Ikuti pandangan yang diluahkan TIMBALAN PRESIDEN PAS, HAJI MOHAMAD SABU kepada wartawan AHMAD LUTFI OTHMAN, SAADON AKSHAH dan SALMIYYAH HARUN, di Pejabat Harakah, Kuala Lumpur.
HARAKAH: Perwakilan PAS telah memilih saudara sebagai Timbalan Presiden dalam muktamar lalu, bagaimana pula dengan sambutan pada peringkat akar umbi?
MOHAMAD SABU: Kehadiran wartawan pada muktamar kali ini luar biasa sekali. Khususnya liputan akhbar akhbar Cina begitu menggalakkan. Apabila keputusan pemilihan diumumkan, saya nampak sambutannya begitu ghairah terutama orang bawah, misalnya yang berada di khemah, Unit Amal, pemerhati, ahli PAS dan penyokong, yang meletakkan harapan cukup tinggi kepada PAS. Mereka berharap perubahan pimpinan akan mencetuskan satu ledakan.
Ini satu pengharapan tinggi yang amat saya bimbang kalau tidak berlaku apa-apa perubahan yang boleh membawa kebaikan dan penambahbaikan kepada parti. Nanti, kita akan hadapi kritikan hebat ahli dan para penyokong jika mengabaikan harapan mereka.
Boleh jelaskan secara umum visi dan misi saudara sebagai Timbalan Presiden?
Saya sudah bercakap banyak kali, secara umumnya tugas timbalan ialah membantu Presiden. Saya bukanlah yang terbaik, tetapi insya-Allah akan berusaha ke arah itu ... iaitu melebarkan pengaruh Parti Islam kepada orang bukan Melayu khasnya India, Cina dan lain-lain. Saya dianggap agak senang dan biasa bergaul dengan mereka.
Saya juga akan terus berusaha melalui parti untuk memahamkan rakyat tentang demokrasi, hak asasi dan sebagainya. Seperti saya timbulkan dalam muktamar, orang Melayu amat lemah dan rendah dalam memahami hak asasi. Misalnya, apabila seorang wanita Cina kononnya dibogelkan dalam lokap, yang mendominasi isu ini ialah DAP dan akhbar Cina tetapi bila Nora menceritakan bagaimana dibogelkan dan ketuk ketampi ekoran tangkapan demonstrasi, sikap orang Melayu begitu dingin.
Begitu juga kematian Beng Hock. Orang Cina dan akhbar Cina cukup mengambil berat isu ini. Tetapi apabila berlaku kepada pegawai kastam Sarbani, terbukti orang Melayu begitu dingin dalam masalah hak asasi. Saya akan cuba melalui parti bagaimana berusaha memartabatkan isu hak asasi, demokrasi serta hak dan kepentingan rakyat. Saya akan membantu Presiden dan parti dalam mengetengahkan isu-isu seperti ini.
Soalnya, masyarakat bukan Melayu terutama orang Cina semakin dekat dan menaruh keyakinan kepada PAS, yang menjadi masalah ialah meraih sokongan pengundi Melayu terhadap PAS?
Memang kita kena berjalan serentak, bahkan usaha untuk mendapat sokongan orang Melayu perlu dilipatgandakan. Kita harap kerjasama terutama sekali dengan Ketua Penerangan baru, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, agar dapat memperbanyakkan program untuk menerangkan perjuangan PAS di samping menjelaskan kedudukan orang Melayu.
Apa pun, kita tidak mahu yang dikendong berciciran. Kita akan bergerak serentak sebab untuk ke Putrajaya, kita mesti meningkatkan sokongan orang Melayu sekurang-kurangnya 5-10 peratus dan meningkatkan sokongan bukan Melayu sedia ada.
Mengapa orang Melayu seperti tidak sensitif dengan isu-isu hak asasi, demokrasi, rasuah dan sebagainya sedangkan semua isu-isu itu dekat dengan tuntutan Islam?
Pemahaman siasah orang Islam perlu dipertingkatkan. Dalam soal amar maaruf nahi mungkar, sepatutnya orang Melayu mendahului kaum lain. Malangnya, kita nampak dalam soal rasuah dan penyelewengan, kaum lain mendahului. Kita harap ulama-ulama kita lebih dapat memainkan peranan untuk meningkatkan kefahaman tentang good governance, kerajaan yang telus, akauntabiliti, integriti serta menentang akta-akta zalim seperti ISA dan OSA.
Kita harap PAS, melalui ulamanya, akan lebih bercakap dalam hal-hal seperti ini supaya apa yang kita laungkan, misalnya prinsip-prinsip pemerintahan seperti soal hisbah dapat dijelmakan. Islam telah menggariskan prinsip-prinsip asas termasuk dalam pemerintahan, yang cukup baik untuk dipraktikkan. Masalahnya, mengapa orang lain pula yang dilihat lebih sensitif "memperjuangkannya, seperti mencegah kemungkaran dan penyelewengan.
Saudara juga sering menyebut soal memperkasakan Majlis Syura Ulamak. Dalam keadaan Timbalan Presiden tidak disandang lagi oleh ulama, begitu juga dengan Naib-Naib Presiden, tentu lebih ramai yang berminat untuk mendengar penjelasan lanjut saudara.
Ulama mesti berada di tempat yang paling tinggi. Sebab itulah selepas 1983, selepas terbentuk Majlis Syura Ulama, peranan ulama, yang sebelum itu menduduki Dewan Ulamak, dipertingkatkan lagi. Majlis Syura kini berada pada tempat tertinggi. Majlis ini betul-betul perlu diperkasakan sebagaimana saya tekankan dalam muktamar.
Di samping mengawal dasar, perlembagaan dan disiplin, mereka juga boleh "mengaudit" Jawatankuasa PAS Pusat. Supaya mereka yang melakukan kesilapan dan kesalahan dasar boleh dipanggil dan ditegur. Juga boleh mengenakan tindakan disiplin. Dengan itu, bukan sebarang orang boleh berada dalam Majlis Syura. Seorang yang berpengalaman, berumur, berilmu, bertakwa, dan mereka mempunyai ciri-ciri seorang yang dikatakan 'manusia yang sempurna'.
Ada pun jawatan lain yang bersifat pentadbiran dan eksekutif, ia boleh diberi kepada sesiapa sahaja yang layak. Kalau kebetulan seorang yang berpendidikan agama dilihat lebih sesuai di situ, pilihlah dia. Kalau yang berkelulusan profesional atau aktivis mampu berada di situ, maka ahli berhak memilihnya.
Tetapi Majlis Syura ia mesti 'special' sebab orang inilah yang akan mengawal segala disiplin dalam jemaah itu sendiri, terutama mengawal dasar dan perlembagaan.
Setakat ini bagaimana penilaian saudara terhadap Majlis Syura?
Perlu dipertingkatkan. Kita mahu sebarang keputusan Majlis Syura ini melepasi sempadan. Kita ambil contoh mudah, tarian poco-poco. Majlis Syura membuat keputusan dan memberi pandangan. Pandangan Majlis Syura itu akan jadi bukan hanya rujukan ahli PAS, malah bukan ahli dan sebagainya. Ataupun satu isu yang menjadi kontroversi, misalnya mengubah daripada dagu besar menjadi kecil. Majlis Syura akan buat satu pandangan tapi ia bukan fatwa. Dengan itu pandangan Majlis Syura itu sekurang-kurangnya dibincangkan dan diperdebatkan, akhirnya ia menjadi rujukan orang lain. Maknanya, wibawa Majlis Syura menyeberang sempadan parti.
Di samping sokongan dan harapan tinggi ahli parti dan rakyat terhadap saudara, terdapat juga suara-suara sumbang yang mengaitkan saudara dengan mazhab Syiah ....
Saya kebetulan membesar dalam perjuangan, menyertai PAS pada 1978 dan tahun 1979 berlaku revolusi Islam Iran. Perkembangan dan kebangkitan di sana menjadi tumpuan ramai. Kemudian kemunculan gerakan Islam seperti Hizbullah, yang juga dipimpin seorang ulama yang memakai serban.
Kita ambil contoh Imam Khomeini. Macam mana seorang ulama yang menggerakkan rakyat sehingga boleh buat revolusi. Isu apa yang dipakai? Mereka tidak sebut pertentangan kelas. Tetapi beliau mengemukakan isu Mustakbirin dan Mustad'afin, iaitu yang menindas dan yang kena tindas, 'oppressed and oppressors'.
Bagaimana Khomeini berjaya meletakkan semua golongan dibawahnya. Sama ada sosialis, komunis, liberal dan sebagainya berketuakan dia. Yang ini kita perlu belajar, bukan soal mazhabnya.
Saya juga menghormati, bahkan dalam ucapan-ucapan saya tidak lekang menyebut Imam Hassan Al-Banna. Dia seorang guru agama biasa tetapi dia berdakwah dan berjaya masuk sampai ke bar dan kelab malam. Bagaimana dia boleh memimpin semua peringkat, sehingga intelektual universiti, profesor juga ada di bawah naungannya. Pemimpin macam ini saya amat hormat.
Begitu juga dengan Hizbullah. Di Beirut, yang digelar 'Paris of the East', tempat tarian gelek, tarian separuh bogel, minum arak, pakai bikini, tiba-tiba di tengah kota ini muncul satu badan yang begitu disiplin dan begitu menitikberatkan hal kebajikan. Serta boleh mengumpul anak muda dan bagaimana mereka dilatih sehingga sanggup korbankan nyawa harta benda untuk melawan dengan Israel.
Kemudian, dari sudut politik, mereka boleh menarik golongan kristian Michael Aoun yang bersenjata dan kumpulan sekular yang lain berada di bawah naungan Hizbullah. Ini taktik dan strategi politik. Inilah yang saya kagum dan mahu belajar daripada mereka.
Begitu juga Sheikh Ahmad Yasin yang berjuang daripada muda sehinggalah beliau berkerusi roda terus berjihad. Sesetengah kita bila masuk umur tua sedikit cepat-cepat menyerahkan kepada orang muda, "biar kami tua-tua ni duduk di belakang". Tetapi Sheikh Ahmad Yasin ini menyemarakkan semangat jihad sehingga melahirkan Hamas.
Jadi contoh-contoh inilah yang saya kagum. Kadang-kadang saya tidak tahu pun latar belakang soal anutan mazhab mereka, tetapi saya melihat dari sudut ilmu bagaimana mereka mengorak langkah dan memimpin. Dan dalam dunia moden ini, bagaimana ulama ini boleh diterima umum.
Kita ambil contoh macam Hassan Nasrullah. Penyanyi, ahli sukan, artis, semuanya boleh menerimanya. Kita kena lihat di mana kekuatan mereka. Begitu juga dengan dunia intelektual. Saya minat pandangan Dr Kalim Siddiqui, ahli sains sosial daripada England yang meninggal dunia di Afrika Selatan.
Saya mengingati juga Dr Ali Shariati tanpa mengetahui apa mazhab dia. Beliau membuat kupasan yang menarik terhadap sejarah, haji, firaun, kerajaan Mongul yang jatuh di India. Saya minat membaca pemikiran seperti ini. Begitulah juga dengan Dr Fathi Yakan yang membicarakan langkah awal perjuangan Islam.
Bagi saya bukan melihat pemahaman, anutan dan sebagainya. Dan kadang-kadang saya tidak tahu apa pegangan dan anutan mereka tetapi saya melihat dari sudut kepimpinan.
Begitu juga di tengah-tengah kelemahan orang Islam yang tidak yakin langsung tentang nilai jati diri sehingga orang berkata "macam mana hendak merdeka, orang Melayu, jarum pun tidak boleh buat, sedangkan British ada kapal perang".
Di sini pula muncul Jamaluddin Afghani yang memberi nafas baru kepada orang Islam untuk yakin kepada kekuatan diri menuntut kemerdekaan: "Kamu boleh mencapai kemerdekaan sendiri, kalau bersedia untuk berjuang".
Inilah sikap saya dalam hal merujuk kepada pejuang-pejuang, yang tidak langsung melihatnya dari sudut latar belakang mazhab mereka.
Wednesday, June 22, 2011
Mohamad Sabu jawab isu Syiah
Pemuda PAS Perlis sokong perhubungan negeri
KANGAR, 22 Jun: Pemuda PAS Perlis menyokong penuh jawatankuasa Badan Perhubungan PAS negeri sesi 2011-2013 yang baru dibentuk, baru-baru ini.
Ketuanya, Ustaz Yussaine Yahya, Pemuda PAS Perlis berharap agar saf kepimpinan baru PAS Perlis itu dapat melakukan suatu perubahan besar dalam gerak kerja parti khususnya bagi menghadapi Pilihan raya Umum (PRU) ke-13.
"Pemuda PAS menyokong penuh saf kepimpinan yang diterajui Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin,” katanya.
Beliau juga berharap agar kabinet baru PAS Perlis ituakan menjadi kabinet bayangan kepada kerajaan negeri yang ada sekarang.
"Semoga barisan kepimpinan inilah yang akan kita kemukakan kepada rakyat Perlis bagi menghadapi PRU akan datang untuk kita mengajak rakyat melakukan perubahan," ujarnya.
PAS Perlis membentuk kabinet baru Sabtu lalu dalam mesyuarat pertama yang dipengerusikan oleh Ustaz Hashim.
Pesuruhjaya: Ustaz Hashim Jasin
Timbalan Pesuruhjaya 1: Mohd Anuar Tahir
Timbalan Pesuruhjaya 2: Hairy Hashim
Timbalan Pesuruhjaya 3: Rus'sele Eizan
Setiausaha: Ustaz Ya'akub Abu Seman
Penolong Setiausaha: Ustaz Yahaya Ahmad
Penolong Setiausaha: Mohd Iqbal Mohd Shariff
Penolong Setiausaha: Ustaz Muhammad Azmir Azizan
Bendahari: Abdul Karim Md Rejab
Ketua Penerangan: Mohammed Shukery
Pengarah Pilihanraya: Hisharuddin Haji Hassan
Ahli Perhubungan
Wakil Dewan-dewan:
Ketua Dewan Ulama: Ustaz Idris Yaacob
Ketua Dewan Pemuda: Ustaz Yussaine Yahya
Ketua Dewan Muslimat: Hajjah Latifah Mat
Setiausaha Dewan Ulama: Che Ani Hassan
Setiausaha Dewan Pemuda: Mohd Sahir Ab Raman
Setiausaha Dewan Muslimat: Suhanawati Jaafar
Wakil PAS Kawasan:
Wan Kharizal Wan Khazim (Padang Besar)
Remlee Ahmad (Arau)
Abdul Zakaria (Kangar)
Sarudin Abu Bakar (Padang Besar)
Khairudin Mohamed (Arau)
Abdul Jamil Kamis (Kangar)
AJK dilantik:
Hassan Ismail
Haji Ahmad Tajuddin Salleh
Haji Jaafar Daud
Zulmi Sabri
Abu Aiman Arof
Mohd Razi Mustaffa
Hajjah Haton Othman
Ustaz Abu Ukaisyah
Wan Abd Rahman Wan Ahmad
Pasukan kuat bantu Pesuruhjaya
PARIT BUNTAR , 22 Jun : PAS Parit Buntar mengucapkan jutaan tahniah serta menyokong penuh perlantikan Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Negeri Perak bagi sesi 2011 – 2013.Yang Dipertua PAS Parit Buntar Tuan Haji Harun Hashim berkata, gandingan kepimpinan lama dan baru itu diharap menjadi pasukan yang kuat untuk membantu pesuruhjaya melaksanakan tanggungjawabnya.
“ Semoga perlantikan beberapa pimpinan baru ini akan memberikan semangat baru kepada seluruh ahli dan penyokong PAS di negeri ini.
“ Malah, pasukan kepimpinan baru ini tidak akan memberi ruang yang selesa khususnya kepada Umno BN yang selama ini selesa bertindak sesuka hati kepada rakyat” katanya
PAS Perak baru-baru ini telah membuat rombakan agak besar dengan menampilkan muka-muka baru bagi memantapkan lagi organisasi parti.
Bekas Menteri Besar Perak Dato’ Seri Ir. Nizar Jamaluddin kekal dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya 1 manakala Bekas Setiausaha Perhubungan PAS Perak, Misbahul Munir Haji Masduki diamanahkan sebagai Timbalan Pesuruhjaya 2
Pengerusi Badan Bertindak Peserta Felcra (BAPA) Razman Zakaria dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS 3. Dr. Muhaimin Sulam pula dilantik sebagai Setiausaha Badan Perhubungan PAS Perak yang baru.
Pemegang jawatan Ketua Penerangan juga turut berubah apabila kini di sandang oleh Nuri Al-Amin manakala Osman Maseri dilantik sebagai bendahari.
Haji Harun berharap pasukan kepimpinan baru ini akan terus mengatur dan membentuk kekuatan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 yang akan berlangsung tidak lama lagi.
"Fokus kita untuk menghadapi PRU ke 13 yang akan diadakan tidak lama lagi bagi merampas semula negeri Perak.
“ Gabungan ulama, professional dan aktivis yang berdedikasi dan agresif ini dilihat mampu membawa kejayaan kepada PAS Perak dalam menghadapi PRU ke 13”katanya
Belaiu juga mengambil kesempatan untuk menyeru semua jentera PAS dan Pakatan Rakyat untuk terus bersedia menghadapi PRU 13 yang sangat hampir kini.
Bila MCA buat laporan polis, Ibrahim Ali takut tuduh media salah lapor

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, kenyataannya kepada orang Cina adalah nasihat dan bukan ancaman, tetapi disalah ertikan.
Menurut Ibrahim, kenyataan itu dimanipulasikan media alternatif sehingga menyebabkan orang lain tersalah tafsir.
“Tiada masalah timbul pada sidang media selepas perhimpunan di Kampung Baru, Ahad lalu. Cuma kenyataan saya disalah anggap apabila saya katakan kaum Cina elok duduk di rumah pada perhimpunan Bersih itu,” katanya di lobi Parlimen, semalam.
Ibrahim berkata demikian kerana tidak mahu kaum Cina terbabit dalam perhimpunan Bersih demi kebaikan mereka.
“Selalunya apabila tunjuk perasaan, orang Cina tidak akan terlibat. Jadi saya keluarkan kenyataan itu sebagai nasihat kerana tidak mahu mereka turut serta dalam perhimpunan itu,” katanya.
Portal berita melaporkan Ibrahim bahawa menggesa masyarakat Cina tinggal di rumah pada 9 Julai ini dan menyimpan makanan kerana “apa-apa boleh berlaku”.
Ibrahim juga mendakwa kemudian bahawa dia menerima maklumat mengenai rancangan parti pembangkang untuk menumbangkan kerajaan persekutuan dan kekacauan yang boleh meletus semasa perhimpunan Bersih itu.
“Jadi apa yang berlaku apabila di luar kawalan? Mereka mahu mewujudkan sebuah kerajaan sementara dan mereka akan mengemukakan senarai nama yang akan mengambil alih, “ katanya.
Ibrahim juga menegaskan beliau tidak gentar untuk disiasat di bawah Akta Hasutan berhubung kenyataannya yang didakwa bersifat rasis.
“Nak siasat, siasatlah. Saya tiada masalah langsung untuk disiasat kerana kita tidak boleh lari daripada undang-undang. Saya manusia yang mengaku kesilapan sendiri,” katanya
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mahu beliau disiasat kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman yang mengugut kaum lain.
“Saya sudah dua kali ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Saya tahu apa yang saya buat, baik atau tidak. Kalau nak katakan kenyataan itu menghasut, bagaimana dengan kenyataan pihak lain untuk menyertai perhimpunan Bersih walaupun polis tidak akan mengeluarkan permit?,” katanya.
MCA buat laporan polis terhadap Ibrahim Ali
Ketua Pemuda MCA Bahagian Indera Mahkota, David Choi Soon Kiang berkata, kenyataan Ibrahim itu tidak berasas dan berharap Barisan Nasional (BN), Perdana Menteri serta Timbalan Perdana Menteri agar mengambil tindakan yang sepatutnya ke atas Ibrahim Ali.
“Dia (Ibrahim Ali) sentiasa menyentuh isu-isu perkauman jika membuat sesuatu kenyataan dan ini boleh menyebabkan perpecahan dan persengketaan antara kaum di Malaysia.
"Keharmonian dan perpaduan antara kaum tidak boleh dimusnahkan pihak ekstrem seperti Ibrahim Ali,” katanya.
David berkata dialog Ibrahim Ali telah membawa maksud mengugut, mengancam kaum Cina dan sentiasa menyentuh isu perkauman.
“Kemerdekaan Malaysia adalah hasil perusahaan daripada berbilang kaum Malaysia, perpaduan yang dibina oleh semua kaum di Malaysia ini seharusnya dihormati oleh semua pihak.
"Dia telah banyak kali menyentuh isu-isu atau topik yang sensitif yang boleh menyebabkan perpecahan kaum dan memusnahkan aman damai negara serta menjejaskan imej negara,” katanya.
Menurutnya, sekira perkara ini dibiarkan maka ia akan menjejaskan imej dan perkembangan BN dan negara pada masa hadapan.
“Kita mesti menghapuskan kumpulan ekstrem seperti ini di negara ia supaya ia tidak menjadi duri dalam daging negara kita,” katanya.
David mewakili Pemuda MCA Bahagian Indera Mahkota membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam, menggesa pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan ke atas Ibrahim Ali.
PAS Terengganu yakin tawan kerusi bandar dan pinggir bandar
Ketua Penerangan Pas Terengganu, Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata, pengundi-pengundi yang tinggal di kedua-dua kawasan tersebut lebih jelas dengan keadaan politik semasa serta lebih bermaklumat.
“Sasaran kita adalah pengundi di kawasan bandar dan luar bandar. Insya-Allah, kedua-dua kawasan tersebut akan jadi milik Pas kerana generasi baru khususnya tidak nampak mereka memberi soko-ngan kepada parti kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.
Ditanya jumlah DUN yang dijangka dirampas pembangkang, beliau enggan menjelaskan secara lanjut.
Beliau turut menjangkakan dua daripada DUN khusus di Kemaman mampu diambil alih pembangkang.
“Majoriti bersama kita, kita tidak mahu sebut DUN yang mana satu tetapi dua DUN di Kemaman insya-Allah dalam tangan,” katanya.
Dalam masa sama, pihaknya tidak mengabaikan kawasan luar bandar sebaliknya turut menjangkakan kawasan Hulu Besut, Permaisuri dan Jabi mampu menjadi milik Pas.
Mengulas berhubung DUN Ajil dan Telemong yang dikatakan telah mencapai sasaran Barisan Nasional (BN) dalam menarik pengundi kepada parti kerajaan iaitu 60 peratus pengundi baru sebagai pengundi BN, beliau nyata tidak bimbang dengan perkembangan tersebut.
“Kita menyasarkan sebanyak 65 peratus pe-ngundi muda di setiap kawasan sebagai penyokong pembangkang,” katanya.
Beliau berkata, keadaan itu ditambah dengan maklum balas yang diterima golongan muda terhadap pembangkang dan menyifatkan perkembangan tersebut sebagai sesuatu yang positif dalam usaha pembangkang mengambil alih kerajaan.- SH
Dah ada cara mudah guna dakwat kekal, SPR sengaja bawa idea guna Kaedah Biometrik yang tidak praktikal
PERKASA dan Pemuda UMNO bersandiwara, BERSIH pula semakin jaya
Rakyat terhibur Perkasa, Pemuda Umno bertelagah
KUALA LUMPUR, 22 Jun: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) melihat adegan serang-menyerang antara Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan pemimpin Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) berhubung himpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai begitu menghiburkan rakyat yang sebelum ini sedikit terganggu apabila diasak oleh pelbagai ugutan oleh kedua-dua pihak ini.
Khairy meminta Presiden Perkasa, Ibrahim Ali disiasat di bawah Akta Hasutan 1949 kerana mengeluarkan kenyataan ‘perkauman, menghasut dan berbahaya’.
Manakala Ketua Wira Perkasa, Irwan Fahmi Ideris, pula mahu Khairy disiasat di bawah ISA kerana turut melibatkan diri dalam perhimpunan membantah Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Riduan Mohd Nor (gambar) berkata, paling menarik sejumlah 99 peratus daripada lebih sejuta responden menyokong perhimpunan Bersih pada 9 Julai ini dalam bancian yang dijalankan oleh The Star Online.
“Situasi pada masa ini nampaknya begitu menyebelahi Bersih dan rakyat,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Beliau berkata, Bersih terus mara walaupun pada mulanya ada pihak yang cuba membuat kacau dan mengugut mahu melakukan huru hara.
“Termakbulah doa orang-orang yang beriman yang bertekad menyertai Bersih kerana Allah memecah belahkan golongan yang takut pada perpaduan rakyat melalui Bersih,” katanya.
Tambahnya, mereka mahu memecah belahkan sokongan rakyat pada Bersih yang akhirnya mereka sendiri yang berpecah dan bercakaran.
Katanya, DPPP yakin dengan keikhlasan rakyat yang akan turun 9 Julai ini, segala ancaman dan ugutan dari Perkasa atau pihak-pihak lain hanyalah menambahkan semangat mereka sahaja.
Tegasnya, semakin di desak, diugut, ancam, maka semakin kuatlah iltizam rakyat menuntut perubahan.
“DPPP mengesa seluruh Jentera Penerangan PAS, khususnya jentera pemuda untuk mempertingkatkan promosi Bersih melalui ceramah, roadshow, edaran risalah serta kempen siber,” katanya lagi.
Beliau menambah, setiap rakyat berhak untuk tahu tentang Bersih dan himpunan 9 Julai.
Menurutnya, mereka wajib tahu hak demokrasi mereka dan penyelewangan yang berlaku dalam Pilihan raya serta 8 tuntutan Bersih.
“Kepada Pemuda Umno dan Perkasa, mari sertai Bersih atau duduk sahaja dirumah menjadi suri rumah kalau tidak berani berdepan dengan tuntutan rakyat.
“Ayuh anak muda, ayuh rakyat. Katakan Ya pada ‘Bersih’ dan Ya untuk ‘Hak Demokrasi’ anda. Mari kita ‘kuningkan’ Kuala Lumpur 9 Julai ini,” katanya.
Datuk Che Mat Ali lulus wang zakat kepada Datuk Che Mat Ali
Jamil Khir, Pengarah Jawi guna wang Zakat biaya kos guaman

Jumlah itu dikatakan dikeluarkan bagi membiayai yuran guaman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Ali.
Perkara itu didedahkan sendiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah semalam mengakui yuran guaman Jamil Khir dan Che Mat Ali dibayar dengan wang peruntukan berkenaan.
Kedua individu itu sebelum ini diambil tindakan mahkamah kerana tidak memulakan pendakwaan terhadap Saiful Bukhari dalam kes Qazaf membabitkan kes Fitnah II Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menyifatkannya sebagai pengkhianatan kepada amanah rakyat, Saifuddin berkata, Che Mat Ali yang juga merangkap Setiusaha Jawi telah memohon dan meluluskan sendiri penggunaan wang zakat berkenaan.
“Datuk Che Mat Ali meluluskan kepada Datuk Che Mat Ali. Itu dari segi tata kelolanya, jelas (salah) ,” kata Saifuddin ketika sidang media di parlimen hari ini.
Menurutnya lagi, dari segi hukum agama juga, kedua individu berkenaan tidak tergolong dalam kategori mereka yang layak menerima wang zakat.
“Apakah Menteri dan Pengarah Jawi termasuk dalam asnaf yang lapan, yang layak menerima zakat? Sudah tentulah jawapannya sangat terang, tidak,” tegas Saifuddin.
Justeru, beliau menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) dan Ketua Audit Negara menyiasat salahguna wang itu kerana individu yang sama memohon dan meluluskan peruntukan wang itu.
“Dari segi undang-undang yang memohon dan meluluskan orang yang sama, jadi kita minta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Audit Negara untuk menyiasat,” kata Saifuddin.
Tuesday, June 21, 2011
Kerana membaca Al-Quran, kanak-kanak 10 tahun gagal dirogol perogol bersiri
JEDDAH, ARAB SAUDI : Mangsa terbaru dari perogol bersiri yang dilakukan oleh seorang guru memberitahu tindakannya membaca Al-Quran menghentikan perogol berkenaan untuk merogol dirinya lapor akhbar al-Madinah
Kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun itu memberitahu akhbar bahawa beliau mampu melindungi dirinya sendiri daripada perbuatan jahat perogol apabila membaca lima surah dari Al-Qur'an yang ia telah pelajari.
"Setiap kali dia mendekatiku, aku mulai membaca Qur'an dan dia akan berundur," katanya.
Kanak-kanak tersebut dikenali dengan nama inisial MMS, mengatakan perogol meminta dia untuk berhenti membaca Al Qur'an tetapi ketika beliau menolak permintaan perogol, akibatnya perogol tersebut berkali-kali menampar mukanya. "Kerana bacaan Al-Qur'an saya, dia enggan menyentuh saya," kata kanak-kank tersebut.
Kanak-kanak itu diculik dari sebuah majlis perkahwinan di bandar. "Lelaki itu mengetuk pintu dewan. Ketika petugas wanita yang menjaga pintu masuk untuk membantu melayani tetamu makan malam, aku membuka pintu untuknya, percaya bahawa ia adalah salah seorang tetamu undangan. "
Kanak-kanak itu mengatakan lelaki tersebut memintanya untuk pergi bersamanya kerana dia ingin memberikan hadiah untuk pengantin. Kanak-kanak itu percaya padanya ketika dia melihat beg di tangannya.
"Ketika saya keluar, ia datang dekati saya dan membawa saya. Dia mengatakan kepada saya bahawa hadiah yang lain ada di dalam kereta. Dia meminta saya untuk pergi bersamanya ke keretanya berhampiran pintu masuk lorong, "katanya.
"Saya protes tapi dia memaksa saya untuk mengikutinya dan mengatakan agar saya jangan bercakap. Saya fikir drama akan berakhir di situ juga tapi dia memaksa saya duduk di kerusi belakang kereta dan diminta untuk berbaring dan menyembunyikan kepala. "
Kanak-kanak itu mengatakan perogol itu memberi amaran untuk tidak bersuara semasa melalui jalan yang asing baginya.
"Namun, saya boleh melihat beberapa tanda seperti kedai biliard dan majlis perkahwinan lain. Ketika kami sampai di rumahnya, ia meminta saya untuk pergi dengannya kerana ia menyimpan hadiah tersebut di apartmennya, "kata kanak-kanak itu.
"Dia mengatakan kepada saya bahawa kami akan mengambil hadiah dan kembali ke majlis perkahwinan. Semasa saya memasuki apartmen, dia mengarahkan saya masuk dan mengunci pintu. Sehingga masa itu, saya tidak tahu apa yang ia akan lakukan kepada diri saya. "..Dia kemudian cuba untuk merogol saya tapi saya mulai membaca Quran. Dia kemudian berundur. Kejadian ini berterusan sehingga matahari terbit..
Dia mengatakan dia akan menyediakan shisha dan mengatakan dia tahu ayah saya sangat baik, menambahkan bahawa ia akan menelefonnya dan mengatakan kepadanya untuk tidak khuatir. Perogol itu mengatakan dia akan menyerahkannya kembali selepas majlis perkahwinan itu berakhir.
"Dia menelefon dengan tefefon bimbitnya dan mengatakan bahawa ia bercakap dengan ayah saya. Saya memintanya untuk membiarkan saya bercakap sendiri dengannya tapi dia mematikan telepon dan menampar muka saya, menyuruh saya diam, "katanya.
"Dia kemudian cuba merogol saya tapi saya mulai membaca Quran. Dia kemudian berundur. Kejadian ini berterusan sehingga matahari terbit. "
Kanak-kanak itu mengatakan setelah matahari terbit lelaki tersebut menonton televisyen sehingga kira-kira pukul 08:00. Lelaki itu kemudian mengatakan kepadanya bahawa dia akan membawanya ke sebuah rumah di mana ia akan ditemukan keluarganya.
"Aku masuk ke keretanya. Dia meminta saya untuk menundukkan kepala tapi saya boleh melihat beberapa bangunan termasuk Al-Sudais dan Apotek Rap yang berhampiran dengan rumahnya. Kami tidak pergi jauh, "katanya.
"Dia menurunkan saya berhampiran klinik Al Nahda di daerah Al-Muntazahat dan meminta saya untuk masuk ke dalam sebuah bangunan di mana saya akan bertemu keluarga saya. Saya masuk ke dalam gedung tapi aku tidak menemui siapa pun. Aku kembali tapi dia sudah pergi. "
Kanak-kanak itu mengatakan ia melihat seorang lelaki membawa beberapa beg rumah. Kanak-kanak itu menghentikannya dan memintanya untuk membantunya. Lelaki tersebut tidak memiliki handpone tapi dia menghentikan sebuah teksi dan menggunakan handphone si pengemudi untuk menghubungi ayah kanak-kanak itu.
"Lelaki itu mengatakan kepada ayah saya bahawa saya bersamanya dan mereka sepakat untuk bertemu di tempat tertentu. Dia membawa saya bertemu ayah saya, yang mulai menangis ketika ia melihat saya. "
Sebelumnya, polis Arab Saudi menangkap seorang guru berumur 42 tahun sehubungan dengan perogolan bersiri yang terjadi dalam tempoh tiga tahun sejak 2008. Guru tersebut didakwa dengan tuduhan merogol dan menculik sekurang-kurang 13 kanak-kanak perempuan berusia antara 6 hingga 10 tahun.voa-islam.com
DENGAR WAHAI AZIZ : Memang sentimen rakyat menyokong parti, masalahnya sentimen SPR menyokong UMNO/BN
Moses ak Lawrence diserang dengan parang di hadapan rumah
Pegawai SPRM cedera dalam cubaan samun
KUALA LUMPUR: Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengalami kecederaan di bahagian tangan selepas cuba disamun enam lelaki di hadapan rumahnya di Taman Sungai Besi Indah, Seri Kembangan, di sini, hari ini.
Dalam kejadian 6.30 pagi tadi, Moses ak Lawrence, 36, yang bertugas di Bahagian Forensik SPRM di Putrajaya dikatakan baru hendak keluar dari rumahnya dengan menaiki kereta bersama isteri untuk menghantar anaknya ke sekolah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, DSP Lam Chin Fai, berkata kereta suspek berhenti di hadapan rumah mangsa ketika mangsa mahu menutup pintu pagar rumahnya sebelum seorang anggota kumpulan itu turun dan menghunuskan parang.
Katanya, mangsa bergelut dengan penjenayah itu dan mengalami kecederaan di tangan kiri dan calar di tangan kanan sebelum berjaya menyelamatkan diri dengan menaiki keretanya terus ke Hospital Serdang.
Bagaimanapun, katanya, isteri dan anak mangsa tidak diapa-apakan dalam kejadian itu dan tiada barangan milik mangsa disamun oleh kumpulan itu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Mohd Shukri Abdull, yang ditemui di Hospital Serdang berkata motif serangan belum dapat dipastikan.
“Kita tak boleh buat andaian sebab kita tak tahu motif kejadian ini sama ada ia adalah kerana samun, rompak atau lain-lain…Pegawai kita pun tak tahu sebab apa,” katanya.
Sementara itu, empat pegawai polis dari cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hadir di hospital berkenaan untuk mengambil keterangan mangsa.
Bernama
Peguam Perancis tiba 20 Julai, ada yang tak nyenyak tidur
Keadilan Daily melaporkan kedatangan mereka ke negara ini adalah untuk memberikan maklumat terkini tentang siasatan kes itu.
Pengarah Eksekutif Suaram, Cynthia Gabriel memaklumkan KeadilanDaily.com sewaktu ditanya tentang perkembangan terkini siasatan skandal Scorpene melibatkan pembayaran ‘komisen’ hampir RM500 juta kepada sebuah syarikat yang dikenali sebagai Perimekar Sdn Bhd.
Perimekar dimiliki Ombak Laut, syarikat kepunyaan kenalan rapat perdana menteri, Abdul Razak Baginda dengan pemegang saham terbesar syarikat itu adalah isteri Razak.
Menurut Cynthia, peguam dari Perancis, William Bourdon dijangka berada di Malaysia selama empat hari untuk memberi penerangan kepada Suaram dan juga orang ramai berhubung status terkini siasatan itu.
“Peguam Perancis yang menyiasat skandal Scorpene ini akan tiba lewat bulan Julai sekitar 20 hingga 24 Julai untuk memberi maklumat dan memaklumkan kita tentang perkembangan terbaru siasatan skandal Scorpene di Perancis.
“Beliau dijadual menyampaikan ucapan pada 21 Julai di Pulau Pinang dan 23 Julai di Kuala Lumpur. Di antara ahli politik yang sudah bersetuju untuk turut serta adalah Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua,” kata Cynthia.
Akhbar Suara Keadilan baru-baru ini mendedahkan dua lagi bayaran komisen berjumlah RM32.5 juta, selain RM493 juta yang didedah lebih awal dalam proses pembelian dua kapal selam Scorpene.
Dua komisen itu terbongkar selepas pihak berkuasa Perancis memperoleh dokumen hasil serbuan ke atas DNCS, syarikat yang membina dan menjual kapal selam kepada negara ketiga termasuk Malaysia.
Sebelum ini, sebuah laman web Perancis, Rue89 mendedahkan, syarikat Perancis, Armaris tidak pernah membayar Perimekar RM493 juta, sebaliknya dibayar kerajaan Malaysia sendiri.
PERKASA TERKEJUT : 99% atau 1, 312 917 sokong himpunan BERSIH untuk The Star Online Poll
99% sokong himpunan BERSIH - The Star Online Poll

Soalan yang dikemukakan berbunyi 'Apa pandangan anda berhubung perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai?, 1,312,917 responden menjawap 'Ia sepatutnya dibenar diteruskan’
PKR pecat 29 ahli
PETALING JAYA 21 JUN : Parti Keadilan Rakyat hari ini mendedahkan nama ahli parti itu yang dibuang, digantung dan diberi surat amaran sejak Januari hingga Jun tahun ini.
Pengerusi Biro Displin PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong mengumumkan seramai 29 ahli dipecat, 10 digantung dan 12 diberi surat amaran lantaran pelbagai perkara seperti menjadi calon pilihan raya untuk parti lain, membantu kempen parti lain, serta mengkritik kepimpinan tanpa menggunakan saluran yang betul dalam laman web sosial.
"Ini tindakan membersihkan parti ikut saluran dan perlembagaan parti. Secara umum terdapat dua kumpulan dalam senarai ini. Pertama selepas pemilihan parti akhir tahun lalu, kedua selepas pilihan raya negeri Sarawak," umum beliau ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.
Antara yang dipecat ialah Thony anak Badak, Michael Jok dan beberapa lagi yang bertanding sebagai calon SNAP dan Bebas pada Pilihan Raya Negeri Sarawak baru-baru ini.
Bekas Pengarah Komunikasi Jonson Chong dan Soo Lina pula didapati membantu calon parti lain sepenuhnya dalam PRN yang sama.
PKR mengamalkan sikap tegas ini dalam usaha menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang demi membersihkan dan menaikkan imej parti.
Beliau memberi contoh bertapa kebanyakan ahli terbabit melakukan kesalahan serius kepada parti dan semua siasatan telah dilakukan dengan terperinci.
Menurut Dr Tan, keputusan itu telahpun diluluskan oleh Majlis Pimpinan Pusat dan Biro Politik PKR dan semua surat tunjuk sebab telahpun diberikan kepada ahli yang menerima tindakan displin.
Malah beliau menyatakan ahli boleh merayu keputusan itu kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR jika mereka mahu berbuat demikian.
"Kami ikut prosedur, kita lampirkan bukti seperti keratan surat khabar dan sebagainya. Kemudian kita hantar surat tunjuk sebab melalui pos berdaftar dan kalau ada maklumat hantar sms dan sebagainya, biasanya kita tunggu selama 10 hari.
"Cara kita sama. (Ikut Perlembagaan) PAS juga sama, DAP juga sama. Saya tak boleh cakap untuk Barisan Nasional tapi mereka juga nampaknya akan lakukan yang sama (jika ia terjadi). Kecuali kalau BN membeli mereka," katanya.
Mengulas mengenai beberapa ahli yang mendakwa tidak mendapat surat tunjuk sebab dan pemecatan mereka, Dr Tan menyatakan itu merupakan kesalahan mereka sendiri.
"Itu alasan lapuk. Menjadi tanggungjawab ahli untuk mengemaskini dan berikan butir seperti alamat kepada ibu pejabat parti. Sama seperti saman polis, kita tak boleh beri alasan kita dah pindah ke rumah ibu kita. Ada beratus ribu ahli bagaimana kita nak pastikan semua maklumat terkini tanpa kerja sama ahli?," katanya.