanya.

Bagaimanapun pandangan Ahmad itu diketepikan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub yang berkata, parti Islam itu tidak menegur PKR kerana menghormati dasar perjuangan mereka.

“Kita ada etika dalam persahabatan, ia adalah masalah rumah tangga masing-masing.

“Apa pun yang berlaku kita hormati cara mereka, jika ia berlarutan kita mungkin akan bincang dalam mesyuarat majlis tertinggi Pakatan Rakyat,” katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian ini berkata, sekiranya mahu menegur PKR pihaknya akan menggunakan saluran yang betul bukan secara terbuka.

“Jadi tidak perlu untuk kita beri pandangan secara terbuka, kita akan gunakan saluran yang sepatutnya.

“Saya percaya masalah ini akan selesai selepas pemilihan PKR tamat, kita tidak akan serang parti komponen secara terbuka,” katanya.

Salahuddin juga menafikan bahawa PAS tidak menegur PKR kerana “takut” kepada Anwar.

“Takut kepada PKR? Tidak... saya rasa Ahmad Maslan juga tahu perkara ini, dalam BN sendiri parti komponen tidak menyerang secara terbuka.

“Malah kita juga tahu masalah yang berlaku dalam BN lagi teruk, sampai sekarang masih belum diselesaikan,” katanya.

Bagaimanapun, Penasihat DAP Lim Kit Siang enggan memberikan sebarang komen mengenai dakwaan terbaru Umno itu.

“Saya tidak mahu komen mengenai perkara itu.

“Apa yang Ahmad Maslan nak katakan biarlah,” katanya.

Read more ...

SPRM cepat bertindak jika libatkan kerajaan Pakatan

SHAH ALAM, 23 Nov. : Seorang pegawai kanan Yayasan Selangor ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini, bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu perbelanjaan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-40 yayasan itu yang dikatakan melebihi RM300,000.

Menurut Bernama, perintah tahanan reman sehingga 29 Nov itu dikeluarkan oleh penolong kanan pendaftar Mahkamah Tinggi Khairul Nizam Abu Bakar.

sultan of selangor sharafuddin idris shahPegawai berusia 40-an itu ditahan pagi semalam oleh SPRM berikutan pembabitannya sebagai pengerusi pengelola untuk majlis tersebut.

Sambutan ulang tahun yayasan berkenaan mendapat perhatian apabila Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah membatalkan hasrat baginda berangkat ke majlis itu kerana dukacita dengan kosnya yang dikatakan amat tinggi.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar sebelum ini mendakwa kos majlis berkenaan menjangkau lebih RM800,000 dan sebahagian daripada jumlah itu sudah dibayar kepada syarikat yang diberi kontrak menganjurkannya.

Cabaran belum disahut

Bagaimanapun Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim mencabar Noh membuktikan kos yang didakwanya itu. Namun sehingga hari ini, timbalan pengerusi perhubungan Umno Selangor itu gagal menyahut cabaran itu ataupun membuktikan dakwaan yang dibuatnya.

azlanKhalid juga sebelum itu mengarahkan agar majlis itu dibatalkan dan mengalu-alukan siasatan oleh SPRM.

Yayasan Selangor semasa pemerintahan kerajaan BN tidak pernah diaudit selama lima tahun bermula dari tahun 2005.
Sementara itu, menurut sumber, enam lagi pegawai kanan lain yayasan itu yang dipanggil bagi memberi keterangan kepada SPRM minggu lalu berhubung isu yang sama telah dipindah ke luar daerah.

Tiga daripada mereka adalah pegawai kanan daripada bahagian aset, harta dan komunikasi koporat di ibu pejabat yayasan berkenaan, kata sumber itu kepada Malaysiakini.

Menurut beliau, dua daripada mereka dipindahkan ke dua asrama yang dimiliki yayasan itu, yang masing-masing terletak di Kelang dan Sabak Bernam.

Manakala seorang lagi dipindahkan ke Institut Kemahiran Yayasan Selangor di Bagan Terap dekat Kuala Selangor.
Setengah jam untuk berpindah

Sumber itu juga berkata ketiga-tiga pegawai terbabit juga diberi tempoh selama setengah jam untuk mengemas barang-barang mereka di pejabat sebelum diarahkan berpindah.

Baki tiga pegawai lagi - seorang telah diarah berpindah ke Kem Bina Semangat di Ampang Pecah dan dua lagi ke Asrama Yayasan Selangor di Kuala Lumpur, tambah sumber.

"Semua mereka telah diberi surat yang ditandatangani oleh pengurus besar yang bertarikh 18 November lalu," katanya sambil menambah mereka berbuat demikian selepas memberi keterangan kepada SPRM pada 16 November lalu.

Mengulas lanjut, sumber itu berkata pertukaran keenam-enam pegawai kanan berkenaan tanpa melibatkan penurunan pangkat dan menyifatkannya sebagai "perpindahan biasa".

Katanya lagi, kekosongan tempat enam pegawai kanan itu telah disi dengan enam pegawai lain pada tarikh perpindahan mereka.

Selain itu, ada dua pegawai lain yang turut terlibat dengan rombakan, tetapi beliau "tidak pasti" mengapa mereka turut disenaraikan.

Read more ...

Kes 'Mata Lebam" belum berakhir

KUALA LUMPUR, 23 Nov: Walaupun sudah 12 tahun berlalu, tragedi 'Mata Lebam' Datuk Seri Anwar Ibrahim masih menghantui pasukan polis dan hari ini Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail sediri dikaitkan dengan tragedi ini.

Bekas Pegawai Penyiasat polis terhadap kes ini, Mat Zain Ibrahim semalam (22 November) menghantar satu surat terbuka kepada Ketua Polis Negara meminta beliau membersihkan pasukan polis dan mendakwa pihak yang patut dipersalahkan dalam isu ini adalah Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail.


Menurut surat panjang Mat Zain kepada Tan Sri Ismail Omar itu, sekurang-kurangnya sudah dua kali Gani menipu Jamaah Menteri.


"Apa yang pasti ialah, pertuduhan menipu Jemaah Menteri terhadap Tun LLS (Ling Leong Sik) itu tidak adil kepada beliau, jika Peguam Negara pula tidak dituduh, kerana beliau juga pernah menipu Jemaah Menteri, sekurang-kurangnya dua kali," tulis Mat Zain dalam surat itu.


Menurut Mat Zain, beliau pernah diminta menemui Datuk Seri Najib Razak pada 23 Oktober 2008 ketika beliau menjadi timbalan perdana menteri. Dalam pertemuan itu, beliau berkata, Najib telah memarahi beliau apabila memberitahu satu penal telah dibentuk bagi mengkaji siasatan SPRM terhadap Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Gani Patail.


"Dalam perbualan sama, saya memberitahu YAB PM mengenai maklumat yang saya perolehi; dimana pihak Kerajaan telah melantik satu Panel bagi mengkaji siasatan yang dijalankan oleh SPRM. Saya juga telah menyebutkan nama dua orang yang telah dilantik sahaja yang saya ketahui pada masa itu.


"Secara sepontan YAB PM bangun daripada tempat duduknya dan menyatakan dengan serious bahawa beliau tidak tahu menahu mengenai perlantikan Panel yang saya nyatakan kepadanya. Beliau selanjutnya menyatakan bahawa sekiranya benar sesuatu Panel telah dilantik, beliau pasti telah ditaklimatkan mengenainya.


"Malahan YAB PM telah menasihatkan saya supaya tidak percaya dengan khabar angin sedemikian kerana perkara itu adalah tidak benar. Setelah berbual satu dua perkara lain saya telah meninggalkan Pejabat YAB PM," tulis Mat Zain menceritakan bagaimana PM telah memarahi beliau.


Namun, katanya, terbukti selepas itu, Penal itu memang diwujudkan oleh Jabatan Peguam Negara sebagaimana jawapan rasmi kerajaan di Parlimen.


Pada 11.3.2009, Datuk Seri Nazri Aziz telah membuat pengumuman di-Parlimen mengenai keputusan siasatan SPRM tersebut, tulis Mat Zain.


Nazri mengumumkan bahawa siasatan SPRM telah diteliti oleh tiga orang Ahli Panel bebas yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya(DPP) mengikut Kanun Prosidur Jenayah(CPC) oleh Peguam Cara Negara(SG) padahal sebelumnya, PM Najib telah menafikan penubuhan penal itu.


Beliau juga memberikan nama-nama tiga orang Ahli Panel bebas tersebut iaitu; Datuk Abdul Kadir Sulaiman, Datuk Wira Mohd.Noor Ahmad dan Datuk Mohd.Noor Abdullah,masing-masing mantan Hakim Mahkamah Persekutuan dan seorang mantan Hakim Mahkamah Rayuan.


Selanjutnya beliau mengumumkan bahawa Ahli Panel sebulat suara (3-0) mendapati Tan Sri Musa Hasan tidak terlibat dalam sebarang salah laku jenayah manakala keputusan majoriti (2-1) terhadap Tan Sri Gani Patail (TSGP) yang bermakna seorang dari Ahli Panel tersebut mendapati terdapat keterangan mengaitkan TSGP dalam suatu salah-laku.


Namun begitu kedua-dua TSGP dan TSMH dibersihkan daripada sebarang salah laku jenayah, tulis Mat Zain.


Menurut Mat Zain, cara Peguam Negara mengendalikan isu P I Balasubramaniam dan dakwaan terhadap Ling Leong Sik "mengesahkan tanpa ragu lagi, bahawa beliau tidak menghiraukan langsung hak kesamarataan individu dari sudut undang-undang, yang dijamin oleh Perlembagaan."


Sehubungan itu beliau mencadangkan agar Peguam Negara dihadapkan kehadapan Tribunal untuk disiasat.


"Sekiranya Ketua Hakim Negara boleh dibawa kehadapan Tribunal,jika bekas Timbalan Perdana Menteri,Menteri Besar,Menteri-Menteri kanan termasuk Tun LLS,Ahli-Ahli Parlimen,Ketua Polis Negara,Panglima dalam Tentera Darat, Ketua Setiausaha Kementrian,Ketua Pengarah-Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan dan lain-lain, mampu dihadapkan kemuka pengadilan oleh Kerajaan,malah ada diantara mereka yang telah menjalani hukuman,dibuang kes dan ada yang masih menunggu perbicaraan selain daripada telah diaibkan. Apa istimewanya Peguam Negara?" tulis beliau.


Mat Zain juga mengaitkan kes Mata Lebam dengan Peguam Negara.


Menurutnya, persetujuan telah dicapai oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Nor dengan timbalannya, Tan Sri Norian Mai dan beliau selaku Pegawai Penyiasat kes itu agar ia ditutup dengan penuh hormat.


"Sebenarnya persetujuan untuk penutupan sepenuhnya insiden mata-lebam itu, dicapai antara jam 2.30 petang hingga 3.30 petang hari Khamis 8.10.1998," katanya.


Persetujuan ini dicapai diantara Tan Sri Abdul Rahim Noor (TSRN), Ketua Polis Negara ketika itu,Tan Sri Norian Mai,Timbalan Ketua Polis Negara dan saya selaku Pegawai Penyiasat,didalam bilik Pejabat TSRN sendiri


"Setelah memberi persetujuan tersebut saya lihat wajah TSRN begitu tenang,dan menerusi “body language” beliau, saya dapati seolah beliau begitu lega, setelah beban diatas bahunya dilepaskan.


"Malah beliau sambil bersahaja menanyakan kepada Tan Sri Norian, sama ada beliau(TSRN) layak membeli staff-car Mercedes yang sedang beliau gunakan itu, dan jika boleh beliau minta tolong, untuk repair sedikit-sedikit mana yang rosak," tulisnya.


Keputusan yang dicapai, berdasarkan tulisan Mat Zain itu, Tan Sri Rahim akan mengaku memukul Anwar sehingga lebam matanya dan meletakkan jawatan kerana kesalahan itu.


Namun semua itu berubah apabila Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Mohtar Abdullah diiringi orang kuatnya Datuk Abdul Gani Patail telah menemui Rahim Noor.


"Manusia hanya boleh merancang, tetapi Allah sahaja yang boleh menentukanNya. Saya mendapat tahu kemudiannya, iaitu pada jam lebih kurang 5.00 hingga 5.30 petang 8.10.1998 itu,Tan Sri Mohtar Abdullah (Allahyarham) diringi oleh orang kuatnya Datuk Abdul Ghani Patail ,telah menemui TSRN dibilik Pejabat KPN," tulis Mat Zain.


"Lebih kurang jam 6.00 petang itu saya dipanggil untuk berjumpa dengan Tan Sri Norian dan beliau cuma memberitahu saya “untuk meneruskan siasatan seperti biasa”,dan apabila melihat beliau membuat gesture bahunya sedemikian,saya faham bahawa persetujuan yang dicapai antara kami beberapa jam sahaja sebelum itu telah dibatalkan.


"Saya harus menyatakan bahawa saya terkejut dan hampa dengan perubahan ini, tetapi siapalah saya untuk menghalangnya, oleh kerana kita sendiri tidak tahu apa yang akan berlaku pada hari esok," tulisnya lagi.


Suruhanjaya Diraja yang ditubuhkan kerajaan untuk menyiasat tragedi Mata Lebam itu mendapati Rahim yang bersalah kerana memukul Anwar.


Namun sebelum itu, siasatan polis tidak pernah mendedahkan Rahim yang bersalah bahkan Tun Dr Mahathir pernah mendakwa Anwar mencederakan dirinya sendiri.

BACA SURAT PENUH MAT ZAIN DI SINI

Read more ...

Monday, November 22, 2010

Pemilihan MTUC : Dua kem bertembung




























KUALA LUMPUR, 23 Nov. : Pemilihan kepimpinan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bulan depan — bakal menyaksikan pertembungan dua kem tradisi di samping beberapa individu yang berdiri sendiri khususnya bagi jawatan timbalan presiden dan setiausaha agung.

Malah, pemilihan kali ini juga dilihat bakal menentukan sama ada kepimpinan tertinggi badan induk kesatuan sekerja tersebut akan diterajui pemimpin-pemimpin dari PKR.

Seperti telah dijangkakan, persaingan dilihat memfokus kem Presiden Syed Shahir Syed Mohamud dan Setiausaha Agung G. Rajasekaran bulan depan.

Syed Shahir, yang dicalonkan 14 kesatuan gabungan, dicabar oleh Mohd Khalid Atan dari Kesatuan Pekerja-pekerja Perhutanan yang menerima 18 pencalonan.

Kini, Khalid adalah timbalan presiden MTUC dan dilihat memihak kepada kepimpinan Rajasekaran, yang memutuskan tidak mempertahankan jawatannya.

Berbanding jawatan itu, kerusi setiausaha agung yang kosong akan disaingi tiga muka.

Ketiga-tiga calon itu ialah J Solomon, Halim Mansor dan Abdullah Sani Abdul Hamid.

Abdullah Sani, Ahli Parlimen PKR Kuala Langat pernah bertanding pada pemilihan 2007, beberapa bulan sebelum dipilih sebagai wakil rakyat, tetapi tewas kepada Rajasekaran.

Selain mereka, tiga nama lain dicalonkan untuk jawatan setiausaha agung iaitu Samuel Devadasan, P. Maniyam dan Bruno Periera.

Bagaimanapun hanya tiga orang mengesahkan untuk menerima pencalonan sehingga 5 petang semalam iaitu tarikh akhir untuk berbuat demikian.

Halim, yang juga Timbalan Setiausaha Agung MTUC ketika dihubungi The Malaysian Insider mengesahkan senarai akhir calon yang bakal berentap pada pemilihan akhir bulan depan sempena persidangan perwakilan tiga tahun sekali.

“Hanya tiga orang bertanding jawatan setiausaha agung iaitu saya, Solomon dan Abdullah Sani,” kata beliau.

Persidangan perwakilan yang sepatutnya diadakan 21 dan 22 Disember ditunda seminggu, sehingga 28 dan 29 Disember, bagi membolehkan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) melangsungkan persidangan mereka, yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Abdullah Sani sekali lagi berganding dengan Syed Mohamud yang mahu mempertahankan jawatannya buat penggal ketiga.

“Saya berganding dengan Syed Shahir dan saya yakin mampu lakukan (menang) kali ini,” kata Abdullah Sani ketika dihubungi.

“Samuel akan bertanding jawatan timbalan setiausaha agung dan Bruno sebagai naib presiden (sektor swasta),” kata beliau.

“Tiada sebarang kompromi dengan mana-mana pihak, saya tidak kompromi dengan sesiapa dalam menentukan barisan saingan... cuma saya ada berbincang-bincang dengan Solomon seperti biasa,” kata beliau yang yakin mempunyai peluang lebih cerah kali ini.

Solomon ketika dihubungi berkata, walaupun beliau tidak menyertai mana-mana barisan atau kumpulan — kem Syed Shahir atau Rajasekaran, yakin akan melakukan kejutan dalam pemilihan kali ini.

“Saya yakin dengan kekuatan saya walaupun saya turun tanpa kem, ya... saya yakin. Saya yakin dengan kekuatan dan sokongan yang ada pada saya,” kata Solomon yang mengejutkan banyak pihak dengan keputusan mahu bertanding jawatan setiausaha agung.

Solomon juga sudah menawarkan manifesto dan strategi 10 perkara untuk pertimbangan anggota MTUC.

Nasib calon pada pemilihan kali ini akan ditentukan oleh sekitar 500 perwakilan.

Ketika dihubungi, Periera juga mengesahkan hanya akan bertanding jawatan naib presiden.
“Saya akan memberi tumpuan bagi jawatan naib presiden,” kata beliau yang disertakan dalam kem Syed Shahir dan Abdullah Sani.

Jawatan timbalan presiden yang kini kosong disaingi oleh Maniyam dari Kesatuan Pekerja-pekerja Industri Elektrik, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Loke Yim Pheng, Mohd Jafar Abd Majid (Kesatuan Pekerja-pekerja Telekom Kebangsaan) dan Abdul Razak Md Hassan (Kesatuan Keretapi Tanah Melayu).

“Loke tidak mengesahkan sama ada menerima atau menolak pencalonan, tetapi oleh kerana beliau tidak menjawab surat tawaran, berdasarkan perlembagaan MTUC, nama dia akan disenaraikan dalam saingan jawatan timbalan presiden,” kata Halim.

Saingan bagi jawatan timbalan presiden, setiausaha agung dan timbalan setiausaha kewangan menyaksikan persaingan calon yang tidak memihak mana-mana kem.

Kerusi timbalan setiausaha agung menjadi rebutan Devadasan dan R. Jey Kumar manakala bagi jawatan setiausaha kewangan, walaupun tujuh nama dicalonkan hanya akan ditandingi Abdullah Abu Bakar dan Awang Ibrahim.

Dalam pada itu, Jimmy Ng, C. Pramasivam, Mohd Azmi Abu Bakar dan Md Helmee Abu bersaing merebut jawatan timbalan setiausaha kewangan.

Pemilihan juga diadakan bagi kerusi naib presiden yang dikhususkan bagi sektor swasta, kerajaan dan badan-badan berkanun.

Read more ...

Bubar saja parti komponen BN



















KUALA LUMPUR, 23 Nov: Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa mencadangkan supaya kesemua parti komponen dalam BN yang berasaskan kaum dibubarkan untuk menghapuskan sentimen perkauman yang semakin berleluasa di negara ini.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas keputusan Barisan Nasional (BN) baru-baru ini yang memperkenalkan pendaftaran ahli BN secara terus, ahli-ahli parti, Rakan BN dan Kelab Sahabat BN.

Tambahnya, keputusan itu telah menunjukkan kuasa Umno semakin berleluasa dalam BN dan parti perkauman Melayu itu semakin mengetepikan parti komponen yang lain.

Menurutnya, laungan perkauman sering kali kedengaran di perhimpunan agung Umno.

Baginya, Umno yang merupakan parti memerintah tidak banyak beza dengan Perkasa yang dilihat mengamalkan perkauman.

“Kekuasaan mutlak Umno dalam BN telah meminggirkan peranan parti komponen lain dalam Barisan Nasional,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, parti komponen yang berasaskan sokongan orang Cina seperti MCA dan Gerakan telah dianggap sebagai penakut dan pengecut oleh pengundi kerana gagal untuk melawan keangkuhan Umno.

Ujarnya lagi, oleh kerana sumber yang semakin terhad dan penyakit 50 tahun memerintah Malaysia, ketidakupayaan Umno dalam meluaskan lagi kekuasaan politik di negara ini telah memandang rendah terhadap parti komponen BN kerana gagal untuk mencari balik populariti BN.

Justeru, katanya BN harus menghapuskan polisi yang berasaskan kaum dan parti politik kaum sekiranya mereka benar-benar memikirkan kebaikan untuk rakyat Malaysia.

Namun, tambahnya lagi Umno yang berselindung di bawah payung perkauman untuk mencari kepentingan mereka menjadikan Umno tidak mungkin untuk menghindari perkauman.

“Mereka masih perlu menggunakan isu perkauman untuk mencari populariti murahan. Kekuasaan mutlak Umno dalam BN semakin mengikis dan merampas peranan parti komponen berasaskan orang Cina dalam BN,” ujarnya.

Menurutnya, organisasi bukan kerajaan (NGO) 1Malaysia yang dilancarkan pada Pilihan raya kecil Dun Galas, baru-baru ini sekali lagi membuktikan Umno tidak memerlukan parti komponen berasaskan orang Cina untuk mencapai kejayaan.

“Hal ini akan membawa kepada situasi di mana Umno akan merampas kerusi dari parti komponen mereka kerana pencapaian parti komponen yang kurang memuaskan.

“Walaupun parti komponen menentang tindakan BN untuk membuka keahlian BN, namum hal ini telah berjaya dilaksanakan dan sesiapa pun tidak akan menjamin apa yang bakal berlaku pada masa depan,” ujarnya.

Read more ...

Suasana majlis korban anjuran PAS Parit Buntar








PARIT BUNTAR : Pada 10 Zulhijjah 1431 H, umat Islam di Malaysia merayakan Aidul Adha dengan ibadat korban menjadi fokus utama sesuai dengan anjuran agama.

PAS Parit Buntar tidak ketinggalan meneruskan aktiviti tahunan mengadakan program Ibadah Korban. Sebanyak lapan ekor lembu telah dikorbankan selepas Solat Sunat Aidil Adha di Dewan Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husin, Titi Serong.

Pengarah program Hosni Mokhtar berkata, bilangan lembu untuk dikorbankan bertambah berbanding tahun lalu kerana semakin ramai yang menyertai ibadah korban anjuran PAS Parit Buntar.

, "Walaupun bilangan lembu korban bertambah pada tahun ini, kerja-kerja melapah dan memotong daging dapat dijalankan dengan lancar.

“ Urusan pengagihan daging korban juga berjalan lancar, di mana wakil PAS Cawangan datang mengambil daging korban untuk diserahkan kepada fakir miskin di Cawangan masing-masing".

Hosni berkata, umat Islam menyedari akan kelebihan ibadah korban itu, maka ramai yang berlumba-lumba dan bersegera di dalam melakukannya untuk mendapat keampunan dan keredaan daripada-Nya,

“ Pagi tadi, umat Islam bersolat Aidul Adha dan seperti biasa umat Islam diingatkan semula dengan peristiwa korban Nabi Ibrahim dan puteranya Nabi Ismail.

“ Peristiwa korban yang terbesar dalam sejarah kehidupan manusia kerana melaksanakan perintah Allah” katanya

Tambahnya, selain program ibadah korban yang dianjurkan oleh PAS Parit Buntar. Program ibadah korban ini juga dilaksanakan oleh ahli-ahli PAS Cawangan di Markas, Surau dan Masjid tempat masing-masing.

“ PAS Parit Buntar sangat mengalu-alukan ibadah korban yang dilakukan oleh PAS Cawangan di tempat masing-masing.

“ PAS Parit Buntar juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah membantu menguruskan ibadah korban PAS Kawasan pada tahun ini” katanya

Berikut adalah gambar-gambar suasana majlis berkenaan :


Read more ...

Presiden Iran lelong kereta untuk rakyat























TEHERAN : Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad akan melelong kereta Peugeot 504 yang dimilikinya pada 1977 untuk tujuan kebajikan, lapor sebuah stesen televisyen semalam.

Wang hasil lelongan kereta itu akan diserahkan kepada projek perumahan Mehr untuk penduduk yang berpendapatan rendah.

“Kereta itu akan dijual dalam satu lelongan antarabangsa,” kata Menteri Kebajikan dan Keselamatan Sosial, Sadeq Mahsouli dalam laman web televisyen tersebut.

Selepas beliau dipilih menjadi Presiden Iran pada 2005, antara aset yang diisytiharkannya ialah rumah di kawasan kelas pertengahan berusia 40 tahun di timur Teheran dan kereta Peugeot berwarna putih.

Pada Februari lalu, Menteri Perumahan, Ali Nikzad menyatakan, kira-kira satu juta penduduk Iran layak untuk mendapatkan rumah kos murah itu.

Read more ...