Wednesday, October 10, 2007

PAS tidak lupa pesakit di hospital

Parit Buntar : Ketika umat Islam sibuk membuat persiapan menyambut Syawal, seharusnya golongan yang kurang bernasib baik tidak dipinggirkan. Sehubungan itu, PAS Kawasan Parit Buntar tampil menghulurkan sumbangan kepada golongan pesakit yang menerima rawatan di Hospital Parit Buntar.

Menurut Pengerusi Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kawasan Parit Buntar En. Ahmad Azhar bin Hj. Sharin, sumbangan itu diagihkan kepada pesakit sempena bulan Ramadhan dan Syawal yang akan menjelang tidak lama lagi.

"Program sumbangan ini diadakan setiap kali bulan Ramadhan. Sumbangan akan diagih-agihkan pesakit wad dewasa dan kanak-kanak. Masing-masing menerima hamper yang mengandungi barangan makanan asas .” Katanya.

Rombongan PAS Kawasan yang sampai ke hospital pada jam 11.30 pagi itu telah disambut meriah oleh kakitangan hospital yang sudah sedia menunggu. Kerjasama yang baik telah ditunjukkan oleh kakitangan hospital semasa membawa ahli rombongan melawat pesakit.

Turut hadir pada majlis sumbangan ini ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Tuan Haji Harun bin Haji Hashim bersama rombongan 15 orang AJK PAS Kawasan, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat.

En. Ahmad Azhar mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan hospital yang memberi layanan dan kerjasama yang baik kepada rombangan PAS Kawasan Parit Buntar.

No comments: